Thursday, 6 December 2012

Sistem Politik BN Caturan 1970 menuju penamat! (Bahagian 1)

Ucapan penggulungan di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 agak memperlihatkan nada-nada politikus dan tidak bersifat negarawan. Nampaknya sejak ucapan perasmian oleh pemuka-pemuka Umno dalam sayap dan perhimpunan utamanya lebih gemar 'menelanjangkan' dan penuh cacian terhadap parti-parti lawan termasuk pimpinan utama Pakatan Rakyat.

Jika dilihat tema PAU kali ini seakan membuktikan parti kebangsaan Melayu ini sperti telah bersedia 100 peratus untuk menghadapi PRU-13 akan datang. 

Salah seorang Naib Presidennya, Hishamuddin Hussein telah menyatakan bahawa Umno itu lebih tertib daripada Pas, lebih inklusif daripada DAP dan lebih demokratik daripada Keadilan. Mungkin beliau cuba membuat perbandingan bagi membuktikan kepada para perwakilan dan penonton siaran langsung PAU bahawa Umno ada dinamika daripada parti-parti lawan. Namun, ada sudut yang silap oleh Hishamuddin dalam perbandingan politik tersebut.

Ciri organisasi

Sebelum PRU 2008, perkataan rakyat amat jarang menjadi sebutan yang sinonim bagi pihak Umno khususnya. Ia adalah kerana kemenangan PRU 2004 memberi keyakinan melampau bahawa rakyat tetap akan memilih Umno-BN dan pihak Umno juga khususnya Najib Razak, Hishamuddin Hussein dan beberapa pemuka atasannya percaya bahawa pengaruh pembangkang akan terus merundum secara menyeluruh.

Namun setelah PRU 2008 dan 'meragut' banyak kerusi Umno-BN, pihak ini menjadi panik dan tidak ketentuan setelah diberi tamparan hebat Tsunami Politik yang tidak diduga oleh Umno-BN selama ini. Secara hakikatnya, formula penyusunan politik yang dirangka oleh pasukan Abdul Razak Hussein pada tahun 1969-1971 itu telah mencapai kemuncaknya pada tahun 2008. Ini bermaksud kitaran politik susunan Umno-BN itu telah melalui aliran merundum dan memerlukan pembaharuan semula (rebranding) bagi melonjakkan semula aliran menaiknya!

Pihak Umno-BN merasai keselesaan menguasai dua pertiga kuasa dalam negara ini selama 38 tahun. Tarikh 8 Mac 2008 menjadi titik puncak kepada susunan politik 1970 itu. Allah SWT telah memberi rahmat kemenangan buat Pakatan Rakyat dan rahmat kekalahan kepada Umno-BN untuk dinilai oleh kedua-dua pihak. Maka istilah 'rakyat' kembali dituturkan secara konsisten oleh pemuka-pemuka Umno bagi membayangkan bahawa mereka juga tidak ketinggalan gerabak dan meniru kaedah-kaedah PR yang lebih mesra rakyat!

Umno itu secara sendirinya adalah sebuah pertubuhan berasaskan kaum iaitu Melayu dengan arah perjuangannya atau idealisma nasionalis (kebangsaan). Segala rumpun Melayu seperti Jawa, Banjar, Batak, Acheh, Minang, Bugis, Mendailing dan terkini Mamak dirangkumkan sebagai bangsa Melayu. Ini termasuk manusia-manusia Bumiputera Sabah yang turut 'di-melayu-kan' oleh Umno.

Berbeza dengan Keadilan dan DAP, kedua-duanya merupakan pertubuhan pelbagai kaum. DAP ditubuhkan pada tahun 1965 merupakan parti pelbagai kaum yang didominasi oleh kaum Cina. Sebelum itu, wujud pakatan Front Sosialis yang mengabungkan dua parti pelbagai kaum iaitu Parti Rakyat dan Parti Buruh. Keupayaan Front Sosialis menarik sokongan daripada pelbagai kaum tanpa perlu ada organisasi terasing mengikut ras kaum sekitar tahun 1955-1965 cukup menakutkan Umno sebenarnya. 

