Thursday 24 March 2016

Persempadanan semula DUN Sarawak & Pilihan Raya Negeri 2016


Persempadanan semula DUN Sarawak telah mewujudkan 11 dun baru dan pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 82 dun berbanding 71 dun sebelum ini. Sarawak menjadi negeri pertama  melalui proses tersebut sejak kali terakhir persempadanan semula dibuat pada tahun 2003 seluruh negara.

Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan RRU Persempadan Semula Dun Sarawak pada persidangan dun 11 November 2015 lalu. Kali terakhir persempadanan negeri dibuat adalah pada tahun 2005 lalu. 

Sebelum itu SPR telah mengeluarkan cadangan awal persempadanan tersebut. Jika dilihat dari khabar politik, sepatutnya Pilihan Raya Negeri Sarawak telah dilangsungkan seawal bulan September 2015. Namun disebabkan bantahan yang dibuat oleh beberapa NGO pro pembangkang, cadangan tersebut terpaksa ditangguhkan atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak yang meminta SPR menangguhkan proses persempadanan itu.

Krisis Dalaman

Kemuncak krisis politik dalaman SPDP bermula setelah Presidennya sendiri, William Mawan Ikom mengisytihar keluar dari SPDP dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) pada 15 Mei 2014 lalu. Beliau bersama empat lagi Adun SPDP dan seorang Adun Sarawak Workers Party (SWP) menyertai Teras. Kedudukan TERAS dikukuhkan lagi dengan kemasukan empat lagi Adun dari SUPP yang diketuai oleh Adun Bawang Assan, Wong Soon Koh.

Kemunculan United People's Party (UPP) yang merupakan serpihan dari SUPP menambahkan lagi krisis dalaman BN Sarawak.

Ketua Menteri, Adenan Satem pada 29 Febuari 2016 lalu telah memberi 'amaran' dan meminta agar parti-parti ini berkompromi dalam menyelesaikan masalah mereka sebelum PRN Sarawak ke-11. Jika kompromi gagal dilangsungkan sesama mereka, Adenan telah melontarkan amaran parti-parti terlibat tidak dibenarkan menggunakan logo BN semasa PRN nanti. Ini sesuatu yang cukup serius betapa krisis dalaman antara komponen itu masih berlarutan.

Walaupun secara rambang persempadanan semula ini bertujuan mewujudkan kouta tambahan kerusi dun bagi parti-parti komponen tersebut, namun persefahaman dalam menyelesaikan isu perebutan kerusi masih berlarutan. Isyarat politik di Sarawak ini atau lebih khusus kepada politik Adenan seperti mahu 'melupuskan' SUPP dan SPDP sebagaimana yang pernah terjadi kepada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terjebak dalam krisis sehingga mewujudkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP. Penyakit krisis itu telah dialami pula oleh SPDP.

Dominasi PBB
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dilihat cukup berhati-hati dan berjaya setakat ini mengelak konflik dalaman walaupun wujud sengketa pengaruh antara Adenan Satem dan Abang Johari Openg. Adenan sendiri telah secara awal mengumumkan PBB bakal bertanding 45 dun. Baki 37 dun lagi bakal direbut antara SUPP (yang telah mengumumkan akan tanding 21 dun), SPDP (yang secara jelas ingin mengekalkan kouta PRN terdahulu), PRS, UPP (yang kini mempunyai Dun Bawang Assek) dan TERAS yang kini mempunyai 10 adun.

Secara kasar, PBB dijangka memenangi kesemua kerusi yang ditandingi. Sokongan pemilih Melayu-Melanau agak tinggi buat PBB sekitar 70-80% berbanding parti lawan. Keadaan ini mmeberi cabaran hebat buat Keadilan, Pas dan DAP termasuk Amanah bagi merebut undi pemilih Melayu-Melanau.

Jangkaan



BN Sarawak dijangka menguasai 55% kemenangan kerusi Dun pada PRN kali ini iaitu antara 43-48 kerusi dun jika krisis dalaman antara komponen mereka masih gagal diselesaikan. Ada potensi buat Keadilan dan Dap menambah kerusi khususnya di kawasan-kawasan majoriti Iban di Sibu, Selangau, Kapit dan Bintulu.

Namun begitu, DAP seharusnya tidak boleh memandang mudah akan situasi yang melanda BN Sarawak ketika ini kerana persempadanan semula DUN Sarawak kali ini dilihat 'membunuh' potensi kemenangan DAP akibat perpindahan atau perubahan lokaliti kesan persempadanan. Besar kemungkinan DAP hanya mempertahankan dun-dun dalam bandar sahaja, manakala dun sub-bandar yang dimenangi bakal terlepas kepada BN!





No comments:

Post a Comment