Wednesday 30 May 2012

PRU-13: Pertarungan terakhir Umno di Rantau?

Mohamad Hassan
MB Negeri Sembilan
Sesuatu yang menarik tentang Dun Rantau adalah ia merupakan kawasan pilihanraya antara yang masih wujud di Negeri Sembilan sejak Pilihanraya Majlis Perundangan 1955 lagi. Namanya tetap kekal setakat ini sebagai kawasan pilihanraya walaupun telah berlaku perubahan sempadannya. Secara logika politiknya, Rantau menjadi titik penting politik di Negeri Sembilan kerana kedudukannya sebagai kerusi untuk Exco dan MB.

Dun Rantau dalam Parlimen Rembau merupakan kawasan yang diwakili oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Bin Hassan. Beliau merupakan individu kedua dari Rantau yang menjadi MB selepas Dato' Samsudin Naim.

Jika diteliti, keseluruhan dun iaitu Chembong, Kota, Paroi dan Rantau termasuk Parlimen Rembau semuanya ditandingi oleh Umno. Gerombolan Umno di Rembau berada di bawah penguasaan pengaruh Mohamad Hassan.

Asalnya, dun Rantau digilirkan tiap dua penggal antara MIC dan Umno. MIC Negeri Sembilan sendiri pernah membangkitkan perkara penggiliran bertanding itu dan sepatutnya untuk penggal baru iaitu untuk PRU-13, giliran MIC bertanding di Rantau. Maka atas faktor itu, berduyun-duyun pula opurtunis dalam parti-parti yang mempunyai ahli kaum India telah menyatakan hasrat untuk bertanding di Rantau.

Ini hakikat politik bukan persoalan perkauman. Human Right Party (HRP), Parti Makkal Shakti, MIC dan beberapa individu kaum India dari parti-parti PR seakan menghidu faktor tersebut. Namun, apakah mungkin kali ini, BN akan memberi laluan kepada MIC di Rantau? Jawapan yang dapat dipastikan setakat ini adalah tidak kerana Umno sendiri berhasrat untuk kekal bertanding di kawasan ini.

Berdasarkan statistik pecahan pengundi mengikut kaum, Rantau merupakan Dun yang ketiga mempunyai pemilih India yang ramai di Negeri Sembilan iaitu 27.4 peratus selepas Jeram Padang (36.77%)  dan Port Dickson (28.04%).

Sejarah Pilihanraya Dun Rantau

Sesuatu yang sukar dicari samada dalam pembelajaran di sekolah mahupun peringkat tinggi adalah persejarahan lampau politik negara atau negeri yang berlaku era 1940an, 1950an dan 1960an secara khusus kerana ketika itu kedudukan politik Perikatan dan Umno mendapat cabaran atau saingan kuat daripada parti-parti lain seperti Parti Negara, Parti Buruh dan Parti Rakyat (yang kemudiannya membentuk Sosialis Front). Catatan persejarahan politik khususnya parti-parti bukan Perikatan seakan dipendam daripada pengetahuan generasi baru negara ini.

Wakil rakyat pertama bagi Dun Rantau adalah dari Sosialis Front (SF) iaitu Gurnam Singh Gill yang menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) 1959. Sebelum itu, dalam Pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan tahun 1955 sebelum merdeka, kerusi Rantau telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon Perikatan, Datuk Raja Abu Hanifah Abdul Ghani. Beliau kemudiannya telah menyertai PAS dan menjadi calon Parlimen di Kelantan!

Era sebelum Umno Baru
Pada PRU 1986, Rantau telah ditandingi oleh MIC mewakili BN, diwakili oleh bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato Muthu Palaniappan (gambar-kiri). Beliau telah ditentang sengit oleh calon DAP-Palanisamy Subramaniam dan seorang calon bebas-Othman Haji Abdullah yang dikhabarkan daripada cerita lisan beberapa teman politik bahawa beliau ketika itu disokong (kempen & kewangan) oleh adik-beradik Mohamad Hassan kerana membantah calon MIC diletak bertanding di Rantau!

Saingan ketika itu cukup sengit dan Muthu Palaniappan memenangi Dun Rantau dengan kelebihan 1,908 undi. Beliau memperolehi 3,733 undi (undi popular-52.41%) manakala calon DAP mendapat 1,825 undi (25.62%) dan calon bebas memperolehi 1,565 undi (21.97%).

Era Umno Baru & Semangat 46

PRU 1990 menyaksikan BN masih mengekalkan MIC sebagai parti yang bertanding di Rantau dengan diwakili oleh penyandangnya iaitu Muthu Palaniappan. Beliau dicabar oleh calon DAP-P.Marimuthu. Saingan hebat tetap berlaku, MIC hanya memenangi Rantau dengan kelebihan 1,445 undi. Dalam saingan kali ini, Muthu mendapat 4,849 undi (58.75%) dan calon DAP memperolehi 3,404 undi (41.25%).

Persempadanan semula pada tahun 1994 telah mewujudkan Dun Jeram Padang di Jempol dan kawasan tersebut diperuntukkan oleh BN kepada MIC. Hasil daripada itu, Rantau kembali ditandingi Umno. Dalam PRU 1995, BN melalui Umno telah memenangi Rantau dengan lonjakan majoriti yang tinggi berbanding ketika diwakili oleh MIC dengan memperolehi kelebihan sebanyak 5,994 undi. Calon Umno-Hamdan Mohamad mendapat 7,544 undi (82.96%) manakala calon Semangat 46-Haji Sulaiman Tukimin hanya memperolehi 1,550 undi (17.04%).

Era Reformasi

Pengaruh politik adik-beradik Mohamad Hassan di Rantau bermula dalam PRU 1999. Adik beliau, Abdul Ghani Hassan, bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan telah menjadi calon Umno untuk Dun Rantau melawan calon KEADILAN-Husin Haroon. Gelombang Reformasi turut mempengaruhi keputusan di Rantau ketika itu. Berlaku penyusutan kelebihan undi kemenangan di pihak Umno dengan memperolehi majoriti sebanyak 2,770 undi. Abdul Ghani mendapat 6,222 undi (64.17%) dan calon KEADILAN memperolehi 3,452 undi (35.60%).

PRU 2004 pula menyaksikan Rantau terus dikuasai oleh Umno melalui calonnya, Mohamad Hassan yang mengambil alih kerusi tersebut daripada adiknya, Abdul Ghani Hassan. Suasana peralihan tampuk pemerintahan negara daripada Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi (Paklah) telah meletakkan suatu harapan kepada rakyat bahawa akan berlaku perubahan yang bakal dibawa oleh Paklah.

Maka tidak hairanlah berlakunya lonjakan undi yang tinggi kepada kebanyakan calon BN waktu itu. PRU 2004 menjadi titik merundum kepada politik Barisan Alternatif. Kesannya, Mohamad Hassan menang dengan majoriti 6,199 undi (62.83%). Beliau mengalahkan calon KEADILAN-Badrul Hisham Shaharin (kini Ketua KEADILAN Rembau) dengan memperolehi 8,031 undi (81.39%) berbanding Badrul yang mendapat 1,832 undi (18.57%). Perkhabaran hangat ketika itu bahawa beliau adalah calon dan pengganti MB menjadi faktor penting kemenangan beliau di Rantau.

Tsunami 2008

Ulangan gelombang Reformasi 99 kembali melanda Rantau, namun kali ini Tsunami Politik benar-benar mencantas pengaruh elit keluarga Mohamad Hassan di sini.

Aisah Lamsah
Calon KEADILAN 
PRU 2008 menjadi kejutan luarbiasa kepada Umno di Rantau dengan berlaku kemerosotan kelebihan kemenangan. Mohamad Hassan telah memenangi pertandingan dengan mendapat majoriti 3,783 undi (31.67%), merosot sebanyak 2,416 undi atau menyusut 31.16 peratus berbanding kelebihan PRU 2004. Calon KEADILAN-Aisah Lamsah mendapat 3,956 undi (33.12%). Mohamad mendapat 7,739 undi (64.79%).

Potensi


Ada suatu keadaan yang cukup istimewa di Rantau ketika PRU 2008. Para pemilih Dun Rantau memberi undi kemenangan kepada Mohamad Hassan tetapi pada waktu yang sama mereka tidak memberi undi kemenangan kepada calon Parlimen Rembau-Khairy Jamaluddin.

