Wednesday 16 May 2012

PRU-13: Relevankah MIC di N07 Jeram Padang?

Sebelum era Reformasi 98, Dun Jeram Padang tidak menjadi perhatian penting politik apatah lagi ia berada dalam daerah pedalaman Negeri Sembilan iaitu Jempol. Jika dari sudut pertandingan pilihanraya, ia menjadi tempat maut kepada pembangkang dan sukar untuk ditembusi.

Mengikut kouta pembahagian kerusi BN di Negeri Sembilan, Jeram Padang telah diperuntukan kepada MIC selain daripada Dun Port Dickson dan Parlimen Telok Kemang. Jeram Padang juga merupakan dun yang paling tinggi peratusan pemilih kaum India di Negeri Sembilan iaitu 36.77%, telah menjadi kawasan selesa MIC tanpa merasa gugatan politik pembangkang sebelum Tsunami Politik 2008.

Terbukti sejak PRU 1995, MIC cukup selesa memenangi Jeram Padang tanpa dapat disaingi secara kuat oleh pembangkang hatta ketika era Reformasi 98, MIC masih memenangi Jeram Padang pada PRU 1999 dengan majoriti yang besar.

Sejarah Pilihanraya

Dato Lilah Yasin
(ADUN Batu Kikir 1990-1995)
Jeram Padang diwujudkan sebagai dun sebelum PRU 1995. Sebelum itu, beberapa daerah mengundi yang terdapat di Jeram Padang berada di Dun Batu Kikir dan sebahagian lagi (Rompin, Bukit Pilah & Jeram Padang) di Dun Johol. Persempadanan semula yang mewujudkan Jeram Padang bertujuan untuk memecahkan blok-blok sokongan Semangat 46 yang telah menggugat kedudukan selesa Umno di Batu Kikir yang menang dalam PRU 1990 dengan majoriti bawah 1500 undi sahaja.

Pilihanraya pertama di Jeram Padang adalah PRU 1995 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara MIC-BN, DAP dan Semangat 46. Calon MIC, M.Sundram menang dan perolehan undi sebanyak 5,552 undi (80.56%) dengan majoriti 4,790 undi (69.50%). Manakala calon Semangat 46, Mejar (B) Dato Haji Mohd Zain Yaacob mendapat 762 undi (11.06%) dan calon DAP, P.Ramakrishnan mendapat 578 undi (8.39%). Pengaruh pembangkang khususnya Semangat 46 merundum ketika PRU 1995 dan telah menyaksikan kebanyakan tempat pertembungan sesama pembangkang. Situasi tersebut telah menjadikan kedudukan BN cukup selesa memenangi pilihanraya tanpa saingan kuat pembangkang.

Era Reformasi

Kehangatan gelombang Reformasi 98 tidak begitu merebak secara besar-besaran di Jeram Padang sebagaimana yang diterima dan dialami di Telok Kemang, Seremban, Rasah dan Kuala Pilah. Ia seolah-olah terpingir daripada arus sebaran maklumat mengenai kebangkitan gerakan Reformasi 98.

T.Rajagopalu
Hasilnya dalam PRU 1999, MIC tetap memenangi Jeram Padang dengan majoriti yang selesa walaupun berlaku kemerosotan 10% perolehan undi popular berbanding PRU 1995. Kemerosotan itu diyakini datang daripada peralihan undi pemilih Melayu kepada calon Keadilan ketika itu. 
T. Rajagopalu menang dengan majoriti 2,784. Perolehan undi beliau ialah 4,848 undi (70.14%).

Calon Keadilan bagi Jeram Padang ketika itu adalah mantan Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan iaitu Ibrahim Yusof, yang mendapat perolehan undi popular sebanyak 29.86% (2,064 undi). Undi dari daerah mengundi Pasir Besar yang banyak diterima oleh calon Keadilan. 


PRU 2004 
Ketika ini prestasi Barisan Alternatif telah merudum dipengaruhi oleh faktor perubahan kepimpinan negara setelah Abdullah Haji Ahmad Badawi mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir Mohamed pada Oktober 2003. Paklah tidak menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkan mandat baru dari rakyat dan telah mengadakan PRU 2004 pada 21 Mac 2004.

Ketika ini, kemenangan MIC di Jeram Padang memuncak apabila calonnya Krishnan A/L Letchumanan (gambar kiri) memperolehi sebanyak 5,023 undi dengan undi popular 83.94% mengatasi pencapaian undi popular PRU 1995.

