Monday, 30 July 2012

Kait Pembangkang Dengan Pengganas-Strategi Darurat Dikitarguna

Bernama malam tadi melaporkan risikan Cawangan Khas polis mendedahkan, terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dilaporkan berkata Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Malah, katanya, beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand, dipercayai mengadakan pertemuan sulit dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).



Petikan berita di atas benar-benar membayangkan keterdesakan Umno-BN merencanakan kaedah 'pembunuhan politik pembangkang' ketika rakyat kian galak menolak mereka. Suasana ini telah membawa ingatan kepada sejarah politik era 1946 selepas Perang Dunia Kedua, yang memperlihatkan strategi British menggunakan isu komunisme dan keganasan komunis sebagai alasan mewujudkan undang-undang darurat bagi menghalang kemaraan politik kuasa rakyat yang dibawa oleh AMCJA-Putera. 

Sebelum itu, kaedah-kaedah menggunakan isu-isu perkauman dan agama bagi mencetuskan keraguan rakyat khususnya kaum Melayu terhadap Pakatan Rakyat nampaknya telah gagal mempengaruhi kebanyakan rakyat. Bermula dengan isu 'lesbian gay biseksual transeksual'-(LGBT) yang dibangkit-cetuskan oleh beberapa badan bukan kerajaan tajaan Umno dengan cuba mengaitkan nama Anwar Ibrahim dan Ambiga sebagai pendokong pergerakan LGBT di negara ini. Namun, usaha itu gagal walaupun pada peringkat awalnya ia seakan mempengaruhi kaum Melayu.

Kaedah-kaedah mengaitkan pembangkang dengan gerakan pengganas ini sebenarnya telah lama digunakan di negara ini sejak zaman penjajahan British lagi. Kemunculan beberapa pertubuhan politik Melayu sekitar dekad 1930an dan selepas Perang Dunia Kedua yang giat menuntut dan memperjuangkan hak-hak nasionalisme tanahair (kemerdekaan,kuasa politik & ekonomi, pentadbiran) telah mencetuskan kebimbangan pihak Imperialis British. Ia adalah isyarat jelas bahawa kedudukan politik British telah dicabar dan akan menjejaskan penguasaan ke atas ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu waktu itu.

Jentera-jentera kerajaan seperti perisikan dan polis digunakan untuk merealisasikan kaedah tersebut. Tanggapan atau persepsi dicipta iaitu ancaman terhadap keselamatan dalam negeri dan negara melalui hubungkait 'gerakan-gerakan sulit' dan 'pertemuan-pertemuan sulit lagi rahsia' antara pertubuhan-pertubuhan politik pembangkang dengan badan-badan ekstrimis atau pengganas. 

Kemudiannya, persepsi atau tanggapan itu disebarkan kepada rakyat melalui media massa secara kerap dan konsisten bagi 'menanam' persepsi itu menjadi 'doktrin mutlak' di dalam pemikiran rakyat untuk melahirkan suatu pandangan ramai bahawa 'pembangkang sangat merbahaya' dan bersifat 'pengkhianat'.

Ini suatu tindakan jahat walaupun dari sudut ilmu politik ia adalah tindakan strategik menempangkan gerakan sesebuah pertubuhan politik. 

Bagaimana berlaku?


Dalam perspektif ilmu politik, kaedah-kaedah menghalang pengaruh, gerakan dan mematahkan strategi politik lawan sememangnya telah berlaku sejak zaman berzaman. Itulah yang sebenarnya berlaku dalam hakikat politik.

Kemaraan pengaruh dan sokongan rakyat kepada sesuatu gerakan politik menjadi kewajaran kepada pihak lawan untuk memastikan ia dilemahkan dan ditewaskan. Keadaan ini sedang berlaku dalam politik Malaysia yang memperlihatkan senario terkini organisasi politik pembangkang telah cuba dikaitkan dengan gerakan pengganas. Jika dikaji-teliti persejarahan lampau, penjajah British telah awal menggunakan kaedah-kaedah tersebut sejak penghujung kurun ke-18 dalam usaha mematikan gerakan penentangan di Ireland Utara dan Republik Ireland, India dan Negeri-negeri 13 Amerika Syarikat.

