Friday 30 March 2012

Menilai peluang PR di kawasan Felda Negeri Sembilan

Kawasan Felda dan seluruh warga penerokanya sejak 1970 telah menjadi lubuk kemenangan kepada Barisan Nasional dan Umno dalam pilihanraya di negara ini. Jika dilihat dari sudut strategi politik, kewujudan kawasan-kaasan Felda ini adalah suatu kaedah jangka panjang politik bagi BN untuk mengekalkan sokongan disamping mempertahankan kuasa Umno khususnya daripada kaum Melayu.

Warga peneroka secara 'tersusun' telah diasingkan daripada pengaruh-pengaruh politik pembangkang kerana kedudukan geografi petempatan kawasan Felda agak terpisah dan terasing daripada pengaruh pantas urbanisasi. Malah sumber maklumat utama kepada politik semasa hanyalah kepada akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian disamping radio serta television.

Namun, selepas Pilihanraya Umum (PRU) 1999 keadaan itu telah sedikit berubah dengan penerimaan warga peneroka kepada wadah politik parti-parti pembangkang. Selain daripada pengaruh Reformasi 1998, kemunculan television satelit berbayar seperti Astro telah mendedahkan warga peneroka dan generasi seterusnya kepada keterbukaan sumber maklumat. Kecanggihan teknologi hubungan iaitu kewujudan telefon bimbit turut membantu pendedahan maklumat pantas kepada mereka. Namun begitu, sejauh mana jangkauan penerimaan warga peneroka kepada maklumat sebegitu?

PRU 1999 telah memperlihatkan ombakan sokongan warga peneroka Felda kepada Barisan Alternatif (BA) yang agak besar. Hasilnya beberapa dun di Pahang seperti Jengka dan Chini telah dimenangi oleh BA. Dun Chini ketika itu telah dimenangi oleh Keadilan hanya dengan majoriti kecil iaitu sebanyak lima undi sahaja!

Perubahan sikap
Persepsi bahawa warga peneroka 'sukar ditembusi' dan 'totok umno' hanya boleh digunapakai sebelum tahun 1999. Namun selepas itu, kawasan-kawasan Felda bukan lagi kawasan selamat kepada Umno. Akan tetapi kelicikan bekas PM Mahathir Mohamad melalui persempadanan semula telah memecahkan banyak kawasan majoriti Melayu menjadi kawasan-kawasan campuran. Ketika itu sokongan bukan Melayu berpihak kepada Umno-BN.

Sekali lagi pada PRU 2008, senario politik negara berubah dan memperlihatkan kemenangan yang memberangsangkan pakatan pembangkang.

Mampu ditembusi
Sebenarnya kawasan-kawasan felda ini mampu ditembusi dan dimenangi oleh pembangkang dengan syarat ia dijalankan dengan gerak kerja dan strategi yang betul. PRU 2004 menyaksikan kemerosotan prestasi dan sokongan pengundi kepada Keadilan seluruh negara, namun di Dun Pertang, Parlimen Jelebu ketika itu Keadilan telah memenangi satu daerah mengundi iaitu Pasoh 4, yang merupakan kawasan felda. Logika adalah tidak mustahil kemenangan mampu diperolehi asalkan gerakan strategi itu betul dilaksanakan.

Merealisasikan kemenangan seterusnya ke arah menawan Negeri Sembilan dalam PRU-13, usaha-usaha menangani dan menjuarai isu-isu peneroka telah giat digerak-laksanakan oleh Keadilan Negeri Sembilan sejak awal tahun 2009 lalu. Ia suatu usaha yang panjang namun telah memperlihatkan hasil yang baik. 

Peneroka Serting Hilir & Raja Alias Saman Felda
di Mahkamah Sesyen Seremban 2
Walaupun sebuah NGO pro-Pas iaitu ANAK telah lebih awal mengorak langkah menangani permasalahan peneroka, namun gerakan NGO ini di Negeri Sembilan agak tenggelam dan tidak begitu menyerlah. Kemunculan gerakan tersusun daripada Keadilan yang digerakkan melalui NGO-Warga Felda Perihatin telah mencetuskan gelombang perubahan yang menggalakkan daripada warga peneroka.


