Monday, 3 February 2014

Kejutan Politik Selangor

Beberapa minggu lalu suasana politik di Selangor memperlihatkan 'keributan' atau kocakan air dalam cawan yang telah mendapat perhatian seluruh rakyat negara ini. Selain menjadi paksi ekonomi negara, Selangor juga menjadi paksi kepada pergerakan politik tanahair. Itu tidak boleh dinafikan hatta pertukaran tiap Menteri Besar negeri ini akan disulami dengan pelbagai krisis politik samada ia bersifat peribadi atau kepartian. Selangor tidak pernah sunyi daripada kehangat politik semasanya.

Seluruh rakyat dikejutkan dengan 'krisis dalaman' yang memperlihatkan pertembungan antara MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Pengerusi Keadilan Selangor, Azmin Ali dalam isu pemecatan Azmin daripada PKNS. Ia berlarutan dengan beberapa siri keadaan sehingga Pengurus dan Setiausaha Kerja PKNS dipindahkan ke Bangunan SUK Selangor.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuat satu serbuan mengejut dengan membuat rampasan Kitab Injil Bahasa Melayu di stor simpanan sebuah gereja di Petaling Jaya. Malah tersiar dalam beberapa akhbar utama yang memaparkan gambar Bible College sebagai tempat berlakunya serbuan dan rampasan tersebut. Isu itu dilihat sebagai cubaan mencetuskan pertelingkahan agama. Namun pada akhirnya pihak Jais terpaksa memulangkan semula semua kitab yang dirampas tersebut kerana mengikut satu maklumat dalaman bahawa serbuan dan rampasan tersebut tidak mengikut prosedur. Antaranya pihak berkuasa tidak mempunyai waran kebenaran untuk membuat rampasan itu. 

Selepas itu, pihak Umno selangor telah membuat cubaan memainkan isu 'Giat Mara Selayang' gara-gara keluar surat Pejabat Tanah yang meminta pihak Mara mengosongkan premis tersebut kerana tidak membayar cukai tanah. Sekali lagi isu itu gagal dimainkan secara berterusan setelah Tan Sri Khalid berjaya menjawab balas akan isu itu.

Adun Kajang Letak Jawatan

Ketika kerancakan isu Azmin-Khalid mendominasi suasana politik semasa, secara tiba-tiba Adun Kajang, Lee Chin Cheh (gambar kiri) mengumumkan perletakan jawatan sebagai wakil rakyat. Tindakan beliau itu segera diumumkan oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh. Ia telah mengejutkan seluruh negara dan ramai yang mempertikaikan tindakan tersebut sebagai suatu keadaan mempersendakan rakyat.

Sehari selepas itu, situasi itu menjadi bertambah suhu kepanasannya apabila Tan Sri Khalid mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim sebagai calon Keadilan di Kajang. Pengumuman rasmi itu telah dibuat dalam satu sidang media di Ibupejabat Keadilan di Tropicana. Ia membuat orang ramai menjadi terkejut berganda dan segelintir mempertikaikan Anwar bertanding di peringkat Dun. Kenyataan keras telah dikeluarkan oleh Pemuda Pas melalui Pengarah Pilihanraya Pemudanya yang ingin memboikot PRK Kajang sekiranya tidak mendapat penjelasan munasabah kepada situasi yang berlaku.

Serampang Kajang
Menurut Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli yang mengulas secara terperinci dalam blog beliau menegaskan bahawa strategi politik yang sedang berlaku tersebut adalah sebagai suatu usaha menyelamatkan kerajaan negeri PR Selangor untuk mengelak daripada berlakunya situasi politik di Perak dan Kedah. Kerajaan PR Perak tumbang pada Febuari 2009 hasil gerakan kudeta Umno-BN manakala Kedah berjaya dirampas kembali BN dalam PRU-13 lalu. Kedua-dua negeri ini telah dirampas melalui kaedah serupa dengan penglibatan 'gerakan dalaman Umno' yang berada di agensi-agensi kerajaan negeri.

Tindakan Jais umpamanya di Selangor telah membenarkan telahan bahawa Umno sedang membuat gerakan halus daripada dalam agensi-agensi negeri untuk melumpuhkan pentadbiran kerajaan PR Selangor. Keterlibatan Anwar Ibrahim sebagai wakil rakyat Selangor akan memudahkan 'gerakan pembersihan' agensi-agensi negeri daripada anasir-anasir Umno-BN yang menjadi duri dalam daging buat pentadbiran kerajaan negeri.

Jika strategi ini tidak dilaksanakan, besar kemungkinan kejadian-kejadian yang berlaku di Kedah dan Perak akan terjadi di Selangor. Ia dilihat penting bagi mempertahankan kuasa PR dengan menyelamatkan situasi politik Selangor yang menjadi tunjang PR. Seandainya ia berlaku sebaliknya tanpa terjadi strategi itu, besar kemungkinan kedudukan PR di Selangor akan digoncang secara dalam akibat pergerakan bebas anasir-anasir Umno di dalam agensi-agensi negeri.


No comments:

Post a Comment