Strategi-strategi tersebut telah dibentuk oleh badan-badan perisikan yang diwujudkan khas untuk membendung kebangkitan rakyat tanah jajahan, penentangan politik seberang laut disamping 'suatu benteng sulit' mempertahankan imprealisme British seluruh dunia atas nama keselamatan dalam negeri.


Antara perisikan British yang terkenal dan terawal adalah Scotland Yard. Ada makluman tidak rasmi memberitahu bahawa kebanyakan anggota polis negara ini dari Cawangan Khas dihantar mendapatkan latihan khusus di Scotland Yard. 

Era Kebangkitan Kuasa Rakyat Selepas Perang Dunia Kedua

Sejarah awal kebangkitan kuasa rakyat sebenarnya telah bermula seawal 1946 lagi iaitu sesudah tamatnya Perang Dunia Kedua. Sebelum itu, ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1941-45) gerakan memerdekakan tanah air telah dimulakan oleh PETA untuk mengabungkan Malaya dengan Indonesia bagi membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya. Namun, hasrat itu tidak menjadi kenyataan.

Penentangan terhadap penjajahan British era kurun ke-20 secara bersenjata telah dimulakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ia menjadi ancaman yang sangat serius dan radikal kepada British di Malaya. British telah melihat PKM mampu memberi kesan buruk kepada perjalanan politik imprealisme di Malaya dan bakal menjejaskan penguasaan mutlak British ke atas aturan politik, sosio-budaya dan ekonomi negara ini waktu itu. Langkah terbaik adalah menolak permohonan PKM menjadi pertubuhan politik sah dan melancarkan perang ke atas PKM. Ia sangat berkesan dan kaedah-kaedah memburukkan imej serta memberi gambaran kepada rakyat bahawa PKM adalah pertubuhan tidak sah, gerakan pengganas dan bersifat kecinaan.

Kaedah itu turut dibantu oleh sebaran media klasik iaitu akhbar, edaran risalah dan makluman berita-berita di radio dan television yang bertujuan mendoktrinkan pemikiran rakyat bahawa PKM-komunisme bersifat ganas, anti-agama, anti-Melayu dan berhaluan kiri. Gerakan-gerakan ini sangat mempengaruhi rakyat Malaya selepas Darurat dilaksanakan pada tahun 1948. Malah sehingga kini generasi tua masih berpegang kepada 'doktrin' tersebut bahawa komunis itu musuh negara dan haluan kiri.

Pilihanraya Umum 1959

Keputusan PRU pertama negara ini turut memperlihatkan kemenangan beberapa pertubuhan politik bukan Perikatan. Walaupun gabungan parti pemerintah-Perikatan menguasai 71.15 peratus Dewan Rakyat, kedudukan parti-parti pembangkang dilihat agak berpengaruh.

Parti pembangkang dominan Melayu seperti PAS dan Parti Negara menjadi pesaing kuat kepada Umno, manakala parti-parti bersifat multiracial seperti Parti Malaya (MP), PPP (People Progressive Party) dan Socialist Front (SF)-gabungan Parti Buruh Malaya & Parti Rakyat Malaya menjadi ancaman kepada parti-parti perkauman dalam Perikatan khususnya MIC dan MCA.

Ancaman masa depan politik parti-parti bersifat kaum seperti Umno, MCA dan MIC bakal terancam sekiranya kedudukan SF dan PPP kian disokong kebanyakan rakyat. Keupayaan menyatukan seluruh rakyat Malaya tanpa mengira bangsa, agama dan budaya yang mampu dijelma oleh SF dan PPP bakal memusnahkan corak politik pecah dan perintah (Divide & Rule) yang diamalkan oleh Perikatan.

Begitu juga kedudukan PAS dan Parti Negara berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu bakal mengancam dominasi Umno di Pantai Timur dan Utara Malaya yang mempunyai 80-90 peratus penduduk Melayu.

