Thursday, 7 June 2012

Chennah Tak Mustahil Dimenangi PR NS

Fakta umum DUN Chennah:

Pemilih Dun: 10,730 (SKT3 2011)
Jumlah masjid: 10
Jumlah tokong utama: 2 (Titi & Triang Hilir)
Jumlah SRK: 8
Jumlah SMK: 2
Jumlah SRJK(C): 4
Kawasan felda: Felda Titi
Cawangan Umno: 13
Ahli Umno: 3,262

Apakah PRU-13 bakal menamatkan penguasaan MCA di Dun Chennah yang menjadi kubu terakhir MCA di Negeri Sembilan?

Jika melihat kepada senario politik semasa, adalah tidak mustahil untuk Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menawan Chennah melalui DAP. Kesungguhan untuk memenangi Chennah telah dibuktikan oleh kepimpinan DAP NS melalui gerak kerja yang giat dijalankan sejak tahun 2010 lalu.


Sejak Mac 2012, kepimpinan DAP NS kerap membuat gerakan sentuhan pengundi di kawasan-kawasan majoriti Cina seluruh Negeri Sembilan bermula di Chennah. Reaksi dan respon daripada para penduduk sangat positif seakan memberi gambaran PRU-13 akan datang, mereka telah bersedia memberi undi secara besar-besaran kepada calon DAP.

ADUN Chennah
Siow Chen Pin
Namun begitu, pihak BN khususnya Umno Jelebu dilihat kerap mengadakan program-program besar di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Kali terakhir program besar diadakan adalah di Kampung Chennah yang dihadiri oleh Rais Yatim. Kemenangan MCA di Chennah sangat-sangat bergantung kepada undi pemilih Melayu. PRU 2008 lalu, peratus sokongan pengundi Melayu kepada calon MCA adalah sekitar 68 peratus, manakala sokongan pengundi Cina kepada BN sekitar 27 peratus. Hasilnya calon MCA-Siow Chen Pin memenangi Chennah dengan kelebihan 1,298 undi.



Sejarah Pilihanraya

Dun Chennah wujud setelah persempadan semula tahun 1994, yang sebelum ini dikenali sebagai dun Peradong. Beberapa daerah mengundi yang berada dalam dun Peradong telah dipindahkan ke dalam dun Klawang.

Harus diingat, bahawa tujuan persempadanan kawasan pilihanraya adalah untuk memecahkan blok-blok sokongan pembangkang dalam sesuatu kawasan sebagai menjamin kemenangan berterusan BN. Ini termasuk dengan dun Peradong, ketika PRU 1990 kawasan ini telah dimenangi oleh DAP dengan kelebihan 682 undi. Kemenangan DAP ketika itu seiring dengan perubahan politik negara dan keputusan-keputusan pilihanraya waktu itu di seluruh dun dalam Parlimen Jelebu memperlihatkan kemerosotan undi popular kepada calon-calon Umno kecuali di dun Sungai Lui. Calon-calon Umno menang dengan majoriti rendah atau tipis di Klawang dan Pertang juga di Parlimen Jelebu.

Saingan politik oleh Semangat 46 di Jelebu sangat sengit dan hampir sahaja seluruh Jelebu dikuasai oleh pembangkang. Pakatan pembangkang di Jelebu telah mendapat 48 peratus undi popular sementara BN mendapat 52 peratus. Situasi itu benar-benar menggoncang kedudukan Umno Jelebu ditambah dengan kekalahan mengejut calon MCA di Peradong.

Terbukti selepas persempadanan semula pada tahun 1994, dengan kewujudan Chennah, BN melalui MCA telah berjaya memenangi Chennah sehingga PRU 2008 lalu. Prestasi kemenangan calon MCA boleh dikira agak baik berbanding kelebihan undi PRU 1986, yang memperlihatkan MCA melalui Wong See Wah hanya menang dengan majoriti 398 undi sahaja. Kemenangan calon MCA sebenarnya dibantu oleh undi pemilih-pemilih Melayu.

Peluang Kemenangan

Peluang untuk DAP memenangi Chennah kali ini dalam PRU-13 sangat tinggi sekiranya sokongan semasa kaum Cina kepada PR diambilkira. PR Negeri Sembilan harus bekerja keras untuk melonjakkan sokongan pemilih Melayu.

Pecahan pemilih Chennah mengikut kaum adalah seperti berikut;
Melayu: 41.22%    Cina: 52.08%    India: 2.36%   Orang Asal: 4.15%

Adalah diyakini sokongan pemilih kaum Cina melonjak sekitar 80 peratus kepada calon DAP, maka hanya 35 peratus sokongan Melayu dan 58 peratus sokongan India diperlukan untuk DAP memenangi Chennah dan dijangka undi popular yang bakal diperolehi oleh DAP adalah sekitar 55 hingga 57 peratus.

Cabaran

Sentimen perkauman adalah senjata ampuh yang kerap digunakan oleh pihak Umno khususnya di kawasan-kawasan kampung. Elemen-elemen berbaur perkauman seperti DAP anti-Melayu, komunisme dan ketuanan Melayu sudah pasti dijaja oleh BN semasa berkempen.

Gerakan dan jentera bersama PR NS wajar diperkukuhkan khususnya dalam memberi tumpuan penerangan serta penyampaian maklumat tepat kepada pemilih-pemilih Melayu dalam mengubah perspektif salah yang ditaburkan oleh BN sejak berdekad lamanya. Wujud sentimen di kawasan-kawasan Melayu di Chennah yang mengatakan MCA lebih baik daripada DAP. PR Negeri Sembilan wajar mengadakan satu dua program besar yang membawa pimpinan utama ke kawasan Chennah sebagai satu usaha untuk membunuh persepsi salah tersebut.

Kecenderungan pemilih Orang Asal untuk berubah juga telah kelihatan. Undi mereka juga penting kerana peratusan mereka di Chennah agak tinggi berbanding pemilih kaum India. Strategi-strategi mendekati pemilih Orang Asal harus dipergiatkan supaya tidak lagi dimanipulasi secara maksimum oleh BN.

Dikhabarkan MCA akan mengekalkan penyandang sedia ada sebagai calon di Chennah. Sudah pasti MCA akan mempertahankan kemenangan di Chennah seiring dengan matlamat MCA NS untuk merampas semula Rahang, Nilai, Lobak dan Temiang. Namun begitu, apakah matlamat kemenangan mereka itu bakal dibantu oleh manipulasi jentera-jentera kerajaan serta bantuan pengundi-pengundi hantu & asing?

DAP NS juga telah dikatakan mempunyai 'killer-candidate' yang sangat berkredibiliti untuk bertanding di Chennah. Andaian beberapa pendapat yang mengatakan DAP NS akan meletakkan calon Melayu di Chennah sebagai meraih undi Melayu adalah satu tanggapan jahat yang disebarkan oleh pihak lawan.

Akan tetapi yang pasti kali ini, DAP NS benar-benar bersedia untuk membantu PR NS menawan Negeri Sembilan. Jika DAP NS mengekalkan semua kemenangan di sepuluh dun yang dimenangi pada PRU 2008 dan menawan Chennah, maka DAP akan menjadi penyumbang terbesar kemenangan PR di Negeri Sembilan. Kemenangan berganda dijangka mampu disumbangkan oleh KEADILAN NS dan PAS NS, malah tidak mustahil untuk PRU-13 kali ini, PR bakal mendapat kemenangan dua pertiga!

Andaian Kemenangan Penulis DUN Chennah:

PR-56%
BN-42%




No comments:

Post a Comment