Malah jika diteliti pada helaian keputusan peringkat Parlimen, Khairy tewas di lima daripada 12 daerah mengundi (DM) dalam Dun Rantau, manakala kawasan yang beliau menangi dengan majoriti tipis kebanyakannya tewas di saluran 3 dan 4. Beliau tewas di DM Taman Kelab Tuanku Mambau, DM Kuala Sawah, DM Pekan Sagga, DM Rantau dan DM Linsum.

KJ menang tipis di DM Kampung Siliau (123) , DM Kampung Bemban (75) dan DM Kampung Mambau (77). Kawasan-kawasan lain seperti DM Kampung Sendayan, DM Sendayan, DM Kampung Sri Lalang dan DM Kampung Sega sokongan kepada calon Umno agak kuat dan kelebihan undi kemenangan agak tinggi.

Seandainya keadaan perolehan undi calon Parlimen Rembau itu bertukar keadaan di peringkat dun, ada kemungkinan besar Umno bakal tewas di Rantau. Itu tidak mustahil berlaku. Suasana BN memperolehi majoriti bawah dua ribu undi kerap kali berlaku di Rantau, ia bukan sekali atau berlaku mengikut keadaan-keadaan tertentu. Malah sejak awal PRU 1959, PRU 1969, PRU 1986, PRU 1990 dan PRU 1995 telah membuktikan BN juga mampu disaingi secara sengit.

Kemungkinan besar pada PRU-13 akan datang, Dun Rantau sekali lagi akan mengulangi sejarah pertarungan sengit antara Umno dan KEADILAN sebagaimana era 1960an. Keberantakan politik dalaman Umno Negeri Sembilan antara faktor penyumbang kepada kemenangan pembangkang. Kedudukan semasa politik Mohamad Hassan di Negeri Sembilan kian dicabar oleh beberapa puak Umno yang bercita-cita memegang tampuk kerusi MB. Antara yang hangat disebut adalah Ahli Parlimen Kuala Pilah, Hasan Malek, Adun Senaling, Ismail Lasim dan bekas MB, Isa Samad.

Besar kemungkinan BN akan mengekalkan Mohamad Hassan sebagai calon di Rantau walaupun kedengaran lain-lain nama disebut sebagai ganti seperti Senator Najeeb Abdullah dan Haji Abd Latif Mohd Yunus. Nama Haji  Abd Latif yang juga dikenali sebagai Ustaz Latif paling kuat didendangkan antara pengganti Mohamad Hassan sebagai calon Rantau. Beliau merupakan anak jati Kampung Bemban, Mambau. Samada benar atau tidak masih belum ada kepastiannya dan masih bersifat khabar politik jalanan.

Kali ini dalam PRU-13 merupakan peluang terbaik buat PR melalui KEADILAN untuk memenangi Rantau. Jika itu berlaku, maka KEADILAN merupakan parti kedua daripada pembangkang selepas Sosialis Front menang di Rantau.

Harus diingat bahawa kawasan-kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu dalam Dun Rantau bakal menolak calon Umno. Kebergantungan Umno untuk menang di Rantau adalah kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Ada kemungkinan KEADILAN akan mengekal calonnya yang lalu kembali bertanding di Rantau. Ada juga ura-ura mengatakan seorang calon muda akan diletakkan oleh KEADILAN. Setakat ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

Andaian Penulis
PR: 55%
BN: 45%


Jangkaan BN
BN: 61%
PR: 39%






Thursday 24 May 2012

Debat PTPTN: mencetus kekeliruan berganda ahli-ahli Umno?


Selesai sudah Debat PTPTN antara Ketua Pemuda Umno Malaysia-Khairy Jamaluddin Abu Bakar  (KJ) dengan Pengarah Strategik KEADILAN Malaysia-Rafizi Ramli yang telah mencetuskan suatu lebaran baru dalam politik negara. 

Debat tersebut adalah langkah awal yang dianggap suatu usaha positif membentuk politik negara ini ke arah yang lebih demokratik dan berilmiah. Kelangsungan debat tersebut telah 'memukul' kedegilan pimpinan utama Umno untuk menjadi lebih 'gentleman' berbahas secara berani menghujahkan fakta-fakta atas beberapa isu dan dasar antara pemerintah dan pembangkang.

Apakah kedinginan dan 'ketidakberanian' beberapa pemuka Umno untuk berdebat secara terbuka sebagaimana yang berlaku antara KJ dan Rafizi disebabkan mereka kekurangan fakta atau ketidakmampuan berhujah secara ilmiah dengan wakil-wakil pembangkang? Setakat hari ini, pemuka-pemuka Umno lebih berani menempelak pembangkang melalui media yang ternyata berat sebelah memaparkan jawab-balas dari pembangkang. Jika ada pun, ia telah diputar belitkan oleh para editor media  perdana yang tunduk pada kehendak pemuka-pemuka Umno-BN!



Apakah Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berani untuk berdebat secara langsung? Beliau mungkin berani menyertai debat tetapi apakah kualiti debat daripada beliau akan bersifat fakta atau emosi dan sentimen politik semata-mata? 

Itu pernah berlaku dalam debat Anwar Ibrahim dan Ahmad Shabery Cheek beberapa tahun lalu, yang telah menyaksikan Shabery Cheek lebih gemar membuat serangan-serangan peribadi daripada menghujahkan fakta-fakta mengenai dasar kerajaan dalam beberapa perkara yang diajukan oleh Anwar Ibrahim. 

Persoalannya, adakah para pemuka utama Umno bersedia untuk keluar daripada kerangka politik lama? atau masih mahu terus kekal dengan kerangka politik lama yang lebih suka menyerang dan membantai pembangkang secara bacul melalui media?

Kekeliruan kepada Ahli Umno?

Setelah bertahun-tahun isu Liwat 2 dipaparkan kepada rakyat dan ahli-ahli Umno pula di-doktrin-kan bahawa Anwar Ibrahim peliwat, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Januari 2012 lalu telah membebaskan Ketua Umum KEADILAN itu daripada tuduhan tersebut, mencetuskan 'kekacauan akal' dan kekeliruan ahli-ahli Umno serta telah membawa mereka kepada suatu keadaan mendesak untuk mencari kebenaran hakiki-apakah mereka telah dipermainkan oleh strategi politik atasan pemuka-pemuka Umno atau mereka menjadi penyokong strategi membabi-buta tanpa bantah??

Maka debat PTPTN ini juga bakal mencetuskan lagi kekeliruan kepada mereka. Inilah ketakutan sebenar dikalangan pemuka-pemuka Umno apabila sesuatu program seperti debat disiarkan secara langsung kepada rakyat umum. Seluruh rakyat termasuk ahli-ahli Umno akan menontonnya. 

Fakta-fakta yang dikeluar-hujahkan oleh Rafizi adalah fakta-fakta yang jarang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 apatah lagi RTM! 

Rakyat umum khususnya di luar bandar dan kampung-kampung yang menyaksikan debat tersebut akan diperdengarkan dengan fakta-fakta daripada kedua-dua pihak. Memang benar tidak ada pemenang antara KJ dan Rafizi tetapi rakyat yang menontonnya akan menilai fakta-fakta yang dihujahkan. Ia akan menjadi perbincangan dan perdebatan dikalangan rakyat umum pula dan ia akan berterusan kerana rakyat akan terus mencari kebenaran hujah-hujah yang diperdebatkan. Kepesatan teknologi komunikasi  khususnya melalui telefon bimbit kini yang mempunyai aplikasi internet akan menghubungkan rakyat jelata dengan pelbagai maklumat pantas khususnya daripada laman-laman sosial seperti twitter, facebook, blog dan berita-berita online yang lebih pantas sebarannya.

Selama ini juga, gerombolan Umno mendoktrinkan pemikiran rakyat khususnya para penyokong dan ahli-ahlinya melalui media utama kawalan mereka. Debat PTPTN itu amat diyakini akan mencabar pemikiran para penyokong dan ahli Umno akar umbi untuk membuka perspektif mencari kebenaran fakta-fakta. Itu kesan panjang hasil debat yang disiar secara langsung di television. Ini yang sangat dibimbangi dan ditakuti oleh pemuka-pemuka Umno.

Sudah pasti ketika ini, akan ada ahli-ahli Umno akar umbi yang mempersoalkan fakta-fakta tersebut kepada pimpinan mereka. Jawapan yang bakal diberikan itu juga bakal menentukan corak jawapan-apakah ia dijawab secara informatif benar atau informatif bersentimenkan politik gerombolan??

