Thursday, 30 April 2015

Pahang mampu ditawan oleh PR

Pahang masih boleh diletakkan harapan menjadi antara negeri di Semenanjung Malaysia yang berpotensi untuk ditawan oleh Pakatan Rakyat (PR) pada PRU-14 akan datang. 

Negeri ini pernah memperlihatkan ombakan politik Reformasi 99 pada PRU 1999 yang menyaksikan  11 dun dimenangi oleh BN dengan majoriti kemenangan bawah seribu undi daripada 38 dun keseluruhan. Barisan Alternatif ketika itu memenangi lapan dun (1 Keadilan, 1 Dap, 6 Pas).

Jika takdir ketika itu dengan senario 11 dun BN tersebut dimenangi oleh BA, sudah pasti kedudukan DUN Pahang tergantung kerana tiada majoriti mudah iaitu 20 dun bagi membentuk kerajaan negeri.

Walaupun Pahang menjadi penyumbang terbesar kemenangan Umno-BN keseluruhan, namun ia bukan jaminan bahawa negeri ini tidak boleh ditawan oleh pakatan pembangkang. 

Statistik Umum

Pahang kini (sehingga April 2015) mempunyai 42 dun dan 14 parlimen. Untuk membentuk kerajaan negeri, majoriti mudah yang diperlukan adalah 22 dun. 

Keputusan PRU-13 lalu menyaksikan BN masih menguasai dua pertiga jumlah kerusi dun dengan kemenangan 30 dun. PR kurang tiga kerusi dun bagi memenangi satu pertiga kerusi dun. Namun secara matematik, PR memerlukan 10 dun lagi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. PR memenangi 12 dun (Keadilan-2, Dap-7, Pas-3). 

Pecahan DUN

Berikut adalah pecahan Dun mengikut kaum;

A. Dun Majoriti Melayu (60% ke atas)
Jumlah: 31 dun 

B. Dun Majoriti Cina (60% ke atas)
Jumlah: 2 dun
i. Tras (63.99%)
ii. Triang (69.04%)

C. Dun Campuran (Melayu ramai)
Jumlah: 4 dun 
i. Lanchang (M-58.09%) (C-21.28%) (I-16.28%)
ii. Semambu (M-56.98%) (C-32.93%) (I-9.50%)
iii. Mentakab (M-52.27%) (C-39.71%) (I-5.84%)
iv. Damak (M-56.55%) (C-34.24%) (I-5.85%)

D. Dun Campuran (Cina ramai)
Jumlah: 3 dun 
i. Tanah Rata (M-12.93%) (C-57.17%) (I-20.28%) (OA-13.08%)
ii. Bilut (M-32.71%) (C-56.99%) (I-9.43%)
iii. Teruntum (M-32.71%) (C-56.31%) (I-5.68%)

E. Dun Campuran (seimbang)
Jumlah: 2 dun 
i. Sabai (M-36.55%) (C-39.40%) (I-19.98%)
ii. Ketari (M-45.06%) (C-42.10%) (I-4.85%)

Potensi PR Pahang

PR sebenarnya mampu menggugat kedudukan BN di Pahang walaupun dengan memenangi majoriti mudah. Jika kemenangan 12 dun sedia ada dapat dipertahankan disamping menumpu usaha dan gerak kerja di 12 dun yang berpotensi dimenangi, tidak mustahil sebuah kerajaan negeri PR akan berjaya ditubuhkan pada PRU-14 akan datang.

BN mendominasi kemenangan di 28 dun majoriti Melayu dan dua dun campuran (Damak & Lanchang) bagi membentuk kemenangan dua pertiga kerusi dun. Selain faktor pemilih Melayu melebihi 70 peratus ke atas, faktor pemilih Felda dan Orang Asal begitu mempengaruhi kemenangan BN.

Antara dun yang dikira sebagai kubu kuat BN khususnya Umno yang dibantu oleh faktor kawasan Felda dan sukar untuk dimenangi oleh PR (melainkan Jengka) adalah;

1. Pulau Tawar: 12 daerah mengundi (DM) adalah kawasan Felda daripada 17 DM keseluruhan.
2. Chini: Sembilan (9) DM kawasan Felda daripada 13 DM keseluruhan.
3. Kuala Sentul: Lima (5) DM kawasan Felda daripada lapan DM keseluruhan.
4. Kemayan: Tujuh (7) DM kawasan Felda daripada 14 DM keseluruhan.
5. Bukit Ibam: Tujuh (7) DM kawasan Felda daripada 11 DM keseluruhan.
6. Muadzam Shah: Enam (6) DM kawasan Felda daripada 12 DM keseluruhan.

Agak berbeza bagi dun Jengka walaupun ia adalah kawasan 100 peratus Felda, namun dun ini pernah dimenangi oleh Pas pada PRU 1999. Ia masih boleh disaingi hebat oleh Pas hingga majoriti kemenangan BN di sini adalah bawah seribu undi. Pas perlu meletakkan seorang calon baru yang wibawa jika ingin merampas semula Jengka. Tuan Ibrahim Tuan Man seeloknya diangkat sebagai calon parlimen Kuala Krau pada PRU-14 nanti. Jangan dilupa juga catatan sejarah bahawa Keadilan pernah menang di dun Chini hanya dengan majoriti lima (5) undi sahaja!

Hakikat ini harus diakui bahawa situasi sokongan warga Felda kini tidak menyamai era Reformasi 99. Jika momentum itu berkekalan boleh dikatakan semua dun yang mempunyai lebih 50 peratus kawasan Felda mudah dimenangi calon PR. Kawasan Felda merupakan lubuk undi selamat buat Umno.

Namun begitu, ada sekurang-kurangnya 12 dun yang berupaya direbut oleh PR. Faktor yang mempengaruhi jangkaan ini adalah majoriti kemenangan BN bawah dua ribu undi, faktor pengundi Cina dan dun campuran.

Antara dun yang mampu direbut atas faktor peratus pengundi Cina besar adalah;

1. Cheka (M-70.06%) (C-23.87%) (I-4.96%)
2. Benta (M-62.07%) (C-27.54%) (I-10.22%)
3. Damak (M-56.55%) (C-34.24%) (I-5.85%)
4. Lanchang (M-58.09%) (C-21.28%) (I-16.28%)
5. Dong (M-62.15%) (C-32.68%) (I-2.88%)
6. Lepar (M-76.65%) (C-18.30%) (I-2.61%)
7. Luit (M-80.53%) (C-15.28%) (I-1.39%) (OA-2.57%)

Dun yang merupakan kawasan Melayu tradisional namun dimenangi BN bawah dua ribu undi majoriti yang mampu direbut oleh PR adalah;

1. Padang Tengku (M-91.88%)
2. Tahan (M-94.23%)
3. Inderapura (M-92.67%)
4. Panching (M-84.08%)

Kesimpulan
Isu GST, sengketa dalaman Umno yang semakin rumit, siri skandal yang dihadapi oleh Najib Razak, kejatuhan nilai Ringgit berbanding US Dollar dan pelbagai isu ketirisan amanah negara adalah isu-isu yang sangat memberi peluru besar buat PR untuk mengombak kesedaran rakyat menolak Umno-BN.

Namun pada waktu yang sama perselisihan politik yang melanda Pas-Pasma dan antara komponen PR wajar diselesaikan dengan penuh bijaksana agar tidak menjadi titik lemah yang akan digunakan oleh BN mengekalkan kemenangan mereka seterusnya.

PRU-14 adalah kesempatan terbaik buat PR merampas negeri Pahang.




No comments:

Post a Comment