Thursday, 16 April 2015

Perak: Pertembungan Sengit Politik PR-BN

Tsunami Politik 2008 benar-benar mengombak kedudukan politik beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia yang telah mencabar dan mengugat kedudukan dominan BN sejak PRU 1959. Ia boleh disamakan dengan perumpamaan, 'Sekali air bah, sekali pantai berubah' yang menggambarkan perubahan mendadak suasana politik!

Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Perak merupakan negeri yang telah meletakkan kedudukan 51-49 buat kerajaan negeri yang diperintah oleh BN.

Perak untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada 2008-2013 dan 2013-kini berada dalam situasi yang tipis walaupun BN menjadi kerajaan negeri. Kerajaan PR Perak sempat bertahan selama 11 bulan sebelum berlaku kudeta pada 9 Febuari 2009 yang menyaksikan tumbangnya kerajaan demokrasi pilihan rakyat. Strategi BN merampas kerajaan negeri tersebut telah menjadi suatu catatan penting dalam pengajian dan pembelajaran ilmu siasah bahawa inilah yang disebut 'tiada yang mustahil dalam dunia politik'.

Dun Perak buat kali kedua selepas PRU 1969 telah dikuasai oleh gabungan politik bukan BN pada tahun 2008 dengan DAP memenangi kesemua 18 dun yang ditandingi, KEADILAN memenangi tujuh dun dan Pas dengan enam dun. Kemenangan tersebut telah meletakkan PR memenangi 31 kerusi daripada 59 dun keseluruhannya. Manakala BN ketika itu mendapat 28 dun. Walaupun PR berjaya menubuhkan kerajaan negeri namun gabungan tersebut hanya berkelebihan dengan tiga kerusi.

Strategi Kudeta
Projek 'kudeta' BN yang bukan sahaja melibatkan Perak semata-mata tetapi juga di Kedah telah berhasil di Perak. Projek tersebut gagal di Kedah kerana pihak strategis BN gagal 'memujuk & membeli' wakil rakyat Bukit Selambau dan beberapa Adun Pas. Strategi BN berjaya di Perak dengan menggunakan muslihat ala 'trojan-horse' dengan 'menghantar Adun Bota ketika itu, Dato Nasarudin Hashim 'melompat menyertai KEADILAN' yang berlaku pada 29 Januari 2009. Ketika itu juga para strategis BN telah secara senyap berjaya melobi dua Adun Keadilan yang sememangnya bermasalah iaitu Behrang, Jamaluddin Mohd Razi dan Changkat Jering, Osman Jailu. Turut melekat dalam pancing BN itu Adun Jelapang, Hee Yit Foong. Kejutan telah berlaku pada 9 Febuari 2009 dengan ketiga-tiga adun terbabit bersama Adun Bota menyertai sidang media bersama Najib Razak (Timbalan Perdana Menteri ketika itu) mengumumkan kejayaan projek kudeta kerajaan PR Perak.

Selepas terbentuknya kerajaan negeri hasil kudeta tersebut, BN terus disaingi oleh PR dengan beberapa insiden yang menjadi catatan unik sejarah politik negara. Sidang DUN oleh wakil-wakil rakyat PR terpaksa diadakan di bawah pokok lantaran dihalang memasuki Dewan Undangan Negeri. 'Rampasan' kedudukan Speaker DUN secara paksa yang turut mengheret ke mahkamah, pertikaian status MB yang sah antara Dato Seri Nizar Jamaluddin dengan Dato Seri Mohd Zambri yang terheret ke mahkamah, pihak Istana Perak yang turut dilibatkan dalam pertikaian politik yang hangat selama enam bulan. Kesemua rentetan kejadian politik ini telah menjadi catatan hangat dan sensasi sepanjang tahun 2009. Perak ketika itu menjadi tumpuan utama dunia politik.

