Tuesday 4 February 2014

Pemilihan Keadilan 2014 Ketua AMK Malaysia: Nazree Yunus masuk gelanggang

Pemilihan Keadilan 2014 yang juga proses pemilihan satu anggota satu undi bagi kali kedua akan dilangsungkan oleh Parti Keadilan Rakyat. Ia dijangka akan berlangsung pada Mac hingga Mei 2014 akan datang.

Agak menarik khususnya bagi pemilihan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia akan menampilkan seorang lagi anak muda dari Negeri Sembilan iaitu Nazree Yunus (gambar kiri) yang juga merupakan Ketua AMK Negeri Sembilan. 

Imbasan pemilihan pada 2010 lalu, pertandingan bagi jawatan serupa telah menampilkan penyandang jawatan, Shamsul Iskandar Mohd Akin (kini Ahli Parlimen Bukit Katil) ditentang sengit oleh Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard. Turut serta dalam saingan tersebut adalah Hasmi Hashim yang ketinggalan jauh dari segi perolehan undi anggota. Badrul merupakan Ketua Cabang Rembau yang juga anak muda dari Negeri Sembilan. 

Negeri Sembilan bukanlah negeri yang menjadi paksi politik tanahair secara besar jika dibandingkan dengan Selangor, Johor, Kelantan ataupun Sabah. Namun begitu negeri ini tidak ketinggalan dalam melahirkan tokoh penting nasional dalam Keadilan seperti Ruslan Kassim, Dato' Kamarul Baharin Abbas, Nordin Ismail, Badrul Hisham Shaharin dan kini Nazree Yunus.

Gelanggang Dibuka
Amirudin Shaari
Pertandingan jawatan ini mula-mula sekali telah dibuka oleh Adun Batu Caves, Amirudin Shaari dengan membuat pengumuman rasmi pada 5 Januari 2014 dalam satu majlis yang akan meriah. Beliau telah membawa slogan 'AMK Baru'. Slogan tersebut agak menyentuh perasaan segelintir penyandang jawatan dalam kepimpinan AMK Malaysia sedia ada yang dirasakan agak mengguris hati. 

Nazree Yunus pula menjadi susuk anak muda kedua yang mengumumkan penyertaan dalam pertandingan pada 3 Febuari 2014 lalu. Pengumuman beliau secara politikal kelihatan lebih tersusun dan menyerlahkan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai peneraju kepimpinan sayap Keadilan itu. Beliau turut sama mengumumkan barisan kepimpinan yang bakal menjadi tulang belakang organisasi AMK sekiranya memenangi pertandingan.

Menurut Nazree, beliau mahu mengukuhkan lagi AMK sebagai sayap parti yang mampu membawa denyut nadi perjuangan rakyat, menerusi beberapa misi termasuk memperkuat proses 'Peng-KADER-an' dalam parti itu.

Seorang lagi calon yang disebut-sebut akan turut serta dalam pertandingan jawatan ini adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kiri) yang merupakan Timbalan Speaker DUN Selangor merangkap Adun Seri Setia. Profil jawatan beliau dilihat 'kuat' dan menjadi modal kredibiliti untuk menyaingi Amirudin dan Nazree. Kedudukan dan jawatan yang disandang oleh Nik Nazmi memberi kelebihan dari segi kewangan dan pengaruh untuk mendapatkan undi angota-anggota AMK. Namun setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi yang dibuat oleh beliau. Apakah mungkin beliau masih menunggu saat yang sesuai dan memerhati pergerakan pesaing-pesaing beliau? Beliau juga telah dilihat antara yang terawal bergerak turun ke cabang-cabang seluruh negara untuk mendapatkan sokongan.

Nazree Yunus sebelum menyertai Keadilan dikenali sebagai Pengerusi Gerak khususnya dalam isu 'Sumbangan Lembu Korban' yang melibatkan MB Selangor Tan Sri Khalid. Beliau kemudiannya menyertai Keadilan sebelum pemilihan 2010. 

Selepas pemilihan tersebut, beliau telah dilantik sebagai Ketua AMK Negeri Sembilan menggantikan Rebin Birham selain menjadi Naib Ketua AMK Malaysia. Ketika PRU-13 lalu, Nazree diangkat sebagai calon bagi Parlimen Kuala Pilah. 

Peluang
Secara jujur, Nazree berpeluang meraih kemenangan berdasarkan persediaan yang dipamerkan semasa pengumuman beliau menyertai pertandingan jawatan ketua sayap ini. Akan tetapi keupayaan Amirudin yang juga Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Selangor tidak boleh dipandang mudah. Jika kelebihan politik sebagai setiausaha negeri itu digunakan sebaik mungkin, tidak mustahil beliau mampu mendapatkan kompromi ketua-ketua AMK seluruh Selangor. Begitu juga situasi di pihak Nik Nazmi. Kelebihan jawatan politik itu jika 'pandai' digunakan ia akan menjadi faktor meraih undi daripada AMK cabang-cabang seluruh negeri itu.

Ini kemungkinan yang akan dihadapi oleh Nazree bagi menyaingi dalam meraih undi-undi anggota AMK seluruh negara. Nazree tidak sukar untuk mendapatkan sokongan akar umbi kerana beliau sendiri punya pengalaman memimpin persatuan mahasiswa semasa menjadi pelajar di UM dahulu. Beliau juga secara lahiriah telah mempunyai beberapa ciri-ciri yang diperlukan dalam politik dari segi latar belakang pendidikan agama, kepimpinan, kepetahan hujah dan memimpin akar umbi.

Sudah pasti Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Sabah menjadi lubuk besar meraih jumlah undi kerana negeri-negeri ini mempunyai jumlah keanggotaan AMK yang ramai. 

Penyertaan Nazree Yunus dalam pertandingan jawatan Ketua AMK Malaysia meletakkan seorang lagi anak muda dari Negeri Sembilan dalam peta politik nasional. Ia suatu gambaran saingan ke arah PRU-14 khususnya dalam melaksanakan agenda menawan Negeri sembilan khususnya dan Putrajaya amnya melalui gerakan padu sayap Keadilan dalam wajah baru bagi menandingi BN!



1 comment:

  1. Haha! Nazree ni nak jd ketua amk? Belum apa2 nak ngaku salah kat court. Bacul! Memalukan amk je!!

    ReplyDelete