Thursday, 24 May 2012

Debat PTPTN: mencetus kekeliruan berganda ahli-ahli Umno?


Selesai sudah Debat PTPTN antara Ketua Pemuda Umno Malaysia-Khairy Jamaluddin Abu Bakar  (KJ) dengan Pengarah Strategik KEADILAN Malaysia-Rafizi Ramli yang telah mencetuskan suatu lebaran baru dalam politik negara. 

Debat tersebut adalah langkah awal yang dianggap suatu usaha positif membentuk politik negara ini ke arah yang lebih demokratik dan berilmiah. Kelangsungan debat tersebut telah 'memukul' kedegilan pimpinan utama Umno untuk menjadi lebih 'gentleman' berbahas secara berani menghujahkan fakta-fakta atas beberapa isu dan dasar antara pemerintah dan pembangkang.

Apakah kedinginan dan 'ketidakberanian' beberapa pemuka Umno untuk berdebat secara terbuka sebagaimana yang berlaku antara KJ dan Rafizi disebabkan mereka kekurangan fakta atau ketidakmampuan berhujah secara ilmiah dengan wakil-wakil pembangkang? Setakat hari ini, pemuka-pemuka Umno lebih berani menempelak pembangkang melalui media yang ternyata berat sebelah memaparkan jawab-balas dari pembangkang. Jika ada pun, ia telah diputar belitkan oleh para editor media  perdana yang tunduk pada kehendak pemuka-pemuka Umno-BN!



Apakah Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berani untuk berdebat secara langsung? Beliau mungkin berani menyertai debat tetapi apakah kualiti debat daripada beliau akan bersifat fakta atau emosi dan sentimen politik semata-mata? 

Itu pernah berlaku dalam debat Anwar Ibrahim dan Ahmad Shabery Cheek beberapa tahun lalu, yang telah menyaksikan Shabery Cheek lebih gemar membuat serangan-serangan peribadi daripada menghujahkan fakta-fakta mengenai dasar kerajaan dalam beberapa perkara yang diajukan oleh Anwar Ibrahim. 

Persoalannya, adakah para pemuka utama Umno bersedia untuk keluar daripada kerangka politik lama? atau masih mahu terus kekal dengan kerangka politik lama yang lebih suka menyerang dan membantai pembangkang secara bacul melalui media?

Kekeliruan kepada Ahli Umno?

Setelah bertahun-tahun isu Liwat 2 dipaparkan kepada rakyat dan ahli-ahli Umno pula di-doktrin-kan bahawa Anwar Ibrahim peliwat, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Januari 2012 lalu telah membebaskan Ketua Umum KEADILAN itu daripada tuduhan tersebut, mencetuskan 'kekacauan akal' dan kekeliruan ahli-ahli Umno serta telah membawa mereka kepada suatu keadaan mendesak untuk mencari kebenaran hakiki-apakah mereka telah dipermainkan oleh strategi politik atasan pemuka-pemuka Umno atau mereka menjadi penyokong strategi membabi-buta tanpa bantah??

Maka debat PTPTN ini juga bakal mencetuskan lagi kekeliruan kepada mereka. Inilah ketakutan sebenar dikalangan pemuka-pemuka Umno apabila sesuatu program seperti debat disiarkan secara langsung kepada rakyat umum. Seluruh rakyat termasuk ahli-ahli Umno akan menontonnya. 

Fakta-fakta yang dikeluar-hujahkan oleh Rafizi adalah fakta-fakta yang jarang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 apatah lagi RTM! 

Rakyat umum khususnya di luar bandar dan kampung-kampung yang menyaksikan debat tersebut akan diperdengarkan dengan fakta-fakta daripada kedua-dua pihak. Memang benar tidak ada pemenang antara KJ dan Rafizi tetapi rakyat yang menontonnya akan menilai fakta-fakta yang dihujahkan. Ia akan menjadi perbincangan dan perdebatan dikalangan rakyat umum pula dan ia akan berterusan kerana rakyat akan terus mencari kebenaran hujah-hujah yang diperdebatkan. Kepesatan teknologi komunikasi  khususnya melalui telefon bimbit kini yang mempunyai aplikasi internet akan menghubungkan rakyat jelata dengan pelbagai maklumat pantas khususnya daripada laman-laman sosial seperti twitter, facebook, blog dan berita-berita online yang lebih pantas sebarannya.

Selama ini juga, gerombolan Umno mendoktrinkan pemikiran rakyat khususnya para penyokong dan ahli-ahlinya melalui media utama kawalan mereka. Debat PTPTN itu amat diyakini akan mencabar pemikiran para penyokong dan ahli Umno akar umbi untuk membuka perspektif mencari kebenaran fakta-fakta. Itu kesan panjang hasil debat yang disiar secara langsung di television. Ini yang sangat dibimbangi dan ditakuti oleh pemuka-pemuka Umno.

Sudah pasti ketika ini, akan ada ahli-ahli Umno akar umbi yang mempersoalkan fakta-fakta tersebut kepada pimpinan mereka. Jawapan yang bakal diberikan itu juga bakal menentukan corak jawapan-apakah ia dijawab secara informatif benar atau informatif bersentimenkan politik gerombolan??

Cuba bayangkan jika debat mengenai 'Penyenaraian Felda Global Plantion Ventures' antara Ahmad Maslan dan Mahfuz Omar atau mana-mana pimpinan utama PR diadakan. Sudah pasti ia akan mengoncang sokongan dan mencabar pemikiran seluruh warga Felda secara radikal.

Ketakutan berhadapan secara berani para pemuka Umno adalah sikap hakiki mereka kerana keupayaan mereka untuk berhujah secara ilmiah jauh meleset. Sayangnya individu intelektual seperti KJ terpaksa melarikan hakiki ilmiah demi mempertahankan kebejatan gerombolan Umno-BN walaupun beliau sendiri tahu kebenarannya. Jika beliau menongkah arus, jangka hayatnya dalam kerangka politik Umno bakal dipendekkan!


No comments:

Post a Comment