Calon Keadilan, Raja Gopal A/L Somoo hanya mendapat 939 undi (15.69%) sahaja. Ia jelas memperlihatkan momentum sokongan seluruh lapisan kaum memberi sokongan yang agak tinggi kepada kepimpinan Paklah.


Tsunami Politik 2008
Ombakan politik yang berlaku pada 8 Mac 2008 lalu benar-benar memberi kesan meluas kepada seluruh kawasan campuran seluruh negara termasuk Jeram Padang.

Kali ini, kedudukan MIC selaku pemenang mutlak pilihanraya di Jeram Padang tergugat. Ia bukan lagi menjadi kerusi selamat untuk MIC. PRU 2008 lalu turut menyaksikan dua kawasan lain yang ditandingi oleh MIC tewas di tangan Pakatan Rakyat. Parlimen Telok Kemang dan DUN Port Dickson telah dimenangi oleh Keadilan. Hanya Jeram Padang yang terselamat daripada ombakan politik tersebut namun kedudukan selesa MIC kini mampu disaingi pembangkang.

V.S Mogan
Pada PRU 2008 lalu, calon MIC-V.S Mogan memenangi dun ini dengan majoriti 1,808 undi. Beliau mendapat 4,185 undi (63.78%). Calon Keadilan-K.Manoharan memperolehi 2,377 undi (36.22%). Ia merupakan peralihan (swing) sebanyak 20.53% undi kepada Keadilan. Satu peralihan undi yang cukup tinggi kepada mana-mana pembangkang yang pernah bertanding di Jeram Padang. 

Kemenangan MIC pula dibantu oleh undi-undi pemilih Melayu dari daerah mengundi Palong Satu & Dua dan Bukit Rokan Barat yang ketiga-tiga kawasan ini adalah 90 peratus pemilih Felda. Manakala kemenangan bagi Keadilan berlaku di beberapa kawasan campuran dan majoriti pemilih India.


Potensi PR

Melihat kepada kesan ombakan politik Mac 2008 itu, PR khususnya Keadilan dilihat mempunyai peluang mencapai kemenangan pada PRU-13 akan datang di Jeram Padang. Namun begitu, apakah pemilih India masih mengekalkan sokongan sebagaimana PRU 2008 atau telah kembali kepada BN atau kian meningkat kepada PR?

Jika gerakan menembusi kawasan Felda yang digerakkan secara aktif oleh Keadilan Negeri Sembilan sejak tahun 2009 lalu diambilkira, besar kemungkinan akan berlaku peningkatan undi kepada Keadilan daripada kawasan-kawasan Felda di daerah mengundi Palong 1 & 2. Namun begitu, Keadilan juga masih sukar untuk menembusi kawasan Bukit Rokan Barat. Kawasan inilah yang memberi kemenangan kepada VS Mogan. Hampir 90 peratus undi dari Bukit Rokan Barat memihak kepada BN. Sudah pasti BN khususnya MIC akan cuba mengekalkan sokongan kawasan tersebut.

Sebelum ini telah dikhabarkan bahawa beberapa parti lain turut berminat untuk meletakkan calonnya di Jeram Padang seperti Human Right Party (HRP) dan Parti KITA. Kali ini, Jeram Padang telah menjadi titik penting dalam peta politik negara khususnya di Negeri Sembilan.

Seandainya sokongan pemilih India mampu dikekalkan sebagaimana PRU 2008 disamping lonjakan 80 peratus sokongan pemilih Cina, kemenangan mampu dijanakan oleh PR dengan meningkatkan sekurang-kurangnya 36 peratus sokongan pemilih Melayu.

Gerakan membela warga peneroka akibat penindasan Felda yang dijalankan oleh Warga Felda Perihatin dan ANAK secara aktif dan berterusan di seluruh Jempol memungkinkan berlaku anjakan sokongan kepada PR.

Pertelingkahan dalaman MIC Negeri Sembilan  kerana perebutan untuk menjadi calon di Jeram Padang tidak lagi menjadi rahsia parti tersebut. Umum telah mengetahuinya. Sebagaimana Umno, PRU-13 kali ini akan menjadi pentas hidup mati MIC dalam arena politik tanahair.

Andaian Kemenangan Penulis:
PR: 52%
BN: 48%

Jangkaan BN:
BN: 60%
PR: 40%

2 comments:

  1. MIC Jeram Padang Tidak Releven : http://princeofpilah.blogspot.com/2012/05/mic-jeram-padang-tidak-releven.html

    ReplyDelete
  2. Good article...

    ReplyDelete