Wednesday 30 May 2012

PRU-13: Pertarungan terakhir Umno di Rantau?

Mohamad Hassan
MB Negeri Sembilan
Sesuatu yang menarik tentang Dun Rantau adalah ia merupakan kawasan pilihanraya antara yang masih wujud di Negeri Sembilan sejak Pilihanraya Majlis Perundangan 1955 lagi. Namanya tetap kekal setakat ini sebagai kawasan pilihanraya walaupun telah berlaku perubahan sempadannya. Secara logika politiknya, Rantau menjadi titik penting politik di Negeri Sembilan kerana kedudukannya sebagai kerusi untuk Exco dan MB.

Dun Rantau dalam Parlimen Rembau merupakan kawasan yang diwakili oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Bin Hassan. Beliau merupakan individu kedua dari Rantau yang menjadi MB selepas Dato' Samsudin Naim.

Jika diteliti, keseluruhan dun iaitu Chembong, Kota, Paroi dan Rantau termasuk Parlimen Rembau semuanya ditandingi oleh Umno. Gerombolan Umno di Rembau berada di bawah penguasaan pengaruh Mohamad Hassan.

Asalnya, dun Rantau digilirkan tiap dua penggal antara MIC dan Umno. MIC Negeri Sembilan sendiri pernah membangkitkan perkara penggiliran bertanding itu dan sepatutnya untuk penggal baru iaitu untuk PRU-13, giliran MIC bertanding di Rantau. Maka atas faktor itu, berduyun-duyun pula opurtunis dalam parti-parti yang mempunyai ahli kaum India telah menyatakan hasrat untuk bertanding di Rantau.

Ini hakikat politik bukan persoalan perkauman. Human Right Party (HRP), Parti Makkal Shakti, MIC dan beberapa individu kaum India dari parti-parti PR seakan menghidu faktor tersebut. Namun, apakah mungkin kali ini, BN akan memberi laluan kepada MIC di Rantau? Jawapan yang dapat dipastikan setakat ini adalah tidak kerana Umno sendiri berhasrat untuk kekal bertanding di kawasan ini.

Berdasarkan statistik pecahan pengundi mengikut kaum, Rantau merupakan Dun yang ketiga mempunyai pemilih India yang ramai di Negeri Sembilan iaitu 27.4 peratus selepas Jeram Padang (36.77%)  dan Port Dickson (28.04%).

Sejarah Pilihanraya Dun Rantau

Sesuatu yang sukar dicari samada dalam pembelajaran di sekolah mahupun peringkat tinggi adalah persejarahan lampau politik negara atau negeri yang berlaku era 1940an, 1950an dan 1960an secara khusus kerana ketika itu kedudukan politik Perikatan dan Umno mendapat cabaran atau saingan kuat daripada parti-parti lain seperti Parti Negara, Parti Buruh dan Parti Rakyat (yang kemudiannya membentuk Sosialis Front). Catatan persejarahan politik khususnya parti-parti bukan Perikatan seakan dipendam daripada pengetahuan generasi baru negara ini.

Wakil rakyat pertama bagi Dun Rantau adalah dari Sosialis Front (SF) iaitu Gurnam Singh Gill yang menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) 1959. Sebelum itu, dalam Pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan tahun 1955 sebelum merdeka, kerusi Rantau telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon Perikatan, Datuk Raja Abu Hanifah Abdul Ghani. Beliau kemudiannya telah menyertai PAS dan menjadi calon Parlimen di Kelantan!

Era sebelum Umno Baru
Pada PRU 1986, Rantau telah ditandingi oleh MIC mewakili BN, diwakili oleh bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato Muthu Palaniappan (gambar-kiri). Beliau telah ditentang sengit oleh calon DAP-Palanisamy Subramaniam dan seorang calon bebas-Othman Haji Abdullah yang dikhabarkan daripada cerita lisan beberapa teman politik bahawa beliau ketika itu disokong (kempen & kewangan) oleh adik-beradik Mohamad Hassan kerana membantah calon MIC diletak bertanding di Rantau!