Cuba bayangkan jika debat mengenai 'Penyenaraian Felda Global Plantion Ventures' antara Ahmad Maslan dan Mahfuz Omar atau mana-mana pimpinan utama PR diadakan. Sudah pasti ia akan mengoncang sokongan dan mencabar pemikiran seluruh warga Felda secara radikal.

Ketakutan berhadapan secara berani para pemuka Umno adalah sikap hakiki mereka kerana keupayaan mereka untuk berhujah secara ilmiah jauh meleset. Sayangnya individu intelektual seperti KJ terpaksa melarikan hakiki ilmiah demi mempertahankan kebejatan gerombolan Umno-BN walaupun beliau sendiri tahu kebenarannya. Jika beliau menongkah arus, jangka hayatnya dalam kerangka politik Umno bakal dipendekkan!


Wednesday 16 May 2012

PRU-13: Relevankah MIC di N07 Jeram Padang?

Sebelum era Reformasi 98, Dun Jeram Padang tidak menjadi perhatian penting politik apatah lagi ia berada dalam daerah pedalaman Negeri Sembilan iaitu Jempol. Jika dari sudut pertandingan pilihanraya, ia menjadi tempat maut kepada pembangkang dan sukar untuk ditembusi.

Mengikut kouta pembahagian kerusi BN di Negeri Sembilan, Jeram Padang telah diperuntukan kepada MIC selain daripada Dun Port Dickson dan Parlimen Telok Kemang. Jeram Padang juga merupakan dun yang paling tinggi peratusan pemilih kaum India di Negeri Sembilan iaitu 36.77%, telah menjadi kawasan selesa MIC tanpa merasa gugatan politik pembangkang sebelum Tsunami Politik 2008.

Terbukti sejak PRU 1995, MIC cukup selesa memenangi Jeram Padang tanpa dapat disaingi secara kuat oleh pembangkang hatta ketika era Reformasi 98, MIC masih memenangi Jeram Padang pada PRU 1999 dengan majoriti yang besar.

Sejarah Pilihanraya

Dato Lilah Yasin
(ADUN Batu Kikir 1990-1995)
Jeram Padang diwujudkan sebagai dun sebelum PRU 1995. Sebelum itu, beberapa daerah mengundi yang terdapat di Jeram Padang berada di Dun Batu Kikir dan sebahagian lagi (Rompin, Bukit Pilah & Jeram Padang) di Dun Johol. Persempadanan semula yang mewujudkan Jeram Padang bertujuan untuk memecahkan blok-blok sokongan Semangat 46 yang telah menggugat kedudukan selesa Umno di Batu Kikir yang menang dalam PRU 1990 dengan majoriti bawah 1500 undi sahaja.

Pilihanraya pertama di Jeram Padang adalah PRU 1995 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara MIC-BN, DAP dan Semangat 46. Calon MIC, M.Sundram menang dan perolehan undi sebanyak 5,552 undi (80.56%) dengan majoriti 4,790 undi (69.50%). Manakala calon Semangat 46, Mejar (B) Dato Haji Mohd Zain Yaacob mendapat 762 undi (11.06%) dan calon DAP, P.Ramakrishnan mendapat 578 undi (8.39%). Pengaruh pembangkang khususnya Semangat 46 merundum ketika PRU 1995 dan telah menyaksikan kebanyakan tempat pertembungan sesama pembangkang. Situasi tersebut telah menjadikan kedudukan BN cukup selesa memenangi pilihanraya tanpa saingan kuat pembangkang.

Era Reformasi

Kehangatan gelombang Reformasi 98 tidak begitu merebak secara besar-besaran di Jeram Padang sebagaimana yang diterima dan dialami di Telok Kemang, Seremban, Rasah dan Kuala Pilah. Ia seolah-olah terpingir daripada arus sebaran maklumat mengenai kebangkitan gerakan Reformasi 98.

T.Rajagopalu
Hasilnya dalam PRU 1999, MIC tetap memenangi Jeram Padang dengan majoriti yang selesa walaupun berlaku kemerosotan 10% perolehan undi popular berbanding PRU 1995. Kemerosotan itu diyakini datang daripada peralihan undi pemilih Melayu kepada calon Keadilan ketika itu. 
T. Rajagopalu menang dengan majoriti 2,784. Perolehan undi beliau ialah 4,848 undi (70.14%).

Calon Keadilan bagi Jeram Padang ketika itu adalah mantan Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan iaitu Ibrahim Yusof, yang mendapat perolehan undi popular sebanyak 29.86% (2,064 undi). Undi dari daerah mengundi Pasir Besar yang banyak diterima oleh calon Keadilan. 


PRU 2004 
Ketika ini prestasi Barisan Alternatif telah merudum dipengaruhi oleh faktor perubahan kepimpinan negara setelah Abdullah Haji Ahmad Badawi mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir Mohamed pada Oktober 2003. Paklah tidak menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkan mandat baru dari rakyat dan telah mengadakan PRU 2004 pada 21 Mac 2004.

Ketika ini, kemenangan MIC di Jeram Padang memuncak apabila calonnya Krishnan A/L Letchumanan (gambar kiri) memperolehi sebanyak 5,023 undi dengan undi popular 83.94% mengatasi pencapaian undi popular PRU 1995.

Calon Keadilan, Raja Gopal A/L Somoo hanya mendapat 939 undi (15.69%) sahaja. Ia jelas memperlihatkan momentum sokongan seluruh lapisan kaum memberi sokongan yang agak tinggi kepada kepimpinan Paklah.


Tsunami Politik 2008
Ombakan politik yang berlaku pada 8 Mac 2008 lalu benar-benar memberi kesan meluas kepada seluruh kawasan campuran seluruh negara termasuk Jeram Padang.

Kali ini, kedudukan MIC selaku pemenang mutlak pilihanraya di Jeram Padang tergugat. Ia bukan lagi menjadi kerusi selamat untuk MIC. PRU 2008 lalu turut menyaksikan dua kawasan lain yang ditandingi oleh MIC tewas di tangan Pakatan Rakyat. Parlimen Telok Kemang dan DUN Port Dickson telah dimenangi oleh Keadilan. Hanya Jeram Padang yang terselamat daripada ombakan politik tersebut namun kedudukan selesa MIC kini mampu disaingi pembangkang.

V.S Mogan
Pada PRU 2008 lalu, calon MIC-V.S Mogan memenangi dun ini dengan majoriti 1,808 undi. Beliau mendapat 4,185 undi (63.78%). Calon Keadilan-K.Manoharan memperolehi 2,377 undi (36.22%). Ia merupakan peralihan (swing) sebanyak 20.53% undi kepada Keadilan. Satu peralihan undi yang cukup tinggi kepada mana-mana pembangkang yang pernah bertanding di Jeram Padang. 

Kemenangan MIC pula dibantu oleh undi-undi pemilih Melayu dari daerah mengundi Palong Satu & Dua dan Bukit Rokan Barat yang ketiga-tiga kawasan ini adalah 90 peratus pemilih Felda. Manakala kemenangan bagi Keadilan berlaku di beberapa kawasan campuran dan majoriti pemilih India.


Potensi PR

Melihat kepada kesan ombakan politik Mac 2008 itu, PR khususnya Keadilan dilihat mempunyai peluang mencapai kemenangan pada PRU-13 akan datang di Jeram Padang. Namun begitu, apakah pemilih India masih mengekalkan sokongan sebagaimana PRU 2008 atau telah kembali kepada BN atau kian meningkat kepada PR?

Jika gerakan menembusi kawasan Felda yang digerakkan secara aktif oleh Keadilan Negeri Sembilan sejak tahun 2009 lalu diambilkira, besar kemungkinan akan berlaku peningkatan undi kepada Keadilan daripada kawasan-kawasan Felda di daerah mengundi Palong 1 & 2. Namun begitu, Keadilan juga masih sukar untuk menembusi kawasan Bukit Rokan Barat. Kawasan inilah yang memberi kemenangan kepada VS Mogan. Hampir 90 peratus undi dari Bukit Rokan Barat memihak kepada BN. Sudah pasti BN khususnya MIC akan cuba mengekalkan sokongan kawasan tersebut.

Sebelum ini telah dikhabarkan bahawa beberapa parti lain turut berminat untuk meletakkan calonnya di Jeram Padang seperti Human Right Party (HRP) dan Parti KITA. Kali ini, Jeram Padang telah menjadi titik penting dalam peta politik negara khususnya di Negeri Sembilan.

Seandainya sokongan pemilih India mampu dikekalkan sebagaimana PRU 2008 disamping lonjakan 80 peratus sokongan pemilih Cina, kemenangan mampu dijanakan oleh PR dengan meningkatkan sekurang-kurangnya 36 peratus sokongan pemilih Melayu.

Gerakan membela warga peneroka akibat penindasan Felda yang dijalankan oleh Warga Felda Perihatin dan ANAK secara aktif dan berterusan di seluruh Jempol memungkinkan berlaku anjakan sokongan kepada PR.

Pertelingkahan dalaman MIC Negeri Sembilan  kerana perebutan untuk menjadi calon di Jeram Padang tidak lagi menjadi rahsia parti tersebut. Umum telah mengetahuinya. Sebagaimana Umno, PRU-13 kali ini akan menjadi pentas hidup mati MIC dalam arena politik tanahair.

Andaian Kemenangan Penulis:
PR: 52%
BN: 48%

Jangkaan BN:
BN: 60%
PR: 40%

Sunday 13 May 2012

Tragedi 13 Mei-suatu strategi politik

Semalam telah genap 43 tahun tragedi berdarah 13 Mei 1969 berlalu. Pelbagai tulisan berkaitan tragedi itu telah dinukilkan sebelum ini oleh ramai penulis dan penganalisis politik serta pakar sejarah. Cuma di ruangan ini, tragedi ini akan dinukilkan dalam bentuk yang berlainan.

Ketika masih di alam persekolahan (1986-1998), kisah ini sering diceritakan oleh orang tua-tua samada datuk nenek atau ibu bapa kita. Perkara yang cukup terlekat dikepala kita sehingga kini adalah 'ketakutan bahawa kalau Cina berkuasa, Melayu akan hilang kuasa'. Cuma ketika itu, agak sukar difahami secara jelas peristiwa itu tercetus dan sebab munasabab ia berlaku.

Namun kini, Tragedi 13 Mei 1969 itu boleh dianggap sebagai suatu strategi licik politik menguasai keadaan untuk meruntuhkan penguasaan sesuatu kuasa politik lain. Ketakutan dijadikan sebagai suatu lembaga hitam yang diresap dalam fikiran bahawa jika bangsa lain berkuasa dan menguasai politik negara, maka akan hilanglah kedaulatan bangsa Melayu di tanahair ini. 

Ia masih terkesan dan masih digunakan oleh pihak gerombolan Umno khususnya kepada blok-blok sokongan mereka yang dibina daripada kelas-kelas masyarakat pertengahan dan bawahan. Ketakutan seperti ini menjadi modal ampuh gerombolan untuk mengekal suatu keadaan yang membayangkan kedudukan mereka sangat-sangat diperlukan sebagai 'pembela agama dan bangsa'. Selagi ia dipegang dan 'didoktrinkan' oleh kelas-kelas masyarakat pertengahan dan bawahan Melayu, selagi itu penguasaan gerombolan Umno mampu dikekalkan. Jika ia pecah, bocor dan terbongkar, ada kemungkinan wadah politik gerombolan Umno bakal ditinggalkan oleh masyarakat ini secara besar-besaran!

Jika dilihat secara tersurat, ia seakan tuduhan rambang tak berbukti. Akan tetapi andainya ia diteliti daripada perspektif ilmu politik, ia adalah suatu hakikat yang berlaku. Mengapa?

Jawapan itu harus dilihat kepada galur masa persejarahan politik negara bermula sebelum merdeka. 

Gerakan HARTAL pada 20 Oktober 1947 dahulu merupakan suatu mogok besar-besaran yang disertai oleh pelbagai kaum di Tanah Melayu ketika itu bagi membantah pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal oleh penjajah British. 

Gerakan mogok raksasa itu telah dianjurkan oleh AMCJA-PUTERA yang terdiri daripada gabungan pertubuhan siasah pelbagai kaum yang bertujuan untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British dan mahukan Perlembagaan Rakyat digunakan oleh negara ini.

Kebangkitan rakyat melalui gerakan AMCJA-PUTERA ini telah mencetuskan kebimbangan pihak British kerana masih berat untuk melepaskan negara ini daripada kawalan mereka. Seandainya kawalan politik dan ekonomi ini diserah kepada AMCJA-PUTERA jika merdeka, British secara halusnya sukar untuk meneruskan penguasaan ekonomi Tanah Melayu yang telah mereka kuasai sejak berabad lamanya. 

Perpaduan politik rakyat Tanah Melayu ketika itu yang digerakkan oleh AMCJA-PUTERA turut menyukarkan penguasaan British ke atas masyarakat Tanah Melayu melalui politik. Dasar Pecah & Perintah yang diamalkan oleh British sejak awal kurun-19 adalah faktor utama penguasaan mutlak mereka dalam politik, ekonomi dan sosiologi masyarakat Tanah Melayu. 

Melalui dasar ini, selagi pengasingan dan pemecahan peranan kaum berlangsung, selagi itulah British akan terus menguasai seluruh kaum. Kaedah inilah yang telah berjaya dijalankan dan dilaksanakan dengan berjaya kini oleh gerombolan Umno ke atas masyarakat peneroka di kawasan-kawasan Felda seluruh negara. Lihatlah penguasaan hak-hak peneroka yang dimanipulasikan oleh gerombolan Umno melalui FELDA. Mana-mana peneroka yang cuba melawan dan enggan bekerjasama dengan Felda akan ditekan dan diugut dengan pelbagai tindakan. Ia adalah contoh terbaik ilmu politik dalam menilai kaedah-kaedah penguasaan politik ke atas sosiologi masyarakat.

Atas faktor kebangkitan 1947 itu, British telah melancarkan 'perang' menangani kebangkitan tersebut dengan melaksanakan perintah DARURAT 1948. Perintah ini telah menghalalkan British untuk menghalang kebangkitan itu. Gerakan AMCJA-PUTERA telah dilihat oleh British sebagai suatu ancaman kepada kekuasaan imprealisme mereka dan telah mengisytiharkan gerakan tersebut sebagai haluan kiri dan pro-komunis. Ramai penggerak dan pimpinan utama gerakan rakyat tersebut telah ditahan oleh British. Langkah itu telah memberi ruang kepada gerombolan Umno untuk berada dihadapan sejarah tanahair sebagai 'pencetus kemerdekaan tanahair' dengan sokongan British.

Secara logika politik imprealisme, tidak semudah untuk melepaskan sebuah jajahan yang mempunyai kekayaan hasil buminya tanpa mengaut sebanyak mungkin hasil tersebut secara halus. Maka British memerlukan sebuah pertubuhan politik atau parti yang mengikut acuannya. Demi melangsungkan agenda pecah & perintah, British menyokong penubuhan parti-parti siasah yang bercirikan perkauman seperti Umno, MCA dan MIC. Parti-parti ini sangat-sangat berbeza dengan gerakan AMCJA-PUTERA yang lebih menjurus penyatuan semua kaum di Tanah Melayu sebagai sebuah bangsa bersatu yang merdeka. 

Malah, pengasas Umno sendiri Dato' Onn Jaafar sendiri pernah mencadangkan keahlian Umno dibuka kepada semua kaum sebagai mengukuhkan solidariti antara kaum. Namun cadangan beliau itu telah mendapat tentangan kuat beberapa pimpinan parti ketika itu. Rasionalnya, Dato' Onn telah melihat jauh kehadapan, bahawa untuk membentuk sebuah negara bangsa yang kuat adalah melalui penyatuan semua kaum. Seandainya cadangan itu diterima, istilah Umno akan berbunyi 'United MALAYA National Organization' atau Pertubuhan Kebangsaan MALAYA Bersatu yang lebih bersifat nasional.

Pilihanraya Umum Negara

Setelah merdeka, Pilihanraya Umum (PRU) pertama negara telah diadakan pada tahun 1959. Gerakan-gerakan politik bukan Perikatan iaitu Front Sosialis, Parti Negara, PAS, Parti Malaya dan PPP bergerak aktif di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Kemenangan PAS di Terengganu dan Kelantan sehingga membentuk kerajaan negeri menjadi satu saingan kuat kepada politik Perikatan. Begitu juga bertapaknya gerakan Front Sosialis di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. PPP menjadi pasukan pembangkang kuat di Perak.
Ahmad Boestamam
Presiden Front Sosialis & Ketua Pembangkang Parlimen
(1959-1963)


Antara tahun 1961-1965, gerakan tersusun pihak Perikatan melalui akta ISA telah melumpuhkan kekuatan Front Sosialis. Ramai pimpinan utama Parti Buruh dan Parti Rakyat yang membentuk Front Sosialis telah ditangkap atas alasan menjadi agen komunis.

Namun, penangkapan yang bertujuan sebagai menakutkan rakyat untuk menyokong Front Sosialis dan parti-parti lain yang bukan Perikatan masih gagal menghasilkan kemenangan politik kepada Perikatan di Kelantan dan Terengganu yang masih dikuasai oleh PAS. Pada waktu ini jugalah selepas PRU 1964, Perikatan telah menggunakan kaedah membeli wakil rakyat Parti Negara sebagai langkah menjatuhkan kerajaan negeri PAS di Terengganu.

Kemuncak pada PRU 1969, telah menyaksikan barisan pembangkang menyaingi kedudukan dewan undangan negeri seperti di Perak, Kedah, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan dengan menafikan kuasa dua pertiga Perikatan. Manakala di Pulau Pinang dan Kelantan telah dikuasai Parti Gerakan dan PAS.

Kedudukan Perikatan yang genting di Selangor dan Perak telah menyebabkan kebimbangan pihak gerombolan Umno akan kehilangan penguasaan politiknya ke atas negara ini. Ia sebenarnya bukan berkisar kepada penguasaan politik Melayu kerana daripada pihak pembangkang sendiri mempunyai ramai wakil-wakil Melayunya. 

Sudah pasti ketika itu, pakar-pakar strategi dan pemikir-pemikir Umno yang sebelum itu berjaya membentuk kaedah membeli wakil rakyat untuk membentuk penguasaan di Kelantan dan Terengganu telah berperah ilham mencari kaedah politik terbaik bagi menghalang serta melemahkan kedudukan pembangkang.

Maka ilham 'meruntuhkan perlembagaan' tercetus dengan mewujudkan suatu keadaan huru-hara atau kekacaun politik sekaligus mengisytiharkan darurat. Alasan perkauman digunakan iaitu 'kuasa Melayu telah dicabar oleh Cina' dan langkah-langkah provokasi telah digerakkan. Harus diingat langkah-langkah provokasi ini telah dilakukan juga ketika era moden iaitu semasa himpunan Reformasi 1998, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0. 

Sentimen perkauman dibakar dan dimarakkan ke pelusuk negara sebagai menaikkan kemarahan orang-orang Melayu. Khabar-khabar angin mula tersebar dengan tokok tambah cerita yang bersifat perkauman. Akhirnya, cetusan provokasi telah berjaya dan terjadinya pergaduhan besar antara kaum Melayu dan Cina yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Kerajaan Perikatan kemudiannya mengisytiharkan darurat dan parlimen lumpuh. Kemudian Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Kuasa Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman tidak  berfungsi sebagaimana biasa dan pentadbiran negara dijalankan sepenuhnya oleh Mageran. 

Peristiwa 13 Mei tersebut telah menyebabkan Tunku Abdul Rahman 'dipaksa secara politik' untuk meletakkan jawatan sebagai PM. Beliau kemudiannya diganti oleh Tun Abdul Razak.

Setelah strategi 'meruntuhkan perlembagaan' negara berjaya, langkah seterusnya adalah menyusun kembali sistem dalam negara. Kesemua parti pembangkang kecuali DAP telah dijemput menyertai pakatan baru yang menggantikan Perikatan iaitu Barisan Nasional. 

Bermula dari tahun 1970, gerombolan Umno melalui Barisan Nasional akhirnya dapat menembusi Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang. Begitu juga keadaannya di Perak yang mana kedudukan politik PPP berjaya dilemahkan. 

Rasionalnya, tanpa Tragedi 13 Mei gerombolan Umno tidak mungkin mampu menghakis sokongan dan kekuatan politik pembangkang khususnya gerakan Front Sosialis, PAS dan PPP. Ia adalah satu strategi politik yang menggunakan alasan perkauman untuk 'membunuh' politik pembangkang secara besar-besaran.

Harus diingat dan dihayati, tindakan darurat mungkin diguna-pakai oleh gerombolan Umno sekiranya kuasa mereka tergugat. Bibit-bibit itu cuba dibangkitkan kembali, tetapi kepesatan teknologi maklumat yang berlaku kini telah membuka minda rakyat. Kematangan memahami politik telah mula menyuburi pemikiran rakyat untuk menolak politik perkauman.

Semoga ia dapat dihindari demi kesejahteraan semua tanpa menggugat keharmonian rakyat.

*sebarang pandangan, komen dan pendapat serta pembetulan amat dialu-alukan sebagai pertukaran maklumat dan mengisi kekurangan atau kesalahan fakta.





Thursday 10 May 2012

Siapa sebenar pengkhianat negara?

Beberapa ketika lalu, gerombolan Umno-BN menyerang hebat Anwar Ibrahim dengan melabelkan beliau sebagai pengkhianat negara yang menjadi agen Israel. 

Malah setelah kehabisan modal isu liwat dengan keputusan pembebasan Ketua Umum Keadilan itu daripada isu Liwat 2, gerombolan Umno-BN tidak pernah berhenti mencerca dan menjatuhkan kredibiliti beliau di kalangan kaum Melayu.

Kini, setelah diberi 'pukulan hebat' dek sokongan luarbiasa orang ramai kepada Himpunan Bersih 3.0, gerombolan Umno-BN meneruskan kaedah merosakkan peribadi beberapa pimpinan utama Keadilan secara melampau. Sekali lagi, peranan puak-puak pencacai gerombolan melayangkan gambar-gambar skandal seks ke paparan umum. Sebagaimana yang berlaku kepada Anwar Ibrahim, sasaran kali ini ditujukan kepada Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali. 

Namun, tidak ada satu pun logika yang membuktikan tubuh badan tersebut adalah Azmin Ali. Sekali lagi rakyat umum diheret untuk menerima secara paksa pembohongan politik gerombolan Umno-BN. Amat menyedihkan, sebagai sebuah pertubuhan siasah yang sering mengangkat kedudukannya sebagai 'pembela bangsa dan agama', perjuangan kepada isu-isu berkaitan rakyat semacam terus terbiar. Dinamika politik sihat terus lenyap daripada parti ini.

'Pengkhianat Negara'

Jika kita semua melihat gambar di atas, sudah ada bukti jelas warganegara asing dijadikan pemilih bagi sesebuah kawasan untuk mengundi dalam pilihanraya. Ia agak ketara dan keterlaluan warga-warga Indonesia telah 'diwarganegarakan' menjadi rakyat Malaysia. Melihat kepada nama 'Armeyanto', ia jelas sebutan dan satu nama yang sinonim kepada negara jiran tersebut. Ia sangat berbeza dengan nama-nama kebiasaan warga Melayu Malaysia hatta orang-orang jawa atau minang yang ada di Malaysia!

Inilah logika atau hakikat yang berlaku dalam senarai pemilih. Desakan yang dibuat oleh BERSIH bukan suatu omongan kosong. Ia benar-benar berlaku. Gambar tersebut adalah antara bukti nyata dan anda semua boleh menyemaknya dalam laman web SPR.

Maka memang benarlah dan kemungkinan besar warga-warga Indon yang berada di Kampung Baru, Kuala Lumpur atau warga-warga Acheh yang berada di Pelabuhan Kelang bakal menjadi 'pemilih baru' yang pastinya akan memberi undi kepada gerombolan Umno.

Persoalan timbul dan ditujukan kepada rakyat keseluruhan khususnya kepada sekelian ahli-ahli Umno, apakah anda rela membiarkan warga-warga asing ini kemudian hari 'menjarah' hak-hak warganegara Malaysia khususnya kaum Melayu?


Kesan kepada masyarakat

Mungkin dari segi satu sudut politik, keadaan ini 'diperlukan' untuk menang demi mengekalkan kuasa. Namun apakah pertukaran atau tawaran yang diberikan kepada para warga asing ini yang menjadi warganegara Malaysia secara segera ini?

Tawarannya sudah pasti ruang-ruang pekerjaan, peluang perniagaan, tanah dan rumah. Tatkala rakyat sendiri bersusah payah untuk membeli rumah sendiri, rakyat asing ini semacam diberi 'hak istimewa' yang melangkaui hak istimewa Melayu itu sendiri.

Lihat sahajalah di pasar Kg Baru, KL yang dikuasai oleh peniaga-peniaga Indonesia dan Bangladesh. Semua ruang-ruang perniagaan di kawasan itu telah 'di-alibaba-kan' kepada mereka oleh pemilik asal.

Malah ada dikalangan mereka yang bangga menayangkan kad pengenalan warganegara Malaysia. Bagaimana itu boleh berlaku? Apakah sindiket memberi kad pengenalan itu turut melibatkan jabatan-jabatan berkaitan?

Logika isu

Berdasarkan gambar di atas, pemilih tersebut bakal mengundi di Dun Ampangan, Parlimen Seremban di Negeri Sembilan. Kawasan dun ini telah dimenangi oleh Keadilan dengan majoriti yang kecil iaitu 165 undi (1.47%).

Pada PRU 2008 lalu, jumlah undi yang diterima oleh kedua-dua pihak bertanding iaitu BN dan Keadilan adalah seperti berikut;

Rashid Latiff (Keadilan): 5,679 (50.61%)
Mohd Nor Awang (BN): 5,514 (49.14%)
Undi rosak: 236 (2.06%)
Majoriti: 165 (1.47%)

Kedudukan Umno di Ampangan boleh dianggap kritikal berdasarkan maklumat tersebut. Maka kaedah membawa masuk pemilih baru khususnya 'pemilih-pemilih import' dari Indonesia ini diperlukan oleh Umno untuk kemabali memenangi Ampangan. Pihak gerombolan Umno melihat peluang untuk mengatasi jumlah undi yang diperolehi oleh Keadilan hanya dengan kaedah ini.

Secara teorinya, berapakah pemilih-pemilih import ini diperlukan untuk mencapai tujuan kemenangan tersebut?

Minima diperlukan adalah 1,500 orang dan maksimum adalah 2,850 orang. Apakah angka itu mustahil dicapai oleh pihak gerombolan? Jawapannya tidak kerana mereka 'dibantu' oleh agensi-agensi berkaitan dalam tujuan mewarganegarakan warga asing dari Indonesia atau Bangladesh.

Mungkin angka yang diberikan di atas agak tinggi atau mungkin kurang. Untuk mendapatkan lebih kepastian, sila rujuk kepada jumlah pertambahan pemilih di Ampangan khususnya pemilih Melayu. Mungkin logik kepada isu ini benar-benar wujud.



Monday 7 May 2012

Siapa Menteri Besar NS selepas PRU-13?

Siapa Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 nanti? Sama ada dari BN atau PR, ia suatu persoalan yang menarik perhatian umum untuk dibicarakan. Negeri Johor muktahir ini telah dikencangkan dengan khabar angin politik bahawa telah ada nama-nama tertentu dicadangkan sebagai MB baru Johor setelah MB sedia ada, Ghani Othman berhasrat untuk melepaskan jawatan tersebut dan mencadangkan nama Dato' Shahrir Samad sebagai pengganti beliau.

Bakal MB Negeri Sembilan juga hangat diperkatakan dan diperbincangkan dikalangan pemerhati dan penganalisis politik. Samada BN atau PR yang pasti aura MB baru semakin kuat mewarnai perjalanan semasa politik negeri ini. Siapakah yang dicadangkan dan layak memegang ketua eksekutif negeri ini?

Khabar-khabar dari pihak BN Negeri Sembilan sendiri telah banyak melayangkan maklumat-maklumat tidak rasmi yang bersifat sembang kedai kopi tentang pengganti MB ketika ini, Dato Seri Mohamad Hassan. Apakah benar Mohamad bakal diganti oleh calon lain?

Khabar-khabar bertiup hebat di Kuala Pilah apabila Ahli Parlimennya, Dato' Hasan Malek (gambar) dikatakan bercita-cita untuk menjadi MB. Lebih menarik lagi, beliau telah membuat persiapan dan persediaan untuk bertanding di peringkat DUN. Johol adalah sasaran beliau untuk menjadi DUN yang bakal ditandinginya. Agak pelik pada mulanya dan menjadin pertanyaan mengapa beliau tidak bertanding sahaja di Juasseh, iaitu dun yang pernah beliau wakili suatu masa dulu? Ada sumber-sumber tak rasmi tempatan menyatakan rakyat di Juasseh tidak begitu menyukai beliau. 

Kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi kredit politik terbaik untuk melaksanakan impian dan hasrat beliau itu. Tambahan pula, beliau turut mempunyai hubungan yang baik dengan PM, Najib Razak.

Ismail Lasim
Perebutan jawatan untuk MB NS di Kuala Pilah paling hebat berbanding lain-lain bahagian kerana Ketua Umno Bahagiannya, Dato' Ismail Lasim (ADUN Senaling) juga mempunyai cita-cita yang sama. 

Ketika Negeri Sembilan heboh memperkatakan pengganti Isa Samad sebagai MB, nama Ismail Lasim adalah antara yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan tersebut. Namun, PM ketika itu Pak Lah selesa memilih calonnya iaitu Mohamad Hassan. Perang 'merebut jawatan' ini tidak dapat disembunyikan lagi dan ia semakin marak setelah ada ura-ura Mohamad Hassan bakal diganti oleh Najib sekiranya BN memenangi PRU-13 di Negeri Sembilan.


Selain daripada itu, ada maklumat tidak rasmi memperkatakan nama Senator Dato' Najeeb Abdullah disebut sebagai pengganti MB kerana keterlibatan beliau dalam mana-mana program Mohamad Hassan. Beliau seakan dilihat sebagai bayangan kepada pengganti MB NS. Beliau adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah. Keadaan itu tidak boleh dinafikan kerana pengaruh Ketua Umno Bahagian Rasah, Dato' Hasim Rusdi sebagai Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan ketika ini mampu memberi sokongan politik kepada timbalannya sebagai MB baru. Malah ada perkhabaran Dato Najeeb akan diletak bertanding samada di Labu atau Rantau.

Calon MB dari PR NS?
Rakyat negeri ini sebenarnya masih tertanya-tanya siapakah calon MB dari Pakatan Rakyat Negeri Sembilan? Beberapa bulan lepas, beberapa media online telah memaparkan berita tentang perkara ini. Namun, pengesahan mutlak calon-calon yang diperkatakan masih belum ada muktamad dan bersifat sembang kedai kopi.

Dato Kamarul Baharin Abbas
Ini sekadar pandangan dan bukan suatu cadangan. Pakatan Rakyat Negeri Sembilan secara politiknya diketuai oleh PKR NS. Keadaan tersebut secara langsungnya telah menggambarkan Pengerusi PKR NS iaitu Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas terkedepan sebagai calon MB NS dari PR. Ia seakan sepadan dengan laporan media online yang memetik kenyataan pimpinan pusat PKR bahawa sekiranya Negeri Sembilan dimenangi PR, menteri besarnya adalah dari PKR.

Pimpinan PR NS juga cukup senang dan selesa dengan beliau. Penilaian dari sudut keterampilan, Dato' Kamarul mempunyai personaliti yang baik. Rekod baik beliau dalam memimpin PKR Negeri Sembilan menjadi landasan terbaik untuk beliau diangkat ke jawatan eksekutif tersebut.

DAP NS juga cukup bijak dan berhati-hati dengan isu MB dari PR. Parti tersebut memegang teguh persepakatan dan kerjasama yang terjalin antara PKR dan PAS. Malah DAP NS tidak keberatan menerima dan menyokong mana-mana wakil rakyat Melayu dari PKR atau PAS untuk dilantik sebagai MB. Ini keistimewaan dan kelainan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.












PRU-13: apakah PR mampu memenangi Pertang?

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa pada Pilihanraya Umum 1959, dun Pertang telah dimenangi oleh calon Bebas, iaitu Allahyarham Dato' Aminuddin Abdul Wahab. Ia mencatat sejarah yang bermakna di sebuah negeri yang dikira sebagai kubu kuat Umno. 

