Wednesday 28 March 2012

Sebaran maklumat PR meluas kepada rakyat

Sebaran maklumat melalui media cetak tetap menjadi pilihan utama orang ramai walaupun telah ada kecanggihan teknologi sebaran maklumat secara pantas melalui internet, telefon bimbit pintar dan television-radio. Hakikat manusia itu akan kembali kepada fitrah asas iaitu membaca, mengira dan mengeja. Capaian maklumat itu harus berada di tangan untuk dibaca dengan kepuasan.

Kerangka 'menyampaikan dasar perjuangan dan isu-isu semasa politik' khususnya daripada Pakatan Rakyat wajar diperluaskan dan dipergiatkan secara progresif khususnya dalam bentuk cetakan.

Ungkapan seperti 'kawasan tegar Umno', 'orang kampung kedu (tak boleh berubah selain Umno-BN), 'totok umno' dan sebagainya adalah istilah yang diberikan kepada kelompok pemilih atau pengundi sesuatu kawasan yang dikatakan sukar ditembusi oleh pakatan pembangkang. Maka akan ada persepsi 'sukar tembus' walaupun dikatakan berkali-kali maklumat sebaran disampaikan. 

Persoalannya, apakah benar faktor itu atau jentera mana-mana komponen dalam PR tidak langsung masuk melakukan sentuhan kepada pengundi?

Satu kajian oleh Merdeka Center di Negeri Sembilan yang dijalankan antara bulan Julai-Ogos 2011 lalu mengenai sikap pengundi di negeri tersebut. Antara perkara yang termasuk dalam kajian tersebut adalah mengenai sebaran maklumat di kalangan pengundi.

Hasil dapatan kajian tersebut sangat berguna kepada gerak kerja PR Negeri Sembilan khususnya dalam memperluaskan dan mempergiatkan penyampaian serta sebaran maklumat kepada rakyat. Walaupun secara terangnya dapatan tersebut tidak memihak kepada PR, namun sebenarnya jika diamati secara terperinci ia sangat memberi panduan yang berguna kepada jentera dan gerakan strategi PR Negeri Sembilan.

Sebanyak 71% pengundi Melayu di Negeri Sembilan mendapat sumber maklumat politik melalui media adalah daripada akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Hanya 5% pengundi Melayu yang mendapat sumber maklumat politik melalui akhbar Harakah.

Apakah makna hasil dapatan tersebut?
Ia menggambarkan kurangnya penembusan maklumat daripada sumber PR sendiri samada melalui akhbar Suara Keadilan, Harakah, Selangor Kini dan sebagainya. Jika berharap kepada sebaran melalui internet, hanya 35% sahaja pengundi yang mendapat sumber maklumat melalui internet. Keseluruhan responden pula, 60% daripadanya tidak mempunyai akses internet!

Maka gerak kerja dan strategi tersusun daripada jentera penerangan harus ditingkatkan supaya rakyat atau pemilih yang dikatakan 'sukar berubah' atau 'sukar ditembusi' mendapat maklumat yang meluas, tepat dan mudah.

Seorang rakan penulis yang terlibat dalam satu gerak kerja di Dun Senaling, Kuala Pilah baru-baru ini telah masuk ke sebuah kampung yang 'dikatakan oleh PAS kawasan sebagai 'kedu' atau sukar tembus, hasil gerak kerja masuk dan membuat sentuhan kepada pengundi disamping menyampaikan risalah-risalah penerangan telah mengubah persepsi tersebut. Lebih mengejutkan, orang-orang kampung yang ditemui mengatakan bahawa pihak Pas tidak pernah masuk untuk menyampaikan maklumat kepada mereka. Ia menjadi sebab utama mereka cenderung untuk memangkah Umno-BN kerana TIDAK MENDAPAT sebarang maklumat tentang dasar perjuangan dan isu-isu yang dibawa oleh pembangkang. Keadaan ini sebenarnya turut terjadi di kebanyakan kawasan.

Kecenderungan rakyat di kampung-kampung untuk berubah sangat tinggi namun kegagalan sebaran maklumat oleh PR telah menumpulkan hasrat rakyat tersebut. Kelemahan inilah yang wajar jentera penerangan PR khususnya kepada Keadilan dan PAS diperbaiki.

Merujuk kembali kepada hasil dapatan kajian Merdeka center tersebut, lebih 58% responden mahukan perubahan dari segi pembangunan ekonomi dan insfrastruktur di Negeri Sembilan. Jika dinilai maklumat ini, jelas rakyat sebenarnya ada kecenderungan untuk mengubah kerajaan kearah yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment