Monday 7 May 2012

Bersih 3.0-mencetuskan kekeliruan gerombolan Umno-BN?

Kejayaan Himpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April 2012 lalu dengan kehadiran lebih 200 ribu orang ramai membuktikan rata-rata rakyat ingin sebuah proses pilihanraya yang adil dan bersih daripada penyelewengan.

Bersih 3.0 harus menjadi suatu titik loncatan ke arah perubahan buat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia melakukan reformasi terhadap proses mengendali dan menguruskan pilihanraya secara adil dan tidak berat sebelah.

Namun begitu, 'kelicikan hina' yang digunakan oleh gerombolan Umno-BN menjalankan manipulasi laporan melalui media amat dikesali. Matlamat Bersih 3.0 telah secara sengaja dipendamkan dengan laporan-laporan berat sebelah yang memaparkan 'keganasan para peserta himpunan' yang sebenarnya adalah sesuatu tindakan terancang pihak berkuasa. Sebagaimana yang pernah berlaku dalam Bersih 2.0 lalu, tindakan provokasi saat akhir ketika himpunan Bersih 3.0 melabuhkan tirai programnya berlaku dengan pantas.

Lebih memainkan peranan adalah mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang telah melontarkan pandangan beliau bahawa himpunan Bersih 3.0 adalah 'suatu usaha pembangkang mengguling kerajaan'. Amat mendukacitakan pandangan itu telah dimanipulasikan oleh media utama bagi menutup matlamat Bersih 3.0, sehingga semua pimpinan utama Umno seakan bersetuju menerima pandangan mantan PM itu.

Hakikatnya, semua pimpinan gerombolan Umno terkejut dengan sokongan kehadiran rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 tersebut. Malah kehadiran dalam himpunan itu telah mengatasi kehadiran rakyat dalam demo Reformasi tahun 1998 lalu. Keadaan ini benar-benar menakutkan Mahathir Mohamad. Beliau amat arif dengan kesan demonstrasi atau himpunan besar rakyat sebegitu. Tindakan beliau memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli Umno serta melakukan penghinaan yang buruk telah mendatangkan 'petaka politik' selama sedekad kepada BN. Kesan itu turut menyebabkan Umno terjerumus kepada keadaan perpecahan yang hebat sepanjang beliau menjadi PM dan Presiden Umno sejak tahun 1981. Berbeza dengan Semangat 46, Mahathir telah gagal menyatukan kembali bekas-bekas ahli Umno yang keluar meninggalkan parti itu selepas Reformasi 1998.

Sekali ditegaskan bahawa himpunan Bersih 3.0 adalah suatu bentuk desakan demokratik kepada SPR agar menjalankan, menguruskan dan mengendalikan proses pilihanraya yang adil dan bersih daripada penyelewengan. Bersih 3.0 bukan suatu gerakan menjatuhkan kerajaan hatta meminta PM meletakkan jawatan. Ia jauh sama sekali daripada tindakan tersebut. Cuma pimpinan Umno yang sengaja mencetuskan kekeliruan demi kekeliruan kepada rakyat. 

Antara penyelewengan yang berlaku adalah dalam senarai daftar pemilih. Ia bukan suatu kisah rekaan atau omongan politikus jalanan. Ia adalah sesuatu yang benar-benar berlaku dalam SPR. Ada arahan-arahan 'pihak atasan' yang mengarahkan dijalankan pemindahan tanpa pengetahuan, kemasukan senarai-senarai pemilih yang diragui, perubahan lokaliti (samada digabungkan atau dipindahkan).

Senarai-senarai pemilih yang diragui itu meliputi senarai pengundi-pengundi hantu, senarai-senarai warganegara asing yang 'diwarganegarakan segera', pemilih-pemilih yang didapati mempunyai dua tempat mengundi, satu alamat mempunyai pemilih dalam angka yang tidak munasabah dan sebagainya.

Jika keadaan penyelewengan ini tidak dibersihkan, adalah tidak mustahil gerombolan Umno-BN akan tetap mengekalkan 'kemenangan' mereka pada PRU-13 akan datang.

Kerap kali ungkapan ini dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang memandang enteng isu ini atau 'kurang kewarasan fikirannya'-"Kalau SPR menyeleweng atau ada undi hantu, takkan PR boleh menang lima negeri PRU 2008'. Logika untuk ungkapan sebegitu adalah 'jika SPR itu telus dan bersih dalam mengendalikan pilihanraya, seluruh Malaysia telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat'.

Patah perkataan ini ditujukan buat mereka-mereka di luar sana yang 'terperangkap minda' dek terlalu membaca laporan daripada Utusan Malaysia, Kosmo, Berita Harian atau Harian Metro. Sebelum anda melihat isu-isu sampingan yang berlaku dalam himpunan Bersih 3.0, lihat lah tujuan awalnya, lihat betapa amannya himpunan tersebut berlangsung. Jangan terpedaya dengan isu kereta polis diterbalikkan tanpa melihat perspektif yang lebih besar. Jangan disempitkan padang pemikiran itu dengan asakan-asakan sempit!


No comments:

Post a Comment