Tindakan saman oleh peneroka kepada Felda telah digerakkan secara progresif oleh Warga Felda Perihatin dengan kerjasama Keadilan dan Pas Jempol. Parlimen Jempol sendiri memiliki banyak gugusan kawasan Felda seperti Gugusan Felda Palong, Raja Alias, Serting Hilir dan Sungai Lui. Dua pertiga Parlimen Jempol diliputi oleh kawasan felda. Menawan Jempol bermakna menawan Negeri Sembilan. Sekiranya Parlimen Jempol dan dun-dun di dalamnya (Serting, Palong, Jeram Padang) berjaya dimenangi disamping mengekalkan kemenangan PR di Bahau, ia adalah gambaran besar kemenangan PR di Negeri Sembilan. Parlimen Jempol menjadi titik penentu kepada kalah-menang dalam PRU-13 kan datang kepada BN dan PR di negeri ini.

  Mengikut cerita yang dilayangkan, MCA dikatakan akan mengekalkan calon mereka pada PRU 2008 lalu, iaitu Lim Fui Ming (gambar) sebagai calon di DUN Bahau. Beliau merupakan bekas wakil rakyat Bahau yang dimenanginya pada PRU 2004 atas tiket DAP namun bertindak lompat parti dengan menyertai BN. Jika melihat sokongan semasa kaum Cina kepada PR (sekitar 70-75%), potensi MCA untuk merampas kembali Bahau agak tipis. 

Dun Palong 50-50
Peluang untuk Keadilan memenangi Palong agak seimbang kerana gerak-kerja yang berterusan sejak tahun 2009 lagi. Penyelaras Keadilan Dun Palong, Rebin Birham yang juga merupakan setiausaha Biro Masyarakat Orang Asal & Peneroka Keadilan Pusat giat menjalankan gerakan di kawasan Palong. Kehadiran warga peneroka dalam ceramah-ceramah perdanan yang diadakan di Palong sangat memberangsangkan dengan kehadiran melebihi tiga ke empat ribu orang. 

Malah Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah mengakui sangat teruja melihat kehadiran yang begitu ramai ketika ceramah pada penghujung Febuari 2012 lalu. Jika dahulu semasa zaman Reformasi, amat sukar untuk melihat warga peneroka hadir secara beramai-ramai ke ceramah-ceramah pembangkang.

Penubuhan ranting-ranting Keadilan di sekitar Dun Palong telah membayangkan hasrat dan kesungguhan Keadilan untuk menawan Palong. Andaian peluang Keadilan dalam meraih undi di Dun Palong dalam PRU-13 adalah sekitar 41-46%. Keadaan yang sama turut dialami di Dun Serting. Boleh dikatakan hampir setiap minggu samada ceramah kecil dan perdana akan dijalankan di kedua-dua dun ini secara aktif.

Peluang Cerah di Jeram Padang
Situasi di Dun Jeram Padang sedikit berbeza berbanding Dun Serting dan Palong. Jeram Padang mempunyai tiga kawasan felda iaitu Palong Satu & Dua dan Bukit Rokan Barat. Selebihnya kawasan lain adalah ladang-ladang. Hanya Taman Jaya dan Rompin dikira sebagai kawasan campuran dalam dun ini. 

Jeram Padang mempunyai pemilih India yang paling ramai di Jempol iaitu 4,005 atau 36.77%. Pemilih Melayu pula seramai 5,115 atau 46.97% dan Cina seramai 1,304 (11.97%). Pemilih kaum India menjadi penentu kepada kemenangan Keadilan di Jeram Padang selain memerlukan anjakan sekitar 35-41% pemilih Melayu menyokong Keadilan. 

Sekiranya gerak kerja di kawasan felda berterusan disamping mengekalkan sokongan kaum India, Jeram Padang merupakan antara dun yang berpotensi tinggi untuk dimenangi oleh Keadilan dalam PRU-13 akan datang.

Jika dahulu adalah mustahil untuk melihat kewujudan ranting-ranting Keadilan di Jeram Padang, namun sejak gerak kerja Warga Felda Perihatin sejak 2009 lalu telah berjaya mewujudkan beberapa ranting di Felda Palong 1 & 2 termasuk di Taman Jaya. Andaian perolehan undi Keadilan di Jeram Padang dalam PRU-13 adalah sekitar 51-53%.

Keberantakan politik dalaman MIC Negeri Sembilan yang berlaku ketika ini telah menjadi faktor yang memudahkan gerak kerja politik Keadilan di Jeram Padang. Perebutan untuk menjadi calon dikalangan pimpinan MIC negeri telah menyebabkan tumpuan terhadap kerja-kerja mempertahankan kemenangan BN berada dalam keadaan sukar.

Semoga hasil usaha dan kerja keras PR Negeri Sembilan di Parlimen Jempol membuahkan hasil yang terbaik kepada mereka nanti.





No comments:

Post a Comment