Monday 28 January 2013

PRU-13 Mac 2013: Petaka atau Perubahan?

Dalam ruangan ini tahun lalu, pernah dituliskan satu artikel (PRU-13 dijangka Mac 2013) tentang jangkaan bahawa PRU-13 bakal berlangsung pada Mac 2013. Nampaknya jangkaan itu sudah hampir menepati keadaan yang berlaku semasa ini.

Secara rasminya, Parlimen Malaysia bagi penggal ini bakal terbubar sendiri pada 28 April 2013. Hendak atau tidak, Najib Razak harus membubarkan parlimen sebelum tarikh tersebut. Jika tidak dan membiarkan terbubar secara sendiri, ia akan memberi suatu gambaran negatif terhadap kredibiliti beliau sebagai PM dan Presiden BN. Harus diingat bahawa mandat yang beliau pikul sekarang ini adalah kepunyaan mantan PM, Abdullah Ahmad Badawi (Paklah). Najib Razak masih belum diuji dengan sebarang sokongan rakyat melalui pilihanraya umum sebagai peneraju BN. Keadaan menumpang 'hak milik orang' telah menimbulkan persepsi bahawa Najib Razak tidak punya keberanian, malah beberapa minggu lalu Mahathir Mohamad telah mengatakan kerajaan pimpinan Najib sebagai lemah!

Kemungkinan Jangkaan
Kali ini khusus memasuki tahun 2013 antara Januari hingga Mac, rakyat umum seakan tidak sabar menanti untuk menunaikan hak demokrasi seperti esok akan berlakunya PRU-13. Lebih menarik perhatian apabila tersebarnya jangkaan tarikh-tarikh penting ke arah PRU-13 iaitu tarikh pembubaran pada 22 Febuari, penamaan calon 16 Mac dan penggundian pada 30 Mac.

Tarikh-tarikh tersebut seakan boleh diyakini dengan pihak Umno sendiri telah menetapkan semua bahagian membuka dan mempersiapkan bilik gerakan sehingga 2 Febuari 2013. Ia adalah gambaran jelas bahawa kemungkinan berlakunya pembubaran dan pilihanraya umum dalam tempoh 60 hari (Febuari-Mac 2013). Semua bahagian Umno telah diminta untuk mempersiapkan jentera pilihanrayanya.

Jangkaan Kaji Selidik
Dalam menanti saat-saat pembubaran, pelbagai pihak berkaitan menjalankan kaji selidik bagi mengukur tahap sokongan rakyat terhadap BN dan PR. Perbandingan demi perbandingan sokongan politik kini mula diperbincangkan bagi mengambarkan corak sokongan semasa rakyat.

Namun begitu, dalam kebanyakan kaji selidik tersebut masih jelas memperlihatkan sokongan rakyat berpihak kepada BN akan tetapi dalam peratus yang marginal. Ia suatu logika situasi kepada corak sokongan politik semasa rakyat selepas PRU 2008. BN tidak lagi mendapat keselesaan sokongan politik sebagaimana era sebelum PRU 1999 atau PRU 2004 yang ketika itu tahap sokongan kepada BN mencecah antara 65 hingga 78 peratus!

Laporan terkini yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan sokongan kepada BN sebanyak 42 peratus, PR (37%) manakala 21 peratus lagi adalah atas pagar. Ini hakikat yang berlaku selepas PRU 2008.

Jika mengambil laporan kaji selidik Kemas yang dibuat pada Jun 2012 terhadap sokongan politik rakyat di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, kedudukan BN adalah 42 peratus manakala PR sebanyak 36 peratus dan 22 peratus lagi adalah 50-50. Ia agak seiring dengan laporan terkini yang dibentangkan oleh Umcedel. Jelas sekali kedudukan yang serupa turut berlaku di Perak, Johor dan Selangor.

Situasi di Pahang agak berbeza jika mengikut kaji selidik Kemas. Walaupun negeri ini dianggap sebagai kubu kuat Umno-BN, namun kaji selidik tersebut memberi gambaran yang berbeza. Berdasarkan kajian itu, kedudukan kerusi kelabu bagi BN adalah 21 dun, manakala kawasan hitam bagi BN adalah 10 dun dan putih di 11 dun. Jika dinilai dalam peratus berdasarkan status ini, kedudukan selamat BN adalah 26 peratus dan PR pula adalah 24 peratus. Manakala kedudukan 50-50 adalah 50 peratus! Secara sokongan politik BN berada pada kedudukan 42 peratus dan PR pula 38 peratus. Ia suatu keadaan yang boleh mengejutkan pada PRU-13 sekiranya berlaku peralihan undi kepada PR. Ada yang menjangkakan situasi 50-50 boleh terjadi di Pahang dengan masing-masing PR dan BN memenangi 21 kerusi dun!

Isu-isu rasuah pemuka-pemuka BN, Isu Feed Lot NFC, Kejatuhan Saham Felda Global Ventures, kenaikan harga barangan dan kegagalan menanggani jenayah adalah antara isu penting yang bakal merobek keyakinan rakyat terhadap BN. Harus diingat bahawa isu NFC turut memberi kesan buruk kepada Umno khususnya dari segi imej dan moral. Kajian Merdeka Center pada awal 2012 lalu tentang hal berkaitan menunjukkan kebanyakan ahli Umno sendiri tidak berpuas hati dengan isu NFC dengan lebih 65 peratus tidak setuju! Itu belum dengan krisis politik dalaman yang sedang kencang meribut Umno kini.

Aras Sokongan
Kaum Cina mendahului peratusan besar menolak BN pada PRU-13 akan datang. Isu rasuah dan kepincangan mengurus ekonomi negara oleh pemuka-pemuka Umno-BN selain mahukan perubahan kerajaan baru menjadi tumpuan utama masyarakat Cina.