Namun, dalam PRU 1959 itu beberapa kemenangan telah dicatatkan oleh calon-calon dari Socialist Front iaitu di Labu, Rahang, Jimah, Rantau, Pasir Panjang dan Gemas. Malah seorang lagi calon bebas, Chin See Yin turut menang di Lukut.

Kisah-kisah kemenangan calon-calon bebas dan parti-parti bukan Perikatan tidak langsung diketengahkan dalam catatan sejarah kini untuk tatapan serta pembelajaran buat generasi baru. Ia seakan dipendamkan agar memperlihatkan gerakan politk yang tidak sealiran dengan Umno-Perikatan kelihatan 'tidak gagah', 'lemah' dan 'tiada dinamika politik'. Ia suatu yang harus diperbetulkan agar perspektif rakyat tentang persejarahan politik negara dapat diteladani dan difahami.

Sejarah awal

Dun Pertang dan Kuala Klawang telah diwujudkan sebelum PRU 1959. Sebelum itu, pada pilihanraya 1955 kedua-dua kawasan ini berada kawasan Jelebu. 

Perikatan telah memberi kouta kepada MCA untuk bertanding di Kuala Klawang dan Pertang menjadi kouta untuk Umno. 

Mengikut maklumat lampau, asalnya Kuala Klawang akan ditandingi oleh calon Umno namun disebabkan perubahan kouta agihan kerusi Perikatan, calon MCA diletakkan bertanding. Maka calon Umno yang sepatutnya bertanding di Kuala Klawang iaitu saudara Ibrahim Haji Mansor telah diletakkan bertanding di Pertang. Tindakan ini telah menyebabkan berlaku krisis dalam Umno Jelebu ketika itu berkenaan calon.

Anak tempatan di Pertang iaitu Haji Aminuddin Abdul Wahab adalah calon asal yang diangkat oleh Umno untuk menjadi calon di Pertang. Namun, keputusan Perikatan meletakkan calon bukan anak tempatan iaitu Ibrahim Haji Mansor yang berasal dari Kampung Tembun, Kuala Klawang telah mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak Umno di Pertang.

Malah Timbalan Presiden Umno ketika itu, Tun Abdul Razak telah menjalankan kempen memburukkan Haji Aminuddin Abdul Wahab. Ia adalah sebagai menaikkan kredibiliti calon pilihan Umno Pusat iaitu Ibrahim Haji Mansor.

Namun begitu, situasi itu tidak mematahkan semangat Haji Aminuddin dan beliau tetap masuk bertanding sebagai calon bebas. Hasilnya, beliau telah berjaya memenangi pilihanraya di Pertang dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 800 lebih.

Kemudiannya, menyedari potensi dan kebijaksanaan strategi Haji Aminuddin, Tun Abdul Razak telah berjaya memujuk Haji Aminuddin menyertai Umno atas sebab perpaduan parti. Jawatan tertinggi yang pernah disandang oleh Haji Aminuddin Abdul Wahab adalah sebagai Speaker DUN Negeri Sembilan.

(jika ada sebarang tambahan maklumat atau pembetulan bagi tulisan di atas amat dialu-alukan)


Sejarah semasa
(Sejarah politik semasa diambil dalam garis masa bermula dari tahun 1986 hingga kini.)

Dun Pertang kekal menjadi kouta agihan kerusi untuk Umno. Pada PRU 1986, Dun Pertang telah dimenangi oleh BN dengan majoriti 3,662 undi. Calon BN memperolehi 81.79% undi popular manakala calon Pas mendapat 18.21% undi popular. Ketika ini, kedudukan Umno-BN kukuh bertapak dikalangan pemilih Melayu dan kebanyakan rakyat. Pas di Negeri Sembilan pada waktu itu agak sukar mendapatkan sokongan yang menyakinkan.

Era Semangat 46
Pergolakan politik dalaman Umno yang berlaku pada penghujung dekad 1980an telah mencetuskan gelombang perubahan politik tanahair, khususnya dengan kemunculan Parti Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh. Kesan daripada itu, telah berlaku ombakan politik di Negeri Sembilan khususnya di Parlimen Jelebu kerana Timbalan Presiden Semangat 46, iaitu Rais Yatim telah memperlihatkan goncangan politik kepada keberadaan Umno di Jelebu.

Terbukti Semangat 46 cukup menggoncang politik Umno di Jelebu khususnya di Pertang apabila calon BN hanya menang dengan majoriti tipis iaitu 109 undi! Calon BN mendapat 3,431 undi (50.81%) manakala calon Semangat 46 memperolehi 3,322 undi (49.19%).

Dalam PRU 1995, prestasi Semangat 46 dianggap merundum. Walaubagaimanapun, kedudukan Umno untuk memenangi dengan majoriti yang besar melebihi dua ribu undi masih tidak berjaya di Pertang. BN hanya mampu menokok majoriti kemenangan dengan 1,360 undi.

Era Reformasi 1999

Ketika era ini dalam PRU 1999, kesan gerakan Reformasi tidak begitu mempengaruhi para pemilih Melayu di Pertang berbanding di Klawang yang menyaksikan BN hampir tewas dan menang dengan  majoriti tipis 69 undi. Kedudukan penyandang Dun Pertang, Razak Mansor kekal menang dengan memperolehi majoriti 2,727 undi yang menewaskan calon Pas.

Dato' Razak Mansor
Razak Mansor sekali lagi berjaya mempertahankan kemenangan kali ketiganya dalam PRU 2004 di Pertang walaupun berlaku penurunan majoriti. Beliau menang dengan majoriti 2,094 undi yang menewaskan calon Keadilan. Namun begitu, walaupun tewas keseluruhan di Pertang, Keadilan buat pertama kalinya telah berjaya memenangi daerah mengundi Pasoh 4 dengan kelebihan 159 undi. Pasoh 4 merupakan kawasan felda.




Era Tsunami 2008

Kali ini, tsunami politik negara turut memberi kesan kepada para pemilih di Pertang. Walaupun calon BN, Razak Mansor berjaya mengekalkan kemenangan kali keempatnya kemerosotan sokongan dapat dilihat melalui perolehan majoriti kemenangan. BN menang dengan majoriti 1,995 undi.

Jika calon Keadilan ketika itu benar-benar membuat gerak kerja yang tersusun, kemungkinan besar Keadilan memperolehi kemenangan di Pertang.

Analisa 

Jika dikaji secara data berdasarkan perolehan undi yang diterima oleh pembangkang di Pertang sejak 1999, telah wujud undi tetap yakni pengundi tegar pembangkang sekitar 1800 orang dan kemungkinan angka itu akan bertambah selepas ini seandainya diukur dari segi sokongan mengikut kaum.

Mengikut pecahan semasa pemilih pertang mengikut kaum; peratusannya adalah seperti di bawah:

Melayu: 63%
Cina: 22.67%
India: 7.31%
Orang Asli: 6.9%

Andaian bahawa perolehan undi Keadilan pada PRU 2008 dikekalkan, sebanyak 800 undi lagi diperlukan oleh Keadilan untuk menang di Pertang. Sekiranya sokongan pemilih Melayu dapat dilonjakkan sehingga 43% disamping sokongan Cina 85% dan India 60%, potensi kemenangan bagi PR melalui calon Keadilan amat cerah.

Kelebihan

Kekuatan Umno di Pertang adalah dipengaruhi oleh kekuatan Rais Yatim di parlimen Jelebu. Umumnya, warga politik mengetahui bahawa Razak Mansor adalah penyokong kuat kepada Rais berbanding Adun Klawang. Jika pucuk pimpinan Umno Pusat mengekal Razak Mansor sebagai calon pada PRU-13, laluan mudah buat Keadilan menjana kemenangan di Pertang.

Selain daripada itu, ahli Umno di Pertang meliputi sekitar 36% daripada jumlah pemilih di Pertang. Namun begitu secara atas kertas ia adalah kekuatan kepada Umno tetapi jika ada ahli-ahli tersebut protes, tidak keluar mengundi atau mengundi calon PR, faktor tersebut akan membunuh kemenangan Umno. Pergolakan politik dalaman Umno di Pertang sebenarnya berlaku walaupun berjaya disenyapkan oleh pihak bahagian. Apakah Razak Mansor berada dalam ciri-ciri 'winnable candidate' yang disebut-sebut oleh Najib Razak?

Kekuatan Keadilan secara jujurnya terletak kepada penyokong-penyokong tegarnya di Pertang. Namun begitu, perubahan landskap sokongan politik kaum Cina kepada PR dilihat sebagai pemangkin kekuatan kepada Keadilan di Pertang.

