Jika penilaian data diteliti tanpa meletakkan faktor politik, trend atau corak tertentu wajar dijadikan pedoman sebagai penentuan kemenangan atau kekalahan dalam PRU-13 akan datang. Pakatan Rakyat juga harus bekerja keras dalam menyakinkan para pemilih atau pengundi muda dalam kategori umur 21-29 tahun.
Harus diingat bahawa pada PRU-2008 lalu, bukan semua pengundi dalam kategori umur tersebut cenderung memilih PR. Jangan terkejut atau menyangkal dakwa-dakwi ini secara politik. Kemenangan PR di kebanyakan kawasan adalah dipengaruhi oleh sokongan pemilih matang yang berada dalam kategori umur 30-59 tahun. Memang benar golongan muda menyokong PR tetapi kategori umur yang menyokong itu adalah pada peringkat 30 hingga 41 tahun. Kematangan kelompok ini mempengaruhi corak pemilihan mereka dan kecenderungan sokongan terhadap sesuatu organisasi. Secara ilmu matematik statistik, hal ini wajar dijadikan penelitian penting dalam memahami arah tuju kemenangan PRU-13. Data teknikal sebegini tidak boleh dipandang remeh walaupun ramai orang politik yang masih terikat dengan pendekatan politik lama yang bergantung kepada retorika.
Memang benar ombakan politik pada saat akhir yang akan menentukan kedudukan terakhir sebelum tamat penggundian. Akan tetapi apakah semua ahli politik itu mempunyai ombakan luar biasa politik? Contoh terbaik adalah sebagaimana yang berlaku pada calon KEADILAN bagi Parlimen Rembau dalam PRU-2008 lalu. Secara ombakan politik, terbukti rakyat menyokong tetapi pada saat-saat akhir 'taktikal data' telah digunakan oleh BN dalam menafikan kemenangan KEADILAN di Rembau. Mengapa ia berlaku? Persoalan undi hantu atau tambahan undi pos dari kawasan lain dibawa masuk ke Rembau adalah antara kaedah 'taktikal data' atau digelar oleh penyokong pembangkang sebagai penipuan undi.
Pengundi muda dalam kelompok umur 21-29 tahun boleh dianggap sebagai pemilih yang kebanyakannya tidak berparti, bebas dan tidak terikat secara khusus dengan sebarang organisasi politik. Walaubagaimanapun, angka yang terlibat secara serius dalam organisasi tidak ramai hatta yang menjadi pelajar di IPT. Bukan semua pelajar di IPT itu serius memikirkan hal-hal politik. Hanya sebahagian yang terlibat serius dalam organisasi pelajar samada yang pro-Aspirasi atau pro-Mahasiswa.
Maka betapa pentingnya gerakan anak muda meledakkan kesedaran minda yang besar agar kematangan politik itu tidak terlingkung hanya kepada golongan pelajar IPT tetapi harus melebar kepada golongan muda di luar IPT yang terdiri daripada kelompok-kelompok pemuda motosikal, golongan muda independen kreatif, golongan muda penganggur, golongan muda pekerja industri dan golongan muda luar bandar. Jumlah mereka ini lebih ramai daripada yang berada di IPT.
Bagaimana gerombolan Umno memastikan kemenangan atau mengekalkan kemenangan di sesuatu kawasan Dun atau Parlimen?
Secara angka, tiap-tiap kawasan Dun atau Parlimen yang mempunyai 20% ke atas pemilih muda 21-29 tahun adalah kawasan yang sangat berpotensi tinggi dimenangi oleh BN. Faktor tidak matang politik yang terdapat dalam kumpulan umur pemilih ini paling mudah dipengaruhi dan dieksploit sokongan mereka oleh BN. Jika helaian keputusan PRU-2008 lalu mana-mana kawasan diteliti, ada banyak saluran pengundi yang dalam lingkungan umur ini dimenangi oleh BN walaupun saluran pemilih umur 30 tahun ke atas dimenangi oleh PR. Ini tidak pelik atau luar biasa. Trend ini sebenarnya berlaku dalam setiap PRU tetapi ia tidak begitu diteliti oleh kebanyakan orang. Maka akibat ketidaktelitian yang berlaku khususnya dalam PR, pakar-pakar data BN akan terus menggunakan kaedah ini dalam menjana kemenangan secara ilmu matematik.