Jangkaan aras sokongan Cina kepada PR adalah antara 70 hingga 83 peratus. Kebanyakan kawasan bandar, memperlihatkan sokongan masyarakat Cina kepada PR sangat tinggi sementara sokongan masyarakat Cina luar bandar berada dalam jangkaan 70-76 peratus.

Negeri Sembilan khususnya menunjukkan sokongan masyarakat Cina kepada PR berada di paras 76 peratus ke atas dengan 14 dun yang mempunyai peratusan pemilih Cina melebihi 30 peratus dijangka dimenangi oleh PR. Dun-dun tersebut adalah Chennah, Klawang, Nilai, Lobak, Temiang, Mambau, Bukit Kepayang, Rahang, Senawang, Chuah, Lukut, Port Dickson, Repah dan Bahau. Manakala dun yang mempunyai pemilih Cina sekitar 20-29 peratus dijangka memberi peluang terbaik kepada PR untuk memperolehi kemenangan seperti di Linggi, Jeram Padang, Pilah, Ampangan, Sikamat, Rantau, Paroi, Johol, Lenggeng dan Gemencheh.

Sokongan pemilih Melayu di Selangor dan Kelantan umpamanya sangat baik kepada PR sekitar 55-58 peratus. Situasi agak berbeza di Negeri Sembilan dengan pemilih Melayu kawasan bandar dan sub-bandar berada di paras 38-45 peratus, manakala di luar bandar adalah sekitar paras 28-35 peratus. Kawasan luar bandar ini masih menjadi harapan Umno-BN untuk mengekalkan kemenangan dengan selesa.

Merebut Undi
PRU-13 kali ini akan menjadi pentas sengit dalam merebut undi oleh PR dan BN. Ada beberapa klasifikasi undi yang menjadi penentu survival kedua-dua pihak iaitu;

1. Golongan muda
Golongan pemilih ini akan menjadi pemangkin besar kepada perubahan politik negara melalui undi. Tawaran PR seperti pemansuhan PTPTN, Menurunkan harga kereta, pendidikan percuma dan penurunan harga minyak petrol adalah tarikan terbaik yang dilihat oleh golongan muda sebagai sesuatu yang amat dinanti-nantikan bagi menjamin kesejahteraan berpanjangan.

Pihak pemerintah BN juga tidak melepaskan kesempatan menawarkan pemberian BR1M kepada golongan muda bujang selain tawaran rebat RM200 bagi pembelian telefon bimbit pintar. Malah program-program khusus untuk golongan muda melalui 1M4U (I am for you) dijadikan pelantar politik BN untuk menarik sokongan golongan muda-mudi.

2. Undi Melayu Bandar
Secara logika, pengaruh Umno di kawasan bandar kian merundum walaupun pihak mereka mendakwa masih ramai yang menyokong Umno. Harus difahami bahawa sokongan-sokongan tersebut disebabkan untuk mendapatkan peluang-peluang ekonomi secara lumayan yang ditawarkan oleh Umno.

Kawasan-kawasan Melayu bandar seperti Ampang, Taman Medan, Ampangan, Sikamat, Gombak Setia, Seri Setia, Shah Alam adalah gambaran jelas bahawa golongan pemilih Melayu kawasan-kawasan ini mulai celik politik. Faktor-faktor seperti latar belakang pendidikan, profession dan pendedahan maklumat semasa menjadikan kelompok pemilih ini bersifat kritis dalam melihat perkembangan politik. Mereka tidak lagi menjadi pengikut tuli atau menyokong tanpa pertimbangan.

Dalam situasi ini, Umno terpaksa bersaing hebat dan sengit bagi merebut kembali sokongan Melayu bandar. Persaingan politik ini berlaku di antara Umno dengan Pas-Keadilan di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Andainya Umno tewas teruk di kawasan-kawasan Melayu bandar dengan perolehan undi popular bawah 30 peratus, ia adalah isyarat jelas golongan Melayu bandar tidak memerlukan Umno untuk survival politik Melayu di kawasan ini!

3. Undi Wanita
Golongan wanita dilihat adalah penyumbang terbesar undi kepada Umno-BN khususnya dari kaum Melayu dan India. sesuatu harus digerakkan oleh jentera dan strategis PR bagi memaksimakan undi golongan ini kepada PR khususnya golongan ibu-ibu.

Beberapa ketika lalu, pihak Umno-BN kerap mencanangkan bahawa perubahan kerajaan kepada PR bakal mencetuskan petaka kepada kestabilan negara sedangkan di pihak PR pula berkeyakinan mewujudkan sebuah pentadbiran cekap dan telus. Ini adalah dua bentuk aliran politik yang berlaku dengan parti pemerintah masih gemar menggunakan modus-operandi bersifat provokasi perkauman, manakala PR menampilkan perpaduan politik semua kaum dengan aspirasi mempertahankan hak-hak yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Tragedi 13 Mei masih menjadi 'lembaga hitam' kepada modal politik Umno. Ia suatu bentuk ketakutan politik jangka panjang yang berjaya mewujudkan kegusaran pada orang Melayu akan survival politik Melayu semata-mata untuk membunuh politik multi-racial yang dibawa oleh PR. Isu Kristianisasi dan monopoli politik bukan Melayu adalah sulaman indah dan penting bagi modal politik Umno menguasai pemikiran Melayu umum, namun kaedah ini telah mencapai kemuncaknya selepas PRU 2008.

Siapakah yang membawa petaka? Nantikan kedatangan hebat PRU-13 ini dalam tempoh 45 hari lagi!

No comments:

Post a Comment