Monday, 25 June 2012

PRU-13 dijangka Mac 2013

Tarikh pilihanraya umum di negara ini menjadi 'hak milik istimewa' tak bertulis kepada Perdana Menteri Malaysia. Ia umpama suatu misteri yang menjadi permainan telahan dan andaian para penganalisis politik. Jika andaian atau telahan itu tepat, maka ia akan dianggap yang terkedepan dalam meramal sesuatu tentang politik.

Beberapa jangkaan popular telah diketengahkan mengenai tarikh-tarikh penting ke arah PRU-13 sejak pertengahan tahun 2011 lagi. Pada tahun itu, kencang bertebaran bahawa parlimen akan dibubarkan samada September atau Oktober untuk memberi laluan pilihanraya umum pada bulan November atau Disember. Namun begitu, ia telah menjadi khabar angin politik dan tarikh-tarikh jangkaan itu berlalu pergi.

Para peramal dan penganalisis politik menjangkakan PRU-13 akan diadakan selepas Pilihanraya Negeri  (PRN) Sarawak yang berlangsung pada 16 April 2011. Ia dikatakan menjadi petanda aras ke arah mengadakan  pilihanraya umum negara, akan tetapi keputusan PRN Sarawak yang menghasilkan keputusan mengejut dengan kemerosotan perolehan undi popular BN. PRN kali ini BN mendapat undi popular sebanyak 55.4 peratus, merosot 6.4 peratus berbanding PRN 2006 (61.8%).

Ali Biju
ADUN Krian
Kejutan keputusan itu memperlihatkan pertambahan kerusi kepada Pakatan Rakyat yang memenangi 15 dun daripada 71 dun. DAP memenangi 12 dun dan KEADILAN memenangi tiga dun. Lebih menyakitkan khusus kepada Najib Razak adalah pertambahan kerusi kepada KEADILAN. Kali ini, KEADILAN telah memenangi satu kerusi majoriti Cina-Batu Lintang, satu kerusi majoriti Iban-Krian dan satu kerusi majoriti Orang Ulu-Ba'kelalan. 

Saingan yang dihadirkan oleh PR Sarawak untuk PRN 2011 amat sengit khususnya di kawasan-kawasan bandar. Kemenangan PR di dun Krian telah membuktikan kawasan majoriti Iban di pedalaman mampu ditembusi. 

Ia memberi isyarat jelas kepada prestasi sebenar kepada potensi kemenangan PR di peringkat parlimen. Jika dinilai 15 kemenangan PR dan perolehan undi popular di kebanyakan kawasan yang dimenangi oleh BN dengan majoriti bawah dua ribu undi, ada kemungkinan beberapa parlimen yang berpotensi dimenangi oleh PR dalam PRU-13 seperti Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu, Bintulu, Miri dan Serian. Ia satu petanda aras yang menyebabkan kelangsungan PRU-13 menjadi nyata ditunda oleh Najib Razak.

Spekulasi Bubar Parlimen

Setelah masuk tahun 2012, para penganalisis dan peramal politik telah kuat mensasarkan bahawa tahun 2012 bakal berlakunya PRU-13. Malah andaian popular bahawa Najib Razak akan mengadakan pilihanraya pada November 2011 juga meleset.

Bertitik tolak dari situasi politik yang berlaku pada penghujung tahun 2011, akhbar Sinar Harian telah meramalkan tarikh PRU-13 berlaku pada 11 Febuari 2012. Namun segala andaian dan ramalan itu tetap menjadi bahan jenaka politik, tidak langsung menjadi kenyataan.

Jangkaan popular sekali lagi bertebaran bahawa Najib Razak dikatakan akan mengumumkan pembubaran parlimen pada 28 Jun 2012 dan tarikh PRU-13 pada 9 Jun 2012. Ia juga turut berlalu tanpa menjadi kenyataan. Sekali lagi para peramal dan penganalisis terpedaya dengan sebaran maklumat yang dikatakan datang dari sumber dalaman pemerintah.

