Monday, 14 January 2013

Bacaan Sokongan Politik NS Sebelum Mac 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 menjadi acara pembuka dan terbesar PR sebelum terbubarnya parlimen secara automatik pada 28 April 2013 nanti. Kelangsungan acara ini yang bermula penghujung tahun 2012 lalu,membayangkan iltiziam dan semangat PR untuk menjayakan demokrasi ke arah yang lebih adil. Ini yang menakutkan Umno-BN kerana himpunan-himpunan gergasi anjuran PR seringkali mengubah bacaan sokongan politik rakyat terhadap Umno-BN. Ia bukan satu andaian rambang tetapi beberapa kajian badan-badan pengkaji bertauliah membuktikan himpunan seperti Bersih, Lynas dan HKR memberi kesan positif kepada PR dari segi sokongan politik. 

Jika mengikut kaji-selidik sokongan politik yang dijalankan oleh Kemas bagi tempoh Jun 2012 lalu di Negeri Sembilan, hasilnya memperlihatkan kedudukan sokongan yang agak seimbang antara PR dan BN. Mengikut kajian tersebut, BN mendapat sokongan kuat dan selesa (yang dilabelkan sebagai kawasan putih) di 15 kawasan dun, manakala 13 kawasan lagi dilabelkan sebagai kawasan hitam bagi BN. Lapan lagi kawasan diklasifikasikan sebagai kawasan kabur bagi BN. 

Laporan kaji selidik itu turut meletakkan sokongan peringkat parlimen dengan dua kawasan hitam bagi BN iaitu Rasah dan Seremban, kawasan kelabu di Telok Kemang manakala lima parlimen (Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau & Tampin) kekal dengan status-quo kepada BN yang dilabel sebagai kawasan putih BN.

Namun begitu, apakah selepas enam bulam seterusnya kedudukan itu kekal?

Krisis dalaman Umno-BN, isu-isu besar dalam negeri yang dibangkitkan pembangkang dan gerakan berterusan PR menjadi faktor besar mengubah kedudukan laporan yang dibentangkan oleh Kemas itu. Faktor-faktor tersebut telah mewujudkan suatu keadaan sengit antara PR dan BN dari segi sokongan politik daripada rakyat. Kedudukan 45-45 antara dua pihak, manakala 10 peratus lagi bersifat atas pagar. Jika sebelum PRU 2008, BN Negeri Sembilan boleh mendabik dada menguasai 94 peratus kedudukan DUN dengan memenangi 34 daripada 36 dun dan menguasai sokongan pemilih sekitar 75 peratus. Namun situasi itu telah berubah secara mendadak selepas PRU 2008. Kedudukan sokongan daripada selesa menjadi marginal. Keadaan ini yang mengusarkan BN Negeri Sembilan ditambah dengan krisis dalaman yang melanda Umno NS.

Krisis dalaman Umno-BN
Perubahan tampuk pimpinan Umno-BN selepas PRU 2004 mencetus krisis politik dalaman yang meruncing kepada Umno. Sebelum tahun 2004, Umno didominasi oleh kumpulan Isa Samad yang mencengkam kedudukan politik Negeri Sembilan sejak 1982. Pengaruh Isa Samad begitu merajai politik negeri ini. Sepanjang tempoh 1982-2003, hanya dua kali politik Negeri Sembilan di bawah era Isa Samad bergoncang dek ombakan politik iaitu pada PRU 1990 dari Semangat 46 dan PRU 1999 dari Gelombang Reformasi.

Dua ombakan politik itu sedikit pun tidak menggugat keberadaan politik Isa Samad. Namun peralihan tampuk negara pada Oktober 2003 sekali lagi mengoncang status-quo Isa samad di Negeri Sembilan. Ura-ura perubahan tampuk negeri kuat disebarkan dan selepas PRU 2004, Mohamad Hasan menjadi MB baru Negeri Sembilan manakala Isa dinaikkan ke parlimen menjadi wakil rakyat Jempol. Hayat politik Isa dibunuh oleh Pak Lah gara-gara politik wang dalam pemilihan Umno.

Sepanjang penggal 2004-2008, Mohamad Hasan memperkukuhkan pengaruh politiknya demi mencantas dan membersihkan pengaruh Isa Samad yang mencengkam Umno NS. Tindakan itu terbukti semasa menamakan senarai calon-calon PRU 2008. Senarai akhir pertama yang dihantar kepada Pak Lah dirombak semula dan beberapa hari kemudian senarai akhir baru diserahkan kepada Pusat. Nama-nama calon dari kem Isa Samad seperti Zakaria Nordin, Ishak Ismail, Bibi Sharliza dan Raiz Zainuddin disingkir dari senarai.