Saingan ketika itu cukup sengit dan Muthu Palaniappan memenangi Dun Rantau dengan kelebihan 1,908 undi. Beliau memperolehi 3,733 undi (undi popular-52.41%) manakala calon DAP mendapat 1,825 undi (25.62%) dan calon bebas memperolehi 1,565 undi (21.97%).

Era Umno Baru & Semangat 46

PRU 1990 menyaksikan BN masih mengekalkan MIC sebagai parti yang bertanding di Rantau dengan diwakili oleh penyandangnya iaitu Muthu Palaniappan. Beliau dicabar oleh calon DAP-P.Marimuthu. Saingan hebat tetap berlaku, MIC hanya memenangi Rantau dengan kelebihan 1,445 undi. Dalam saingan kali ini, Muthu mendapat 4,849 undi (58.75%) dan calon DAP memperolehi 3,404 undi (41.25%).

Persempadanan semula pada tahun 1994 telah mewujudkan Dun Jeram Padang di Jempol dan kawasan tersebut diperuntukkan oleh BN kepada MIC. Hasil daripada itu, Rantau kembali ditandingi Umno. Dalam PRU 1995, BN melalui Umno telah memenangi Rantau dengan lonjakan majoriti yang tinggi berbanding ketika diwakili oleh MIC dengan memperolehi kelebihan sebanyak 5,994 undi. Calon Umno-Hamdan Mohamad mendapat 7,544 undi (82.96%) manakala calon Semangat 46-Haji Sulaiman Tukimin hanya memperolehi 1,550 undi (17.04%).

Era Reformasi

Pengaruh politik adik-beradik Mohamad Hassan di Rantau bermula dalam PRU 1999. Adik beliau, Abdul Ghani Hassan, bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan telah menjadi calon Umno untuk Dun Rantau melawan calon KEADILAN-Husin Haroon. Gelombang Reformasi turut mempengaruhi keputusan di Rantau ketika itu. Berlaku penyusutan kelebihan undi kemenangan di pihak Umno dengan memperolehi majoriti sebanyak 2,770 undi. Abdul Ghani mendapat 6,222 undi (64.17%) dan calon KEADILAN memperolehi 3,452 undi (35.60%).

PRU 2004 pula menyaksikan Rantau terus dikuasai oleh Umno melalui calonnya, Mohamad Hassan yang mengambil alih kerusi tersebut daripada adiknya, Abdul Ghani Hassan. Suasana peralihan tampuk pemerintahan negara daripada Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi (Paklah) telah meletakkan suatu harapan kepada rakyat bahawa akan berlaku perubahan yang bakal dibawa oleh Paklah.

Maka tidak hairanlah berlakunya lonjakan undi yang tinggi kepada kebanyakan calon BN waktu itu. PRU 2004 menjadi titik merundum kepada politik Barisan Alternatif. Kesannya, Mohamad Hassan menang dengan majoriti 6,199 undi (62.83%). Beliau mengalahkan calon KEADILAN-Badrul Hisham Shaharin (kini Ketua KEADILAN Rembau) dengan memperolehi 8,031 undi (81.39%) berbanding Badrul yang mendapat 1,832 undi (18.57%). Perkhabaran hangat ketika itu bahawa beliau adalah calon dan pengganti MB menjadi faktor penting kemenangan beliau di Rantau.

Tsunami 2008

Ulangan gelombang Reformasi 99 kembali melanda Rantau, namun kali ini Tsunami Politik benar-benar mencantas pengaruh elit keluarga Mohamad Hassan di sini.

Aisah Lamsah
Calon KEADILAN 
PRU 2008 menjadi kejutan luarbiasa kepada Umno di Rantau dengan berlaku kemerosotan kelebihan kemenangan. Mohamad Hassan telah memenangi pertandingan dengan mendapat majoriti 3,783 undi (31.67%), merosot sebanyak 2,416 undi atau menyusut 31.16 peratus berbanding kelebihan PRU 2004. Calon KEADILAN-Aisah Lamsah mendapat 3,956 undi (33.12%). Mohamad mendapat 7,739 undi (64.79%).

