N15 Dun Juasseh |
Menjelang PRU-13 yang mungkin berlaku samada Disember ini atau Mac 2013 akan datang, Dun Juasseh adalah antara kawasan yang wajib dimenangi oleh Pakatan Rakyat kali ini. Juasseh secara hakikatnya bukan lagi kubu kuat Umno-BN di Negeri Sembilan sebagaimana Sungai Lui atau Bagan Pinang atau Kota.
Sejak era Reformasi 99, pengaruh Umno sebenarnya telah merundum dan ditolak oleh majoriti pemilih Melayu di Juasseh. Cuma kelemahan gerakan politik Keadilan selepas tahun 2003 di seluruh Kuala Pilah menyebabkan Umno-BN kembali memperbaiki sokongan rakyat. Lebih 70 peratus pemilih Juasseh adalah kaum Melayu dan gelombang perubahan hasil ledakan Reformasi 99 hampir menjerumuskan Umno kepada kekalahan waktu itu!
Razi Kail ADUN Juasseh |
Sebagaimana yang disebut dalam analisa terdahulu, PRU 1999 memperlihatkan gelombang perubahan yang luarbiasa di seluruh Parlimen Kuala Pilah. Kawasan ini antara parlimen dalam Negeri Sembilan mencatat kemenangan Umno-BN di bawah majoriti tiga ribu undi selain daripada Rasah. Kuala Pilah juga mencatat sejarah pilihanraya Negeri Sembilan dengan semua calon Umno menang di peringkat dun dengan majoriti hanya bawah 1,100 undi!
Imbasan Sejarah
Dalam PRU 1999, Umno melalui calonnya Hasan Malek (Ahli Parlimen Kuala Pilah kini) memenangi Juasseh dengan kelebihan kemenangan 985 undi. Ia merupakan majoriti kemenangan terendah yang pernah dicatatkan oleh Umno sejak 1959 (dahulu Juasseh sebahagian daripada dun Ulu Muar dan Terentang).
Juasseh ketika itu mempunyai 8,736 pemilih berdaftar dengan lebih 73 peratus adalah pemilih Melayu. Ombakan peralihan sokongan pemilih Melayu kepada Barisan Alternatif ketika itu melonjak sehingga 75 peratus. Hasan Malek mendapat undi popular 55.99% manakala calon Keadilan memperolehi 40.21%. Peratus keluar mengundi waktu adalah 71.46% atau 6,242 pemilih. Jika tidak kerana undi bukan yang 80 peratus memihak BN, ada kemungkinan besar Umno tewas di Juasseh. Keadilan diwakili oleh Shamsul Bahri Shamsudin.
Kemerosotan pengaruh Barisan Alternatif khusus Keadilan selepas tahun 2001-2004 memberi ruang terbaik buat Umno-BN memperbaiki sokongan. Jelas ketika itu, kehangatan Reformasi 99 merundum dan hampir sahaja memadam api perjuangan Keadilan.
Kemerosotan pengaruh itu terbukti dalam PRU 2004 dengan Umno memenangi Juasseh melalui Razi Kail dengan majoriti 3,064 undi. Razi mendapat undi sebanyak 4,672 undi (72.58%) manakala calon Keadilan-Roslan Alias mendapat 1,608 undi sahaja atau 24.98%. Jumlah keluar undi adalah 6,437 orang (74.82%).
Roslan Alias Calon Keadilan PRU 2004 |
Kemerosotan pengaruh itu terbukti dalam PRU 2004 dengan Umno memenangi Juasseh melalui Razi Kail dengan majoriti 3,064 undi. Razi mendapat undi sebanyak 4,672 undi (72.58%) manakala calon Keadilan-Roslan Alias mendapat 1,608 undi sahaja atau 24.98%. Jumlah keluar undi adalah 6,437 orang (74.82%).
PRU 2004 benar-benar mengembalikan semula sokongan Melayu kepada Umno di seluruh Kuala Pilah dengan semua dua (kecuali Seri Menanti) mencatat majoriti kemenangan melebihi dua ribu undi.
Suasana kembali berubah pada PRU 2008 apabila perolehan undi Umno-BN sedikit merosot. Razi Kail dikekalkan sebagai calon Umno dan memperolehi 4,169 undi manakala calon Keadilan, Encik Ghazali Othman mendapat 2,101 undi. Kali ini Razi memenangi Juasseh dengan majoriti 2,068 undi. Jumlah keluar mengundi ketika itu adalah 6,430 orang (75.69%). Secara analisa data, berlaku peningkatan atau swing undi yang diterima oleh calon Keadilan sebanyak 31 peratus.