Episod pertentangan antara kem Mohamad Hasan dan Isa Samad berterusan sehingga kini. Secara jelasnya, kem Isa Samad masih lagi menjalankan penentangan hebat terhadap kem Mohamad. Pertelingkahan ini paling dramatik apabila berlaku insiden baling kerusi dan pergaduhan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Seremban 2009 dengan pihak pro-Mohamad yang diketuai Mohd Noor Awang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan ketua bahagian, Ishak Ismail. Pertentangan antara Ishak dan Mohamad turut berlarutan sehingga Mohamad dikatakan menghalang Ishak daripada berucap dalam satu program yang diadakan di perkarangan sebuah masjid di Sikamat tahun lalu.

Umno Jempol juga tidak setenang yang disangka. Situasi terkini diberitakan wujud tiga kumpulan iaitu kem Lilah Yasin yang merupakan ketua bahagian dan proksi Isa Samad di Jempol, kem kedua diketuai oleh Shamsul Kahar Deli yang pro-Mohamad Hasan dan kem ketiga oleh Haji Salim Mohd Shariff. Kedudukan Lilah sebagai ketua bahagian bakal dipelantik keluar selepas PRU-13.

Manakala pertentangan antara Shamsul Kahar dengan Haji Salim berlaku berikutan khabar bahawa Haji Salim kali ini berminat untuk bertanding di dun Serting. Shamsul masih ingin mempertahankan kemenangan beliau di Serting dan dijangka akan menentang sebarang tindakan bahagian untuk mengugurkan beliau sebagai calon. Haji Salim dikatakan bukan datang dari kem Najib Razak atau Muhyidin tetapi dari kem Hishamuddin Hussein. Nampaknya Hishamuddin Hussein turut menyusun 'cai' bagi menempatkan orang-orang beliau dalam senarai calon. Ini turut berkait-rapat dengan persediaan pemilihan parti yang bakal berlangsung selepas PRU-13 ini.

Isu pertukaran calon turut disebut-sebut bakal berlaku di dun Palong. Penyandang sekarang, Aziz Samsudin dikhabarkan bakal digugurkan daripada senarai calon PRU-13 dan tempat beliau dikatakan akan diganti oleh Naib Ketua Umno Jempol, Mustapha Nagoor. Calon lain yang turut disebut adalah AripinTakimin. Seandainya situasi itu berlaku, keberadaan Mustapha Nagoor akan memberi kedudukan terbaik kepada calon PR untuk menang di Palong!

Wujud juga sentimen dikalangan beberapa ketua-ketua cawangan Umno di Palong 1 dan Bukit Rokan Barat yang mahukan calon Umno bertanding di Jeram Padang. Mereka berpegang kepada kedudukan pemilih mengikut kaum di Jeram Padang kerana kedudukan pemilih Melayu masih majoriti sekitar 48 peratus berbanding kaum India sekitar 36 peratus.

Ini belum lagi menyebut pertentangan politik dalaman Umno yang berlaku di Kuala Pilah, Rembau dan Rasah. Keributan politik dalaman Umno ini bakal meruntuhkan sokongan para pengikut mereka sekiranya ia gagal diselesaikan secara bijak. Ia akan memberi tambah nilai kepada peluang PR meraih kemenangan di beberapa dun sekaligus merampas Negeri Sembilan daripada Umno-BN.

Isu-isu dalam negeri dibangkitkan PR
Selain daripada isu NFC yang menjadi isu nasional, PR Negeri Sembilan turut berjaya menarik perhatian rakyat terhadap beberapa isu dalam negeri yang bakal menjejaskan reputasi Umno-BN.

Isu penyelewengan kadar nilai perahan buah sawit di kawasan-kawasan Felda sangat memberi kesan positif kepada kesedaran para peneroka akan hak-hak mereka. Tindakan saman yang digerakkan oleh beberapa NGO pro-PR dalam membela nasib peneroka telah mengubah senario politik di kawasan-kawasan Felda khususnya di Jempol. Para peneroka tidak mengira latar belakang politik dan bangsa bergabung untuk membuat tuntutan mereka kepada Felda. Keadaan ini banyak memberi tekanan kepada kerajaan negeri khususnya Umno kerana selama ini peneroka-peneroka berada di bawah cengkaman mereka kini telah berani bangkit menuntut hak.

Rentetan kejayaan beberapa siri tindakan saman yang digerakkan oleh NGO-NGO seperti Warga Felda Perihatin dan Anak, muncul beberapa isu yang turut berjaya diketengahkan seperti hak dan geran pemilikan tanah peneroka, penyelewengan dan kegagalan kontraktor mengurus tanaman peneroka, isu pemotongan kayu getah, isu tanam semula dan sebagainya.

Gerakan strategik PR dengan mengadakan pertemuan dan dialog bagi membincangkan permasalahan dihadapi peneroka bukan sahaja melibatkan peneroka di kawasan Felda tetapi turut melibatkan peneroka-peneroka di bawah agensi lain seperti Gatco dan Felcra.