Dikhabarkan Keadilan Negeri Sembilan telah meneladani situasi PRU 2008 lalu dan bersedia menampilkan tokoh atau calon daripada anak tempatan berbanding sebelum ini. 

Andaian Kemenangan BN

BN: 60%
PR: 40%

Andaian Kemenangan Penulis

BN: 48%
PR: 52%

Bersih 3.0-mencetuskan kekeliruan gerombolan Umno-BN?

Kejayaan Himpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April 2012 lalu dengan kehadiran lebih 200 ribu orang ramai membuktikan rata-rata rakyat ingin sebuah proses pilihanraya yang adil dan bersih daripada penyelewengan.

Bersih 3.0 harus menjadi suatu titik loncatan ke arah perubahan buat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia melakukan reformasi terhadap proses mengendali dan menguruskan pilihanraya secara adil dan tidak berat sebelah.

Namun begitu, 'kelicikan hina' yang digunakan oleh gerombolan Umno-BN menjalankan manipulasi laporan melalui media amat dikesali. Matlamat Bersih 3.0 telah secara sengaja dipendamkan dengan laporan-laporan berat sebelah yang memaparkan 'keganasan para peserta himpunan' yang sebenarnya adalah sesuatu tindakan terancang pihak berkuasa. Sebagaimana yang pernah berlaku dalam Bersih 2.0 lalu, tindakan provokasi saat akhir ketika himpunan Bersih 3.0 melabuhkan tirai programnya berlaku dengan pantas.

Lebih memainkan peranan adalah mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang telah melontarkan pandangan beliau bahawa himpunan Bersih 3.0 adalah 'suatu usaha pembangkang mengguling kerajaan'. Amat mendukacitakan pandangan itu telah dimanipulasikan oleh media utama bagi menutup matlamat Bersih 3.0, sehingga semua pimpinan utama Umno seakan bersetuju menerima pandangan mantan PM itu.

Hakikatnya, semua pimpinan gerombolan Umno terkejut dengan sokongan kehadiran rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 tersebut. Malah kehadiran dalam himpunan itu telah mengatasi kehadiran rakyat dalam demo Reformasi tahun 1998 lalu. Keadaan ini benar-benar menakutkan Mahathir Mohamad. Beliau amat arif dengan kesan demonstrasi atau himpunan besar rakyat sebegitu. Tindakan beliau memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli Umno serta melakukan penghinaan yang buruk telah mendatangkan 'petaka politik' selama sedekad kepada BN. Kesan itu turut menyebabkan Umno terjerumus kepada keadaan perpecahan yang hebat sepanjang beliau menjadi PM dan Presiden Umno sejak tahun 1981. Berbeza dengan Semangat 46, Mahathir telah gagal menyatukan kembali bekas-bekas ahli Umno yang keluar meninggalkan parti itu selepas Reformasi 1998.

Sekali ditegaskan bahawa himpunan Bersih 3.0 adalah suatu bentuk desakan demokratik kepada SPR agar menjalankan, menguruskan dan mengendalikan proses pilihanraya yang adil dan bersih daripada penyelewengan. Bersih 3.0 bukan suatu gerakan menjatuhkan kerajaan hatta meminta PM meletakkan jawatan. Ia jauh sama sekali daripada tindakan tersebut. Cuma pimpinan Umno yang sengaja mencetuskan kekeliruan demi kekeliruan kepada rakyat. 

Antara penyelewengan yang berlaku adalah dalam senarai daftar pemilih. Ia bukan suatu kisah rekaan atau omongan politikus jalanan. Ia adalah sesuatu yang benar-benar berlaku dalam SPR. Ada arahan-arahan 'pihak atasan' yang mengarahkan dijalankan pemindahan tanpa pengetahuan, kemasukan senarai-senarai pemilih yang diragui, perubahan lokaliti (samada digabungkan atau dipindahkan).

Senarai-senarai pemilih yang diragui itu meliputi senarai pengundi-pengundi hantu, senarai-senarai warganegara asing yang 'diwarganegarakan segera', pemilih-pemilih yang didapati mempunyai dua tempat mengundi, satu alamat mempunyai pemilih dalam angka yang tidak munasabah dan sebagainya.

Jika keadaan penyelewengan ini tidak dibersihkan, adalah tidak mustahil gerombolan Umno-BN akan tetap mengekalkan 'kemenangan' mereka pada PRU-13 akan datang.

Kerap kali ungkapan ini dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang memandang enteng isu ini atau 'kurang kewarasan fikirannya'-"Kalau SPR menyeleweng atau ada undi hantu, takkan PR boleh menang lima negeri PRU 2008'. Logika untuk ungkapan sebegitu adalah 'jika SPR itu telus dan bersih dalam mengendalikan pilihanraya, seluruh Malaysia telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat'.

Patah perkataan ini ditujukan buat mereka-mereka di luar sana yang 'terperangkap minda' dek terlalu membaca laporan daripada Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian atau Harian Metro. Sebelum anda melihat isu-isu sampingan yang berlaku dalam himpunan Bersih 3.0, lihat lah tujuan awalnya, lihat betapa amannya himpunan tersebut berlangsung. Jangan terpedaya dengan isu kereta polis diterbalikkan tanpa melihat perspektif yang lebih besar. Jangan disempitkan padang pemikiran itu dengan asakan-asakan sempit!


Friday 4 May 2012

Membersihkan Dakyah Kotor Politik Gerombolan

BERSIH 3.0 telah memperlihatkan ombakan semangat yang jitu oleh seluruh rakyat yang hadir menjayakannya. Lebih 200 ribu yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum seolah-olah memberi bayangan kepada pemerintah BN khususnya Najib Razak inilah semangat sejati Satu Malaysia sebenar.

Namun, disebalik kejayaan yang sebenarnya diakui dan disedari secara sembunyi oleh pemerintah telah cuba dialihkan dengan menonjolkan kisah-kisah buruk yang 'dicetuskan' oleh para peserta Bersih.

Sekali lagi rakyat telah diheret untuk menyaksikan paparan berita bersama gmbar-gambar lucah yang dijadikan laporan utama Utusan Malaysia. Ia tidak lagi menjadi suatu wadah bacaan yang sesuai kepada semua golongan rakyat dan lebih mendukacitakan sumber laporan tersebut dipetik daripada sebuah blog pencacai gerombolan yang belum pasti kesahihan cerita itu!

Alangkah menyedihkan sekiranya ada pemikiran-pemikiran rakyat khususnya orang Melayu boleh menerima dan menelan bulat-bulat laporan fitnah tersebut sebagai peristiwa benar! Ini adalah suatu bentuk perulangan kaedah terdesak gerombolan Umno yang pernah dilakukan pada tahun 1998 dahulu. Apakah dengan mengheret rakyat dengan laporan fitnah ini akan mampu membendung kekejaman polis terhadap peserta Himpunan Bersih 3.0?

Jika 13 tahun dahulu laporan sebegini yang 'menghukum' Anwar Ibrahim dengan hinanya boleh menggoncang dan mengalih sokongan rakyat khususnya kaum Melayu daripada pemerintah, adalah tidak mustahil keadaan serupa bakal berlaku. Teknologi IT yang berkembang pesat kini dengan kewujudan rangkaian laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog akan menjadi pencetus sebaran maklumat pantas yang terbaik menafikan pembohongan dan fitnah gerombolan Umno.

Apakah kaum Melayu masih mahu membiarkan pemikiran mereka terus dirosakkan oleh kebusukan politik yang dibawa oleh pemerintah?

Antara salah satu tuntutan Bersih adalah 'Menghentikan Politik Kotor'. Penyebaran laporan-laporan fitnah khususnya berkaitan skandal seks mana-mana ahli politik tanpa ada bukti sahih wajar dihentikan. Sewajarnya peperangan melalui pilihanraya dijalankan dengan penuh berhemah dan tidak melanggar adab kesopanan.

Rakyat sendiri telah menyaksikan dalam Himpunan Bersih 3.0 pihak polis telah bertindak luar batasan dan melanggar beberapa s.o.p. Logikanya rakyat sekali lagi tidak sanggup menerima kekejaman terancang sebegitu hanya kerana desakan Bersih mahukan tuntutan pilihanraya dijalan secara adil dan bersih oleh SPR.