Secara mudahnya, konsep Perikatan (terdiri daripada Umno-MCA-MIC) adalah tiap-tiap komponennya bertumpu kepada kaum sendiri tetapi harus memacukan sokongan setiap kaum itu kepada Perikatan. Umno bertumpu kepada kaum Melayu, MCA kepada kaum Cina dan MIC kepada kaum India. Akan tetapi bagi Front Sosialis asas perjuangannya adalah rakyat iaitu melibatkan semua kaum di Malaya waktu itu tanpa mengira Melayu, Cina, India atau Serani. Pakatan ini bergerak dalam sebuah unit organisasi yang besar dan bertumpu kepada seluruh rakyat. Keadaan ini memperlihatkan penyatuan politik semua kaum dalam satu unit negara bangsa. Ia sangat menakutkan Umno-Perikatan kerana suasana tersebut 'membunuh' politik perkauman yang didokong oleh mereka. Ini kerana keterlibatan semua pimpinan dari pelbagai kaum Front Sosialis lebih disenangi rakyat waktu itu.

Sistem Politik Aturan 1949

Malah penjajah Inggeris sebelum merdeka telah berusaha mematikan gerakan politik PUTERA-AMCJA yang dilihat lebih berjaya menyatukan semua kaum di Malaya sebagai satu bangsa negara berbanding Umno yang berpegang kepada konsep 'Hidup Melayu' ketika era 1946-49.

PUTERA-AMCJA terlebih dahulu mendepani perjuangan menuntut kemerdekaan dan bersedia dengan Perlembagaan Rakyat yang telah ditolak oleh British. Hartal pada 27 Oktober 1947 benar-benar melumpuhkan ekonomi Malaya ketika itu yang digerakkan oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council Joint Action (AMCJA).

Penjajah British keadaan tersebut akan merencat rancangan mereka untuk 'menguasai' secara tidak langsung Malaya walaupun setelah negara ini merdeka. British tidak mahu ada pihak yang menghalang rancangan mereka mengatur dan mencatur Malaya setelah dimerdekakan. Maka gerakan Putera-AMCJA wajar dicantas!

Bermula dari titik itulah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan oleh British sebagai alat membendung kebangkitan rakyat melalui gerakan tersebut. Semua parti-parti politik yang menentang aspirasi British telah distatuskan sebagai 'politik kiri' dan parti-parti berasaskan kaum seperti Umno, MIC dan MCA diangkat sebagai 'pewaris' pemerintahan Malaya. Kebanyakan parti yang berhaluan kiri ini dikaitkan oleh penjajah British dengan anasir komunis dan diharamkan.

Era 1949-1957 memperlihatkan gerakan politik bukan Perikatan 'dibunuh' oleh British dan ketika itu juga penentangan Parti Komunis Malaya begitu agresif terhadap kerajaan British Malaya. Keadaan itu juga memberi kelebihan politik kepada British untuk memainkan sentimen bahawa PKM sebagai ancaman keselamatan negara. Malah ada agen-agen British yang sebenarnya mencetuskan 'serangan keganasan' yang berperanan untuk dijadikan ia sebagai cetusan oleh PKM! Jangan kita lupa bahawa British turut berhadapan dengan penentangan yang lebih hebat dari gerakan kemerdekaan Eire (Ireland) dan India sebelum itu. Gerakan gerila IRA (Irish Republican Army) telah menjalankan penentangan yang hebat sejak tahun 1919 sehingga 1921. Kaedah-kaedah 'mencetus provokasi & keganasan' adalah permainan penting para agen risikan British untuk membunuhkan gerkan-gerakan penentangan itu.

Selepas merdeka pada 31 Ogos 1957, banyak parti politik 'dibenarkan' penubuhannya oleh kerajaan baru Malaya sebagai mendokong aspirasi demokrasi.







No comments:

Post a Comment