Pandangan ini wajar dibaca, diteliti dan difahami secara perspektif ilmu politik. Pasukan strategis Perikatan waktu itu lebih melihat ancaman jangka panjang yang mampu dijelmakan oleh SF dan PPP. Harus diingat bahawa Malaya baru sahaja dua tahun merdeka daripada British akan tetapi dari sudut perancangan dan susunan strategi politik Perikatan masih menggunakan khidmat British. Pemikir-pemikir elit dari British ini memberi nasihat dan pandangan dalam merangka gerakan politik Perikatan khususnya dalam menghadapi politik nasionalisme SF dan PPP.

Meruntuhkan pengaruh pembangkang

Kedudukan Socialist Front yang memacu politik pelbagai kaum sebagai sebuah bangsa negara dilihat ancaman terkuat kepada kedudukan politik nasionalisme perkauman Umno, MCA dan MIC untuk jangka masa panjang. Sebelum ia terus berkembang dan mengukuh, langkah meruntuhkan pengaruh SF wajar digerakkan bagi menyelamatkan politik Perikatan.

Maka selepas kemenangan SF dalam Parlimen dan beberapa kerusi di Perak, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor pada PRU 1959, kaedah mengaitkan parti-parti dalam SF dengan komunis telah dilancarkan. Parti Buruh dan Parti Rakyat yang bertunjangkan fahaman liberal sosialisme & marhaenisme telah dengan mudah dituduh oleh pemerintah ketika itu sebagai pengaruh komunisme. Rakyat Malaya ketika itu telah berjaya dikelirukan dengan ungkapan komunisme dan sosialisme sebagai suatu fahaman kiri yang amat merbahaya kepada agama dan negara.

Pimpinan utama Parti Buruh dan Parti Rakyat seperti Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad (Pak Sako), Abdul Aziz Ishak dan Raja Abu Hanifah Abdul Ghani telah diberkas atas alasan keselamatan yang mengaitkan mereka dengan kegiatan komunisme. Era 1961-1964 merupakan waktu getir buat SF dalam mengharungi asakan tidak demokratik parti pemerintah yang menggerakkan jentera risikan kerajaan memecah-belahkan organisasi dalaman SF. Selepas tahun 1965, kedudukan SF telah berjaya dipecahkan oleh Perikatan setelah berlaku krisis terbuka antara Parti Buruh dan Parti Rakyat berkenaan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaya.

Lebih drastik, iaitu selepas penubuhan Malaysia pada 1963 SF telah dikaitkan dengan gerakan 'anti-Malaysia' yang dipelopori oleh Presiden Indonesia ketika itu-Sukarno. Konfrantasi Malaysia-Indonesia menjadi modal terbaik pemerintah meruntuhkan pengaruh SF. Pakatan SF berpecah selepas PRU 1964 dan kedua-dua parti bergerak secara sendiri.

Kaedah mengaitkan pembangkang dengan keganasan terus digunapakai secara berterusan selepas  era 1970an. Malah selepas keluarnya PAS dari BN pada penghujung 1970an, parti pemerintah berterusan mengaitkan PAS dengan pengaruh keganasan dari Timur Tengah kesan kebangkitan Revolusi Iran.

Isu Memali dan Tragedi Sauk antara rentetan sejarah politik yang cuba mengaitkan gerakan keganasan pelampau agama dengan politik PAS.

Peringkat antarabangsa ketika era 2001-2005, kuasa dunia telah melabelkan Jemaah Islamiah (JI) dan Taliban sebagai sekutu kepada Al-qaeda yang dikatakan menjadi punca serangan keganasan di beberapa kepentingan USA seluruh dunia. Kemunculan JI pula dikaitrapat dengan Asia Tenggara dan ia menjadikan negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia menjadi tumpuan USA. Situasi itu dilihat memberi peluang kepada pemerintah untuk mengitar semula kaedah mengaitkan pembangkang dengan pengganas.

Namun begitu, kepesatan tekonologi IT dan perkembangan maklumat telah mengubah persepsi rakyat terhadap gerakan-gerakan licik begitu. Keterdesakan parti pemerintah menggunakan kuasanya mengaitkan PR dengan JI atau komunis agak gagal kali ini.










No comments:

Post a Comment