Saturday 31 March 2012

Keterbukaan media perdana kepada suara PR?

Menonton program Bicara Rakyat di TV1 RTM jam 8.30 malam tadi (30 Mac 2012) dengan tajuk perbincangannya 'Pengurusan Persepsi' menampilkan panel perbincangan iaitu Dr Ridhuan Tee Abdullah, Ketua AMK Malaysia-Shamsul Iskandar Akin dan wakil Perkasa-Zahid Md Arip.

Bicara Rakyat sebelum ini pernah menampilkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat, namun malam tadi ia boleh dianggap sebagai 'keterbukaan luarbiasa' kerana moderator program saudara Syed Munawar memberi ruang yang agak luas kepada panel khususnya kepada Shamsul Iskandar dan Zahid Md Arip. Ruang menyampai pandangan, menjawab persoalan dan isu serta jawab-balas yang panas begitu menyerlah malam tadi berbanding siaran-siaran terdahulu.

Ia agak positif dari sudut menilai mutu penghujahan dan jawab-balas dalam mengetengah pandangan, kritikan disamping mempertahankan idealisma perjuangan antara pihak pembangkang dan pro-parti pemerintah. Malah jutaan rakyat yang menonton siaran secara langsung malam tadi pasti akan mendapat beberapa pencerahan daripada situasi perbincangan tersebut.

Kelancaran dan keyakinan menyampaikan fakta oleh Shamsul Iskandar Akin cukup menutup segala tuduhan-tuduhan tidak berfakta daripada wakil Perkasa, Zahid Md Arip. Malah telah beberapa kali Zahid bagai tidak dapat menampilkan hujah-hujah bernas namun kerap mengulang-ulang isu yang sama tanpa memberi penjelasan kukuh tentang isu yang dibangkitkan. 

Sementara Dr Ridhuan Tee sekadar memberi pandangan dan hujah yang neutral yang dikira agak berbeza dalam tulisan beliau yang keras dalam ruangan komentar di Sinar Harian. Ia boleh dianggap sebagai beliau 'mempersetujui' penghujahan yang disampaikan oleh Shamsul.

Keterbukaan Bicara Rakyat dengan memberi 'laluan' isu-isu seperti NFC, pembunuhan Altantuya dan beberapa kes besar melibatkan pemuka-pemuka negara secara langsung disebut oleh Shamsul Iskandar seolah-olah memberi bayangan 'penentangan secara halus' kepada BN khususnya PM. Apakah ini juga membawa maksud jentera-jentera BN telah mula 'mencantas' sebelum PRU-13 bermula?

Sekali lagi, ia seakan mengulangi Debat Perdana antara Anwar Ibrahim vs Shabery Cheek lalu yang telah meningkatkan sokongan rakyat kepada pembangkang dalam beberapa isu penting seperti harga minyak, subsidi syarikat pengeluar tenaga dan rasuah.

Semoga ruang sebagaimana malam tadi mampu dibuka dan diberikan kepada pihak pembangkang dalam mengetengahkan pandangan dan kritikan secara adil.

No comments:

Post a Comment