Sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat secara besar-besaran tidak boleh dinafikan lagi walaupun pihak BN menyatakan sokongan Cina telah kembali memihak mereka melalui media massa. Itu satu perang psikologi yang dimainkan oleh BN melalui media untuk mencetuskan kekeliruan kepada rakyat.
Melihat kepada kehadiran ramai masyarakat Cina di Majlis Makan Malam Demi Rakyat Ke Putrajaya yang dianjurkan oleh Keadilan Negeri Sembilan malam tadi (28 Feb 2013) dengan sorakan semangat tiap-tiap kali ucapan pimpinan PR NS membayangkan bahawa pemilih Cina kali ini benar-benar mahu mengundi Pakatan Rakyat sebagai pemerintah kerajaan baru di negeri ini.
Lebih menyakinkan kehadiran masyarakat Melayu dan India yang bercampur gaul menjayakan majlis tersebut. Parlimen Telok Kemang mempunyai tiga dun yang majoriti Cina iaitu Lukut, Chuah dan Port Dickson. Sudah pasti lokasi majlis yang dilangsungkan di Pekan Lukut akan menarik kehadiran ramai masyarakat sekitar lebih-lebih lagi dengan kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim.
Laungan 'YA' dan 'YES' oleh hadirin sebagai menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat begitu bersemangat dan menyakinkan sebagaimana laungan 'NO, NO, NO' yang dilontarkan kepada Najib Razak ketika sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang awal bulan lalu.
Kawasan Hitam
Kaji Selidik yang dijalankan oleh Kemas Negeri Sembilan sekitar pertengahan tahun 2012 lalu meletakkan Dun Lukut, Chuah dan Port Dickson antara 13 dun yang menjadi kawasan hitam BN. Ia bermaksud kawasan ini BN akan kalah atau sukar dimenangi pada PRU-13.
Kehadiran masyarakat Cina malam tadi benar-benar membuktikan hasil kajian tersebut bahawa semangat dan tekad pemilih Cina menolak BN begitu kuat sekali. Situasi ini bakal mendatangkan masalah besar kepada Umno sekiranya Tan Sri Isa Samad benar-benar menjadi calon parlimen Telok Kemang. Jasa dan bakti Isa bakal diketepikan lantaran 'kebobrokan' dan kerakusan beliau dan Umno. Pihak MIC secara khususnya akan kecewa kerana kawasan tradisi ditandingi selama ini diserah kepada Umno. Peperangan antara pengikut Isa Samad dengan pengikut S. Sothinathan yang juga berminat untuk bertanding sekali lagi telah berlaku. Ia bakal menambah rencah perbalahan antara MIC-Umno di Telok Kemang.
Berdasarkan data pemilih suku tahun ketiga 2012 lalu, jumlah pemilih Cina dalam Parlimen Telok Kemang adalah 23,820 orang atau 34.23 peratus daripada 69,596 orang pemilih keseluruhan parlimen. Beza dengan pemilih Melayu adalah 7.58 peratus atau 5,279 orang. Manakala jumlah pemilih Melayu di Telok Kemang adalah 29,099 orang atau 41.81 peratus. Kedudukan ini memberi signifikan besar dalam penentuan perolehan undi kemenangan mana-mana pihak. Adalah diyakini bahawa dalam PRU-13 akan datang peratusan keluar mengundi pemilih Cina dijangka tinggi sekitar 80-85 peratus berbanding PRU 2008.
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, pemilih Cina merupakan pemilih majoriti di Chuah (57.19%), Lukut (58.08%) dan Port Dickson (38.23%) manakala di dun Linggi pula mempunyai 20.58 peratus atau 3,042 orang pemilih Cina. Jika mengikut keputusan PRU 2008 di empat dun ini, calon PR menang di semua kawasan majoriti Cina. Kaji selidik Kemas meletakkan dun Linggi sebagai kawasan kelabu BN.
Jangkaan minima sokongan masyarakat Cina kepada PR di seluruh Telok Kemang adalah 75 peratus. Ada peningkatan sedikit peratus sokongan masyarakat Melayu di parlimen ini. Begitu juga dengan undi pos tentera. Pendedahan penyelewengan yang berlaku dalam ATM yang digerakkan oleh Keadilan telah berjaya mengubah perspektif minda kebanyakan tentera. Telok Kemang mempunyai pengundi pos tentera kedua terbesar selepas dun Gemas di Negeri Sembilan sekitar lapan ribu lebih.
No comments:
Post a Comment