Friday 19 April 2013

Dr Rosli Yaakob-pilihan terbaik PR menang di Klawang

Dr Rosli Yaakob
PAS NS pada 10 April 2013 lalu telah mengumumkan Dr Rosli Yaakob sebagai calon di DUN Klawang dalam Parlimen Jelebu. Ini adalah suatu pilihan yang bijak oleh Pas NS dalam memastikan kemenangan PR di Negeri Sembilan dengan menampilkan calon berkaliber di kawasan yang berpotensi dimenangi.

Sepanjang sejarah pilihanraya umum sejak 1959, Dun Klawang belum pernah dimenangi oleh sebarang parti pembangkang. Namun begitu kawasan ini sentiasa mendapat saingan kuat parti-parti pembangkang yang memperlihatkan calon BN memenangi Klawang dengan majoriti kecil.

Sebelum PRU 1990, BN melalui Umno memenangi Klawang dengan kelebihan undi yang selesa. Akan tetapi selepas berlaku ombakan politik pada tahun 1988 kesan perpecahan Umno, kemunculan parti baru, Parti Semangat 46 telah membadai politik seluruh Parlimen Jelebu.

PRU 1990 menyaksikan calon BN dari Umno iaitu Shamsul Bahari Mat memenangi Klawang dengan majoriti 733 undi. Ia suatu kemerosotan ketara majoriti kemenangan BN di Klawang berbanding keputusan PRU 1986 yang turut dimenangi oleh calon yang sama dengan majoriti selesa sebanyak 2,308 undi.

BN sekali lagi meletakkan Shamsul Bahari Mat sebagai calon di Klawang pada PRU 1995. Kemerosotan pengaruh Semangat 46 ketika itu telah membantu meningkatkan majoriti kemenangan BN namun tidak selesa sebagaimana PRU 1986 iaitu dengan memperolehi 1,333 undi majoriti.

PRU 1999 menjadi ancaman besar kepada kemenangan BN di Klawang dengan hanya memenangi majoriti kecil iaitu 69 undi sahaja! Shamsul Bahari Mat nyaris tewas kepada calon Keadilan-Bohari Abdul Latif. Walaupun PRU 2004 merupakan kemuncak kemenangan bergaya BN, namun BN tetap menang dengan majoriti 1,308 undi di sini. Kesan ombakan politik sejak era Semangat 46 kepada zaman Reformasi dan Tsunami 2008, BN dilihat sukar melonjak majoriti melebihi 1,500 undi. Sudah ada blok pengundi tegar pembangkang kuat di Klawang khususnya masyarakat Cina. PRU 1969 turut mencatatkan kemenangan calon MCA-Lee Kim Kee di Klawang hanya dengan majoriti 200 lebih sahaja. Ketika itu beliau ditentang oleh calon DAP-Daud Haji Ahmad.

Latarbelakang

Dr Rosli Yaakob mempunyai pengalaman menjadi calon pilihanraya sejak PRU 1999 iaitu bertanding di Dun Linggi melawan Isa Samad. PRU 2004 pula beliau telah diberi kepercayaan oleh PAS NS bertanding sebagai calon parlimen Jelebu dan Dun Paroi. Selepas tewas dalam PRU 2004, beliau berehat seketika dari dunia politik untuk menumpukan pada kerjaya perniagaan beliau di luar negara sebelum kembali aktif pada tahun 2011 lalu.

Dr Rosli boleh dianggap antara 'political-star' yang dilahirkan oleh PAS Negeri Sembilan dan dikenali di peringkat pusat. Ketika era Reformasi 1999, beliau adalah antara figura utama pembangkang yang mendapat perhatian rakyat Negeri Sembilan dan seluruh negara.

Beliau merupakan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Telok Kemang bagi penggal 1998-2001, kemudian memegang jawatan YDP Pas Kawasan Rembau dari tahun 2001-2006. Beliau turut dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas NS bagi penggal 2005-2006 sebelum berehat seketika. Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Timbalan PJ 1 Pas NS.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara. Lawan beliau di Klawang adalah penyandang Yunus Rahmat.

Potensi

BN dijangka menghadapi laluan sengit daripada Pas atas faktor komposisi kaum pemilih di Klawang. Pemilih Cina di sini meliputi 31 peratus yang boleh dipastikan 85 peratus akan beralih kepada PR. Pas NS telah membuat satu langkah bijak dengan menempatkan Dr Rosli kerana Klawang adalah antara tujuh Dun yang berpotensi dimenangi oleh PR dalam PRU-13 ini.

Pemilihan Dr Rosli juga dilihat sebagai kesungguhan Pas dalam memenangi Klawang walaupun meletakkan calon luar. Hakikatnya Pas Jelebu tidak mempunyai tokoh yang kuat untuk menyaingi calon-calon Umno sebelum ini. Latarbelakang Dr Rosli dari sudut politik dan profession mampu memberi keyakinan kepada para pemilih Klawang untuk menilai keupayaan beliau.

Jangkaan

Pas dijangka mampu menang di Klawang. Namun keupayaan dan gerakan BN tidak harus dipandang mudah walaupun para pemilih Cina secara majoritinya konsisten memberi undi kepada parti pembangkang.

Jangkaan Penulis;

PR: 51%
BN: 49%




2 comments:

  1. semoga kali ke-14 kita berjaya Dr.
    sedih lg rasanya hati ni

    ReplyDelete
  2. jangan mengalah Dr...in shaa Allah perjuangan ini akan membuahkan hasil satu hari nanti...terkilan di hati memang ada...takbir...!

    ReplyDelete