Monday, 10 June 2013

Jika undi rakyat, PR telah menang di Pilah!

BN telah berjaya mempertahankan kemenangan mereka di peringkat parlimen dan dun dalam Kuala Pilah. Namun begitu, berlaku peningkatan undi buat calon PR di kesemua dun termasuk parlimen. Paling ketara adalah peningkatan undi calon Keadilan di Juasseh dan Pilah.

Hakikatnya tanpa undi pos dan undi awal, calon Keadilan di Pilah khususnya telah memenangi dun ini dengan majoriti 143 undi. BN memenangi Pilah dengan majoriti 113 undi. Ia merupakan catatan kemenangan BN dengan majoriti kedua terendah seluruh dun Negeri Sembilan selepas Ampangan (majoriti 89 undi). 

Jika dilihat dari sudut analisa keputusan, perolehan kemenangan BN yang rendah itu menjelaskan bahawa peningkatan undi kepada calon Keadilan bukan sahaja disumbang oleh majoriti pemilih Cina tetapi turut disumbang oleh 41 peratus undi pemilih Melayu secara umum bagi dun Pilah. 

Prestasi Kawasan Majoriti Melayu
Calon Keadilan iaitu Mohamad Nazaruddin Sabtu tewas di kawasan majoriti pemilih Melayu iaitu di Ampang Tinggi, Kampong Parit, Batang Pilah, Kampong Gachong dan Seri Pilah yang mencatatkan perolehan undi popular sekitar 39.40 peratus atau 1,829 undi daripada 4,643 jumlah undi daripada kawasan-kawasan tersebut. Manakala calon BN, Norhayati Omar memperolehi 2,739 undi (58.99%).

Perolehan undi kepada calon Keadilan yang mencatat undi popular di bawah 35 peratus adalah di Ampang Tinggi (29.95%), Kampong Parit (33.98%) dan Kampong Gachong (28.99%). Kawasan-kawasan ini boleh dianggap sebagai kubu kuat Umno yang memperlihatkan sokongan pemilih Melayu daripada kawasan ini kepada calon Keadilan secara umum adalah 31 peratus sahaja. Kawasan-kawasan ini masih merupakan dominasi pengaruh Umno.

Manakala kawasan majoriti Melayu seperti Batang Pilah dan Seri Pilah pula mencatatkan peningkatan perolehan undi popular Keadilan berbanding PRU 2008 malah dikira yang terbaik berbanding tiga PRU sebelum ini. Jika pada PRU 2008 lalu, perolehan undi popular di kedua-dua kawasan ini menyamai perolehan di Ampang Tinggi dan Kampong Parit, namun pada PRU-13 lepas ia telah mencatat peningkatan yang baik. Kawasan Batang Pilah calon Keadilan memperolehi 43.34 peratus undi popular dan di kawasan Seri Pilah mendapat 46.44 peratus undi popular. 

Pengaruh dan dominasi Umno di Batang Pilah dan Seri Pilah telah berjaya ditembusi walaupun Keadilan masih gagal mencapai kemenangan. Umno menang di Batang Pilah dengan 106 undi majoriti manakala di Seri Pilah calon Keadilan hanya tewas dengan 46 undi majoriti sahaja!

Prestasi kawasan campuran & majoriti Cina

Kawasan-kawasan majoriti Cina seperti Pekan Lama, Taman Bunga dan Jalan Yam Tuan mencatatkan kemenangan yang besar kepada Keadilan. 

Calon Keadilan memperolehi 62 peratus undi popular atau 684 undi di Pekan Lama berbanding BN yang mendapat 414 undi (37.53%), manakala di Taman Bunga calon Keadilan mendapat 334 undi (66.8%) berbanding BN dengan 160 undi (32%). Paling ketara penolakan BN adalah di Jalan Yam Tuan  dengan calon Keadilan memperolehi 359 undi atau 83.10 peratus undi popular berbanding BN yang mendapat 69 undi (16%) sahaja.

Kawasan-kawasan campuran seperti Bukit Temensu, Tengku Besar, Kampong Jawa dan Kampong Gemuroh mencatatkan keputusan yang seimbang dengan margin yang kecil. Berikut perolehan undi dan undi popular di kawasan-kawasan campuran;

Bukit Temensu: PKR-288 (50.44%)  BN-278 (48.69%)
Tengku Besar: PKR-77 (53.10%) BN-68 (46.90%)
Kampong Jawa: PKR-1,260 (56%)  BN-951 (42.29%)
Kampong Gemuroh: PKR-50 (42.74%)  BN-66 (56.41%)

Undi Awal & Undi Pos

Kedua-dua jenis undi ini sebenarnya membantu kemenangan BN di Pilah. Paling ketara adalah perolehan undi awal yang diterima oleh calon Keadilan cuma enam undi sahaja berbanding BN yang mendapat 209 undi. Ini bermakna calon BN mendapat 96.31 peratus undi awal berbanding Keadilan yang hanya memperolehi 2.76 peratus undi awal. 

Tanpa bantuan undi awal dan undi pos secara hakikatnya Keadilan telah menang di Pilah. Hakikat fakta itu adalah seperti berikut;

DUN Pilah 
Undi Pos: BN-85 PKR-39
Undi Awal: BN-209 PKR-6
Undi Penuh: BN-5039 PKR-4926
Majoriti: 113

Tanpa Undi Pos & Undi Awal;

Undi Benar: BN-4741 PKR-4881
Majoriti: 140 (dimenangi oleh PKR)

Secara keseluruhannya, keputusan PRU-13 Dun Pilah merupakan catatan terbaik bagi Keadilan sejak PRU 1999 yang ketika itu tewas hanya 300 lebih undi majoriti. Ia turut mencatatkan penurunan undi kemenangan yang besar buat BN berbanding PRU 2008 yang dimenangi dengan majoriti 1,258 undi. 


Keputusan PRU-13 DUN Pilah

Jumlah keluar mengundi: 10,172 
PKR: 4,926 (48.43%)
BN: 5,039 (49.54%)
Majoriti: 113 (1.11%)

No comments:

Post a Comment