Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan perlu menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan DUN itu terbubar dengan sendiri pada 27 Mac ini jika tiada pengumuman dibuat pembubarannya esok.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ini kerana DUN sekarang akan tamat tempohnya esok selepas lima tahun bersidang.
Pihak SPR pula, tambah beliau, mempunyai masa selama 60 hari daripada tarikh pembubaran untuk mengadakan pilihan raya.
"Speaker (Negeri Sembilan) akan menulis surat kepada SPR memaklumkan DUN Negeri Sembilan terbubar. SPR pula mempunyai masa 60 hari untuk untuk mengadakan pilihan raya," katanya kepada Malaysiakini.
Sumber: Malaysiakini, 26 Mac 2013
________________________________
Ketika mandat Parlimen Malaysia bakal tamat penggal rasminya pada 28 April 2013, Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia terbubarnya secara sendiri Dewan Undangan Negerinya pada 27 Mac 2013.
Jika tiada pengumuman pembubaran parlimen oleh Najib Razak sebelum 27 Mac 2013, maka pembubaran DUN Negeri Sembilan harus dimaklumkan oleh Speaker DUN kepada SPR. Tarikh akhir bagi menjalankan pilihanraya umum di negeri ini adalah pada 27 Mei 2013 iaitu tarikh genap 60 hari daripada tarikh pembubaran tersebut.
Keadaan ini amat berlainan daripada kebiasaan yang dibuat oleh parti pemerintah sebelum ini yang cenderung membuat pembubaran awal daripada tarikh pembubaran sebenar. Sekiranya ia berlaku juga, satu catatan sejarah baru bagi politik negara bakal tercatat. DUN Negeri Sembilan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia melalui pembubaran sendiri mencukupi tempoh penggal bersidang.
Walaupun pada PRU 1964 jika dikira mengikut tahun dari tarikh PRU 1959 mencukupi lima tahun tetapi jika dilihat pada tarikh pilihanraya, ia tidak genap memenuhi tempoh penggal sepatutnya. Tarikh PRU pertama di Negeri Sembilan adalah 2 Jun 1959 dengan hari penamaan calon pada 28 April 1959. Manakala tarikh penamaan calon dan mengundi bagi PRU kedua diadakan serentak seluruh negeri iaitu 21 Mac 1964 dan 25 April 1964.
Dalam situasi Negeri Sembilan menjadi antara negeri yang berpotensi ditawan oleh Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang, pembubaran secara sendiri DUN Negeri Sembilan membayangkan kedudukan Barisan Nasional sebenarnya tidak begitu selesa sebagaimana era 1982-1999. Penggal 2008-2013 menjadi kedudukan BN hanya menguasai 58.33 peratus kerusi DUN dengan hilang kuasa majoriti dua pertiga pertama kali dalam sejarah pilihanraya negeri ini. Inilah kedudukan paling sengit yang pernah dihadirkan oleh parti-parti pembangkang sejak PRU 1959 dan 1969. Imbasan sejarah sekali disebut-ulang bahawa pada PRU 1959, Front Sosialis pernah memenangi enam daripada 24 dun dan pada PRU 1969, DAP memenangi lapan daripada 24 dun.
BN Negeri Sembilan hanya berkelebihan empat kerusi dun daripada PR. Pernah seketika kedudukan tersebut digoncangkan dengan berita empat Adun BN bakal melompat menyertai Keadilan pada awal tahun 2009. Khabar itu menyebut Adun Klawang, Lenggeng, Gemencheh dan Serting dikatakan telah bersetuju untuk menyertai PR bagi memberi laluan pembentukan kerajaan negeri di bawah PR Negeri Sembilan. Namun khabar berita itu segera dinafikan oleh MB Negeri Sembilan, Mohamad Hasan bersama adun-adun yang terlibat.
Jika era selesa atau zaman keemasan BN dahulu (1982-1999), sudah pasti DUN Negeri Sembilan akan dibubar serentak dengan Dewan Rakyat sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan awal daripada tarikh pembubaran sepatutnya. Ia mungkin berlaku antara penghujung Januari atau awal Febuari 2013. Akan tetapi kemungkinan itu telah pun berlalu menjadi ramalan-ramalan politik yang meleset gara-gara kegusaran Najib Razak melihat situasi dalaman BN dan Umno yang berantakan. Ia ditambah lagi dengan kemaraan Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar Ibrahim menjelajah ke seluruh negara membangkitkan kesedaran rakyat terhadap kepincangan pemerintahan BN selama 56 tahun.
Kegagalan konspirasi demi konspirasi politik cetusan para strategis Umno-BN terhadap Anwar Ibrahim meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap keupayaan PR untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara.
Harus diingat bahawa BN di Negeri Sembilan secara sendirinya berhadapan dengan krisis keyakinan terhadap Mohamad Hasan yang telah mencetuskan perpecahan terhebat. Mohamad Hasan turut mencatat sejarah unik kerana memimpin BN Negeri Sembilan menang besar pada PRU 2004 dan tewas besar pada PRU 2008.
Apakah Najib Razak akan membubarkan parlimen pada 26 Mac 2013 atau membiarkan DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya? Nantikan.
No comments:
Post a Comment