Negeri Sembilan khususnya menjadi contoh hujahan tersebut. Bagi kawasan yang selesa dimenangi oleh Umno dengan majoriti melebihi 2500 undi ke atas, jumlah pemilih berumur 21-29 tahun melebihi nilai 20%. Dun Sungai Lui dalam Parlimen Jelebu mempunyai 22.59% pemilih berumur 21-29 tahun. Bagi Dun yang dimenangi dengan kelebihan bawah dua ribu undi oleh BN dalam Parlimen Jelebu iaitu Dun Klawang jumlah pemilih kumpulan ini hanya 13.48%, Dun Chennah (14.66%) dan Dun Pertang (16.35%).
Andaian secara realiti data di atas, kemungkinan besar Umno akan mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang tinggi (sekitar 2600 undi) di Dun Sungai Lui pada PRU-13. Umno-BN dijangka tewas di Klawang dan Chennah manakala di Pertang kemungkinan Umno kekal menang tetapi dengan majoriti sekitar 1,300 undi.
Secara keseluruhan bagi Parlimen Jelebu, besar kemungkinan perolehan undi popular Umno akan merosot dan dijangka mendapat saingan sengit PR. Ini dinilai secara realiti data dan tidak berdasarkan gerak kerja atau ombakan politik. Jika ia bergabung dengan dua faktor tersebut (gerak kerja & ombakan politik), mungkin sebaliknya akan berlaku. Kedudukan BN-PR di Jelebu adalah 50-50.
Selain daripada Dun Sungai Lui, beberapa Dun lain yang mempunyai nilai pemilih 21-29 tahun pada paras 20% ke atas adalah Serting (23.19%), Palong (21.71%), Paroi (21.26%), Bagan Pinang (31.27%) dan Gemas (25.68%).
Harus diingat dan difahami dalam konteks yang dibentangkan ini, sebarang andaian menang dan kalah yang dinyatakan adalah berdasar realiti data. Ia hanya sebagai panduan untuk gerak kerja dan strategi politik. Gaya mencorak strategi BN harus dikaji berdasarkan data-data ini. Terpulang kepada anda untuk menerimanya atau cuba memahaminya secara strategik. Dalam merencana kemenangan, wajar semua kaedah dipertimbang-gunakan.
Berdasarkan nilai peratusan pemilih 21-29 tahun, PR mampu menjana kemenangan secara selesa bagi kawasan-kawasan yang mempunyai nilai peratusan bawah 15%. Bagi kawasan yang mempunyai nilai 17-16% pemilih 21-29 tahun, PR harus menggandakan usaha kerana peluang menang tetap ada sekitar 52-55%. Manakala pada nilai peratusan 19.99-18% , PR wajar berusaha keras kerana peluang kemenangan sangat tipis sekitar 50.60% hingga 51% sahaja.
Jika peratusan pemilih 21-29 tahun yang berada bawah peratusan 15% di Negeri Sembilan, PR secara realiti data diandaikan telah menang 21 kawasan Dun dan dua Parlimen.
Sekali ditegaskan di sini, penjelasan data-data di atas adalah sebagai panduan kepada gerak kerja dan strategi. Ia masih boleh dinafikan sekiranya strategi dan gerak kerja yang betul dijalankan oleh PR. Begitu juga dengan BN. Pihak mereka juga bergantung kepada data-data sebegini dalam merangka gerak kerja politik.
Menang atau kalah adalah bergantung kepada usaha anda. Tuhan juga menilai kesungguhan kita untuk menang tidak kira anda daripada PR atau BN. Jika kita masih bersikap sambil lewa dan malas serta teguh kepada retorika-retorika politik lama, terpulang kepada diri sendiri menentukannya.
Mana-mana yang salah, wajar diperbetulkan atau ditolak. Mana-mana yang difikirkan berguna, wajar dijadikan panduan.
No comments:
Post a Comment