Isu-isu para peneroka yang diketengahkan ini memberi nilai negatif kepada Umno khususnya. Gerakan-gerakan aktif PR dalam mendepani permasalahan-permasalahan yang dihadapi peneroka bakal memecahkan kubu sokongan ampuh Umno di kawasan-kawasan Felda. Adalah tidak mustahil tahap sokongan di kawasan-kawasan felda kepada PR meningkat sekitar 39-42 peratus khusus di kawasan-kawasan yang berlaku gerakan pembelaan peneroka.

Pencerobohan kawasan hutan simpan kekal seperti yang berlaku di Hutan Simpan Inas, Hutan Simpan Kekal Jeram Padang Utara dan Selatan, Hutan Simpan Kekal Gunung Angsi menjadi isu penting dalam negeri kerana ia pernah dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat PR dalam sidang DUN tahun lalu. Sebagaimana yang dijangka, MB Negeri Sembilan sangat licik memberi jawapan dengan memberi alasan kepentingan ekonomi dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dijadikan modal perisai beliau untuk menjawab isu yang dibangkitkan ini.

Pencerobohan kawasan hutan simpan kekal Jeram Padang Utara & Selatan terang-terang melanggar akta berkaitan hutan simpan kekal. Ia bermakna status tanah hutan itu telah ditukar. Jika ia dijadikan kawasan pertanian, ke mana pula hilangnya hasil balak tersebut? Apakah diserap masuk dalam pendapatan negeri? atau diserap-sedut dalam syarikat-syarikat kroni yang terlibat dengan pembalakan? Persatuan Alam Sekitar Malaysia meletakkan Negeri Sembilan sebagai negeri yang paling teruk dalam pengurusan hutan. Maka tidak mustahil dengan sikap politik yang ditunjukkan oleh pemerintah negeri ini yang tidak mempedulikan kepentingan alam sekitar, pencerobohan hutan tetap berlaku dengan terang-terangan.

Isu-isu penting lain yang dikira mampu menjatuhkan kredibiliti Umno-BN adalah permasalahan kemudahan asas di Taman Abok Jaya, Rahang. Taman perumahan ini berkonsepkan 'town-house' telah dirasmikan oleh Najib Razak tahun lalu dan sepatutnya ia telah diduduki sepenuhnya oleh penduduk-penduduk asal Kampung Abok. Tujuan asalnya adalah untuk menempatkan semula penduduk-penduduk Kampung Abok yang kediaman asal mereka dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan jalanraya Lingkaran Tengah Seremban. Namun begitu, atas sebab-sebab komersil dan mengaut keuntungan, penduduk-penduduk asal seakan dinafikan. Malah ada penduduk tempatan memaklumkan sekiranya rumah-rumah terbabit tidak diduduki, pihak berkaitan akan menjual rumah terbabit dengan harga RM150,000 sebuah walhal tujuan asalnya adalah untuk pembinaan rumah kos rendah bagi penduduk-penduduk Kampung Abok. Terkini situasi yang berlaku, kemudahan-kemudahan asas seperti air, bekalan api dan kemudahan lampu jalan telah disekat gara-gara penduduk-penduduk di situ dikatakan menentang kerajaan negeri.

Gerakan berterusan pembangkang
Selepas PRU 2008 dan kali pertama dalam sejarah kelebihan dua pertiga BN Negeri Sembilan dinafikan, gerakan pembangkang begitu aktif di negeri ini berbanding sebelum tahun 2008.

Siri-siri himpunan raksasa yang dimulakan sejak 2010 memberi suatu kesan besar kepada rakyat  Negeri Sembilan akan kesungguhan PR menawan negeri ini pada PRU-13. Ia bermula dengan Ceramah Perdana 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya', kemudian Rapat Rakyat Negeri Sembilan dan Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat telah menunjukkan suatu isyarat politik yang jelas kepada Umno-BN bahawa PR telah bersedia untuk menawan dan mentadbir Negeri Sembilan selepas PRU-13.

Bacaan sokongan semasa

Jika laporan Kemas pada Jun 2012 menunjukkan kedudukan BN kukuh (kawasan putih) di 15 dun, lapan dalam situasi kelabu dan 13 adalah kawasan hitam, kini situasi itu telah berubah.

Kawasan putih BN kini meliputi dun Sungai Lui, Gemas, Kota, Bagan Pinang, Labu, Seri Menanti, Chembong, Juasseh, Gemencheh, Palong dan Serting. Manakala kawasan kelabu bagi BN adalah Jeram Padang, Pilah, Linggi, Lenggeng, Chennah, Johol dan Ampangan. Kawasan hitam bagi BN meliputi dun Nilai, Temiang, Lobak, Sikamat, Rahang, Bukit Kepayang, Mambau, Senawang, Paroi, Port Dickson, Chuah, Bahau, Repah, Lukut dan Klawang.

Kali ini, faktor calon dan situasi dalaman politik BN yang bakal merubah kedudukan BNsamada memenangi kembali Negeri Sembilan dengan prestasi yang sama atau bakal dikalahkan!





No comments:

Post a Comment