Situasi Semasa
Keributan dalam Umno Kuala Pilah bukan perkara sembunyi-sembunyi lagi. Bak 'tolo tombolang pocah busuk sekampung' inilah yang sedang dialami oleh Umno Kuala Pilah. Pertentangan hebat di antara Ketua Bahagiannya-Ismail Lasim juga Adun Senaling dengan Timbalannya-Hasan Malek yang bercita-cita untuk menjadi MB Negeri Sembilan. Bau 'tolo tombolang pocah' ini sudah menjangkiti dan merebak di pelusuk Kuala Pilah. Mereka bukan berbicara soal untuk menang pilihanraya tetapi berperang untuk mengangkat calon-calon dari pasukan masing-masing!
Hasrat Hasan Malek itu tidak lagi disimpan-simpan malah dengan sengaja digebang-hebah kepada sekalian alam di Kuala Pilah dan Negeri Sembilan. Mengikut perkhabaran yang disampaikan oleh beberapa individu dari Kuala Pilah, dikatakan Ismail Lasim akan bertanding di parlimen manakala Hasan Malek akan kembali ke Juasseh.
Jika benar itu berlaku, maka kedudukan Adun sedia ada kini iaitu Razi Kail bakal dicantas! Malahan Razi sendiri masih menyatakan minat untuk menjadi calon sekali lagi. Umno masih lagi belum menyelesaikan calonnya di Juasseh. Malah ada akar umbi Umno di Juasseh menyatakan jika Hasan Malek bertanding, mereka akan mengundi calon Keadilan!
Keadilan Kuala Pilah juga dikatakan telah menamakan beberapa nama yang berpotensi untuk diangkat sebagai calon di Juasseh. Antara yang disebut-sebut adalah Penyelaras PR Jemapoh, Haji Rosli Omar, Ketua AMK Kuala Pilah-Helmi Maarof dan mantan calon PRU 2004 yang juga Naib Ketua Keadilan Kuala Pilah-Haji Roslan Alias.
Dalam menilai kredibiliti dan keupayaan, Haji Rosli Omar dilihat lebih terkedepan. Malah beliau juga anak tempatan Juasseh dan menetap di situ. Beliau juga telah disebut-sebut sebagai sosok yang layak untuk mewakili Keadilan di Juasseh.
Potensi
Ruang untuk Pakatan Rakyat memenangi Juasseh kali ini nampaknya lebih terbuka berbanding PRU 2008. Selain daripada lambang parti menjadi pilihan pemilih untuk mengundi, faktor calon menjadi penentu kedua yang menarik perhatian pemilih.
Jika Keadilan meletakkan Haji Rosli Omar sebagai calonnya di Juasseh, beliau dilihat mampu untuk memberi saingan yang terbaik kepada Hasan Malek. Ini kerana Haji Rosli berada di sekitar 'telapak' berbanding dengan Hasan Malek. Faktor itu memberi kelebihan kepada beliau selain daripada dikenali masyarakat tempatan.
Andainya lain calon ditampilkan, peluang itu ada namun agak sukar. Ia bermaksud bakal calon itu harus bekerja kuat bagi menghadapi saingan Umno di Juasseh. Sentuhan kepada pengundi wajar dipergiatkan agar keyakinan pemilih itu dapat dijelmakan untuk memilih calon PR.
Pemilih
Berikut pecahan pemilih di Juasseh mengikut Suku Tahun Kedua Tahun 2012 mengikut kaum;
Jumlah Pemilih: 9,411
Melayu: 7,458 (79.25%) Cina: 1,224 (13.01%) India: 539 (5.73%) Orang Asli: 161 (1.71%)
Adalah dijangka pada PRU 13 akan datang, peratus keluar mengundi bagi Juasseh adalah 76 peratus atau 7,153 orang pemilih. Mungkin peratusan sama boleh berlaku sebagaimana PRU 2008 iaitu sekitar 6,500 orang pemilih keluar mengundi.
Jangkaan Penulis:
PR: 51%
BN: 49%
Rujukan data keputusan pilihanraya:
1. http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=pilihanraya2008&pg=keputusan/NegeriSembilan_N15.htm
2. http://web7.bernama.com/events/elect2004/results/2004/negerisembilan.html
3. http://web7.bernama.com/events/elect2004/results/1999/negerisembilan.htm
4. Statistik Daftar Pemilih SPR SKT2 2012.
No comments:
Post a Comment