Potensi


Ada suatu keadaan yang cukup istimewa di Rantau ketika PRU 2008. Para pemilih Dun Rantau memberi undi kemenangan kepada Mohamad Hassan tetapi pada waktu yang sama mereka tidak memberi undi kemenangan kepada calon Parlimen Rembau-Khairy Jamaluddin.

Malah jika diteliti pada helaian keputusan peringkat Parlimen, Khairy tewas di lima daripada 12 daerah mengundi (DM) dalam Dun Rantau, manakala kawasan yang beliau menangi dengan majoriti tipis kebanyakannya tewas di saluran 3 dan 4. Beliau tewas di DM Taman Kelab Tuanku Mambau, DM Kuala Sawah, DM Pekan Sagga, DM Rantau dan DM Linsum.

KJ menang tipis di DM Kampung Siliau (123) , DM Kampung Bemban (75) dan DM Kampung Mambau (77). Kawasan-kawasan lain seperti DM Kampung Sendayan, DM Sendayan, DM Kampung Sri Lalang dan DM Kampung Sega sokongan kepada calon Umno agak kuat dan kelebihan undi kemenangan agak tinggi.

Seandainya keadaan perolehan undi calon Parlimen Rembau itu bertukar keadaan di peringkat dun, ada kemungkinan besar Umno bakal tewas di Rantau. Itu tidak mustahil berlaku. Suasana BN memperolehi majoriti bawah dua ribu undi kerap kali berlaku di Rantau, ia bukan sekali atau berlaku mengikut keadaan-keadaan tertentu. Malah sejak awal PRU 1959, PRU 1969, PRU 1986, PRU 1990 dan PRU 1995 telah membuktikan BN juga mampu disaingi secara sengit.

Kemungkinan besar pada PRU-13 akan datang, Dun Rantau sekali lagi akan mengulangi sejarah pertarungan sengit antara Umno dan KEADILAN sebagaimana era 1960an. Keberantakan politik dalaman Umno Negeri Sembilan antara faktor penyumbang kepada kemenangan pembangkang. Kedudukan semasa politik Mohamad Hassan di Negeri Sembilan kian dicabar oleh beberapa puak Umno yang bercita-cita memegang tampuk kerusi MB. Antara yang hangat disebut adalah Ahli Parlimen Kuala Pilah, Hasan Malek, Adun Senaling, Ismail Lasim dan bekas MB, Isa Samad.

Besar kemungkinan BN akan mengekalkan Mohamad Hassan sebagai calon di Rantau walaupun kedengaran lain-lain nama disebut sebagai ganti seperti Senator Najeeb Abdullah dan Haji Abd Latif Mohd Yunus. Nama Haji  Abd Latif yang juga dikenali sebagai Ustaz Latif paling kuat didendangkan antara pengganti Mohamad Hassan sebagai calon Rantau. Beliau merupakan anak jati Kampung Bemban, Mambau. Samada benar atau tidak masih belum ada kepastiannya dan masih bersifat khabar politik jalanan.

Kali ini dalam PRU-13 merupakan peluang terbaik buat PR melalui KEADILAN untuk memenangi Rantau. Jika itu berlaku, maka KEADILAN merupakan parti kedua daripada pembangkang selepas Sosialis Front menang di Rantau.

Harus diingat bahawa kawasan-kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu dalam Dun Rantau bakal menolak calon Umno. Kebergantungan Umno untuk menang di Rantau adalah kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Ada kemungkinan KEADILAN akan mengekal calonnya yang lalu kembali bertanding di Rantau. Ada juga ura-ura mengatakan seorang calon muda akan diletakkan oleh KEADILAN. Setakat ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

Andaian Penulis
PR: 55%
BN: 45%


Jangkaan BN
BN: 61%
PR: 39%






No comments:

Post a Comment