Selepas PRU-13
Keputusan PRU-13 di Perak menyaksikan BN memenangi 31 dun dan PR mendapat 28 dun. BN berkelebihan hanya tiga kerusi walaupun menjadi kerajaan negeri. Kedudukan marginal tersebut tidak memberi sebarang kelebihan dominan kepada parti pemerintah untuk menghalang dan menyekat saingan politik wakil-wakil rakyat PR.

PR Perak memenangi 28 kerusi dun dengan DAP mempertahankan kemenangan di kesemua 18 dun yang ditandingi, manakala KEADILAN dan Pas masing-masing memenangi lima dun.

Statistik Am DUN
Perak merupakan antara negeri yang mempunyai banyak dun selain Sarawak, Sabah, Selangor, Johor, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.

Walaupun ia terletak di bahagian utara Semenanjung yang didominasi oleh pemilih Melayu sebagaimana Kedah dan Perlis, namun Perak mempunyai juga kerusi-kerusi majoriti pemilih Cina dan campuran yang seimbang dengan kerusi-kerusi majoriti pemilih Melayu.

Kerusi-kerusi dun yang mempunyai 60 peratus ke atas pemilih sesuatu kaum secara ringkas adalah seperti berikut;

Kerusi Majoriti Melayu (60% ke atas): 32 dun.
Kerusi Majoriti Cina (60% ke atas): 14 dun.
Kerusi Campuran (59% ke bawah): 13 dun.

Kerusi campuran dipecahkan pula mengikut jumlah kaum yang ramai;
A. Kerusi Campuran Pemilih Melayu Ramai: (59% hingga 49%)
-Behrang, Hutan Melintang, Ayer Kuning, Sungai Rapat, Lintang & Kuala Kurau

B. Kerusi Campuran Pemilih Cina Ramai: (59% hingga 49%)
-Sungkai, Teja, Kepayang, Jalong & Aulong

C. Kerusi Campuran Benar: (beza peratusan kecil antara kaum 2% hingga 6%)
-Chenderiang (Melayu: 36.26%) (Cina: 30.37%)
-Buntong (Cina: 43.44%) (India: 49.80%)

Pecahan Kemenangan PR

DAP & KEADILAN menguasai kemenangan 14 dun majoriti Cina dengan pecahan DAP (13 dun) dan KEADILAN ( 1dun-Simpang Pulai).


Bagi kerusi majoriti Melayu, Pas memenangi empat dun iaitu Titi Serong, Changkat Jering, Selingsing & Gunong Semanggol. KEADILAN pula memenangi dun Kuala Sepetang walaupun wakilnya adalah dari kaum Cina.

Kerusi campuran pula, DAP memenangi lima dun iaitu Sungkai, Kepayang, Jalong, Aulong dan Buntong. Manakala Pas memenangi dun Sungai Rapat. KEADILAN memenangi Hutan Melintang, Kuala Kurau dan Teja.

BN mendominasi kemenangan 27 dun majoriti Melayu disamping memenangi empat dun campuran iaitu Behrang, Ayer Kuning, Lintang dan Chenderiang.

Potensi PRU-14

PR perak berupaya merampas sekurang-kurangnya empat kerusi campuran yang dimenangi oleh BN disamping mempertahankan 28 dun sedia ada pada PRU seterusnya.

Namun begitu KEADILAN berupaya memenangi beberapa dun majoriti Melayu kerana berdasarkan keputusan PRU-13 terdapat beberapa daerah mengundi majoriti Melayu dimenangi dengan jumlah signifikan seperti Dun Pengkalan Hulu dan Temenggor.

Persaingan merebut kerusi dun lebih bertumpu antara Umno-Pas-KEADILAN. Peluang menguasai kemenangan dengan kelebihan lebih lima kerusi akan berlaku antara Pas & KEADILAN. Mana-mana parti yang berjaya memenangi lebih daripada dua kerusi dun majoriti Melayu, ia bakal berada dalam prospek mengetuai kerajaan negeri.


No comments:

Post a Comment