Awal Jun lalu, Ketua Pembangkang-Anwar Ibrahim pula meramalkan PRU-13 bakal berlangsung pada Mac 2013. Beliau berpandukan kepada pengumuman Najib Razak menangguhkan pemilihan Umno selama 18 bulan untuk proses 'pemulihan' dan pemantapan parti tersebut.

Jika tindakan itu tidak dilakukan, ada pandangan politik mengatakan besar kemungkinan Najib Razak bakal ditentang dalam pemilihan Umno kali ini. Arus penentangan dari kem Muhyiddin Yasin kian kuat menekan dan mendesak Najib untuk mengadakan pilihanraya.

Mencari kemenangan 148 parlimen

Najib Razak sedar bahawa mandat kerajaan sekarang adalah kepunyaan mantan PM sebelum ini, Abdullah Ahmad Badawi (Paklah). Beliau sendiri harus mendapatkan mandat yang lebih baik daripada Paklah yang memenangi 140 parlimen dalam PRU 2008 lalu. 

Berdasarkan beberapa kaji selidik berkaitan peluang kemenangan BN, secara selesanya BN akan memenangi 112 parlimen dan PR pula akan memenangi 95 parlimen. Manakala 15 parlimen lagi berada dalam kategori 50-50 yang meliputi kerusi BN dan PR.

Pengarah Strategik KEADILAN, Rafizi Ramli tampil dengan pandangan yang lebih berani dengan mengatakan PR berpotensi menang 105 parlimen. BN masih mendahului dengan 117 parlimen, namun mandat yang bakal diperolehi itu tidak meletakkan ia sebagai sebuah kerajaan pemerintah yang kuat!

Keadaan inilah yang masih menjadi pertimbangan serius yang bertukar menjadi kegusaran kepada Najib Razak sekiranya beliau mengadakan pilihanraya lebih awal. Sebanyak 31 parlimen lagi diperlukan untuk mendapat angka minima dua pertiga kemenangan dalam Dewan Rakyat. 

Mood perayaan

Berlalunya tarikh-tarikh andaian PRU-13 Julai-September-November 2012, gerakan Najib Razak kini dilihat untuk mendapatkan 'momentum semangat' dan kemenangan melalui perayaan-perayaan penting sehingga hujung tahun ini. Hari Raya Aidilfitri kali ini dijangka lebih 'meriah' dengan gula-gula politik yang bakal ditebarkan kepada rakyat sebagai usaha menarik sokongan.

Malah tema Hari Kebangsaan kali ini iaitu 'Janji Ditepati' menjadi petanda jelas dan kuat bahawa tidak mungkin berlaku pilihanraya umum pada hujung tahun 2012. Pengumuman dan Pembentangan Bajet 2013 pada September 2012 menguatkan lagi telahan.

Bajet 2013 dijangka akan menghasilkan lagi 'suntikan kedua' melalui pemberian BR1M kali kedua dan lain-lain durian runtuh kepada rakyat. Apakah pengusaha lori dan bas awam bakal menerima subsidi tayar sebagaimana yang diterima oleh para pemandu teksi??

Kepastian yang jelas, gerakan semasa Najib Razak sehingga akhir tahun ini adalah untuk mencapai kemenangan 148 parlimen. Itu adalah matlamat beliau bagi memperkukuhkan mandat baru BN. 

Kemungkinan besar PRU-13 akan berlangsung penghujung Mac atau awal April 2013. Pembubaran parlimen dijangka berlaku selepas Tahun Baru Cina sekitar penghujung Febuari atau awal Mac 2013.

Jika mahukan lagi kepastian, tanyalah Najib Razak!




2 comments:

  1. rakyat mahukan perubahan , Najib mengambil kesempatan ini dengan baik. Kalau Najib di US, Najib kompem boleh menang. Tp di Malaysia, sentimen memainkan peranan. Namun, jika dilihat track record, rakyat pun taknak menggadaikan undi sesuka hati. Kemungkinan BN boleh menang disebabkan Melayu masih tidak percaya dengan DAP..aku pun Melayu n atas pagar..kenapa la PAS tak keluar dari DAP..

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila masa pulak PAS masuk DAP?

      Delete