Monday, 20 February 2012

Wakil Rakyat Lompat: signifikan politik atau kelangsungan sesebuah parti?


Sejarah politik Malaysia diwarnai  pelbagai gelagat dan rencah siasah yang berlaku sejak merdeka. Istimewanya kepelbagaian ragam siasah itu adalah fenomena wakil rakyat melompat parti. Ia suatu ragam politik yang sama gempar dan sama tarafnya seperti pembunuhan ahli politik! Mungkin ia jarang-jarang sekali berlaku di dunia, namun di Malaysia kisah-kisah wakil rakyat lompat ini terus mewarnai setiap dekad perjalanan siasah negara ini yang mencetuskan krisis politik yang menarik.

Lencana Parti Negara
Alkisah lompat-melompat ini bermula seawal dekad 1960an lalu. Pada Pilihanraya Umum 1959, Pas telah berjaya memenangi dua negeri dan membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu. Pas memenangi 28 daripada 30 kerusi Dun Kelantan ketika itu manakala di Terengganu, parti ini telah memenangi 13 daripada 24 kerusi Dun. Namun, Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk itu tidak dapat bertahan lama kerana pada 30 Oktober 1961, Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan disokong oleh 3 orang ADUN Parti Negara. Peristiwa tersebut telah menjadikan catatan awal berlakunya lompat parti yang pertama di Malaysia.

Pada tahun 1968, dua ADUN Pas iaitu Abdullah Bin Yusof dan Saufi Idris telah melompat parti dengan menyertai Umno. Lebih mengejutkan, Abdullah Yusof merupakan Speaker DUN Kelantan. Bertitik tolak daripada peristiwa tersebut, Pas telah mengukuhkan konsep ‘bai’ah’ bagi menguatkan perpaduan dan kesetiaan semua ahli partinya terhadap perjuangan Pas.

Menumbangkan Kerajaan 

Signifikan politik kepada isu lompat adalah menumbangkan sesebuah kerajaan memerintah dengan ‘membawa’ anggota-anggota parti pemerintah menyertai pembangkang lalu membentuk sebuah kerajaan baru. Peristiwa wakil rakyat lompat 1968 di Kelantan lalu merupakan strategi politik yang telah digunakan oleh Umno-BN bagi menumbangkan kerajaan negeri. 

Dato' Asri Muda
Mengikut catatan oleh Dato’ Asri Muda, Yang Dipertua Pas pertama menyebut lima orang Adun Pas Kelantan telah ditahan oleh polis dan dibawa ke Kuala Lumpur serta dikurung di sebuah banglo bertempat di Jalan Pekeliling. Menurut catatan beliau, kelima-lima Adun tersebut telah didatangi oleh beberapa orang pegawai kerajaan dan individu-individu politik tertentu untuk memujuk mereka menyertai Umno. 

Ketika itu, Pas menguasai DUN Kelantan dengan 21 kerusi manakala Perikatan dengan Sembilan kerusi. Dalam peristiwa ini, Umno telah berjaya ‘menarik masuk’ Speaker DUN Kelantan iaitu Abdullah Yusof menyertai Umno. Sekiranya lima Adun tersebut bersetuju menyertai Umno, kedudukan Pas dalam DUN Kelantan mampu digugat dan rancangan utama untuk menumbangkan kerajaan negeri samada melalui undi tidak percaya atau ‘memujuk masuk’ lagi beberapa Adun Pas. Maka kedudukan Perikatan akan menjadi 14 wakil rakyat manakala Pas dengan 16 wakil rakyat. Kaedah sama yang diguna pada tahun 1961 untuk menumbangkan kerajaan Pas Terengganu telah cuba dilaksanakan kembali di Kelantan. Namun, strategi itu tidak menjadi dan keadaan tersebut terus meletakkan kedudukan kukuh di Kelantan waktu itu.

Agak luarbiasa kerana entah dari mana dan individu manakah yang bertanggungjawab mencetuskan kaedah membeli wakil-wakil rakyat parti-parti bukan Perikatan dan seterusnya menggunakan kelebihan ‘tambahan keanggotaan wakil rakyat’ untuk membuat undi tidak percaya atau melaksanakan pertukaran kerajaan secara mendadak? Aliran masa ketika kaedah ini mula dijalankan adalah selari iaitu tercetus pada awal 1960an. Persoalannya siapakah pemikir dan perancang kaedah tersebut?

Selepas kejayaan strategi politik melalui cetusan konflik kaum pada 13 Mei 1969, Perikatan telah menukar nama kepada Barisan Nasional. Kelangsungan politik pertubuhan-pertubuhan berteraskan kaum seperti Umno, MIC dan MCA terus diperkasakan dengan penyatuan beberapa parti pembangkang utama iaitu Pas, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam gabungan BN. Kaedah penyatuan ini dilihat sebagai pelan Umno-BN untuk mendapatkan penguasaan politik secara langsung ke atas Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang majoriti dikuasai pembangkan selepas PRU 1969.

Joseph Pairin Kitingan
Kaedah ‘beli wakil rakyat dan tukar kerajaan’ yang digunakan pada 1961 kembali diadaptasi oleh Umno-Bn pada tahun 1994 dengan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang dipimpin oleh Parti Bersatu Sabah (PBS). PBS telah memenangi 25 kerusi Dun manakala BN memenangi 23 kerusi. Perbezaan kelebihan hanya dua kerusi telah mencetuskan krisis politik tidak sampai sebulan sejak berlangsungnya pilihanraya negeri Sabah, Ketua Menteri ketika itu Joseph Pairin Kitingan telah meletakkan jawatannya pada 17 Mac 1994. Ia menjadi kejutan politik luarbiasa kepada seluruh rakyat Malaysia kerana dalam masa dua minggu sahaja sebuah kerajaan negeri telah berjaya dijatuhkan dengan beberapa wakil rakyat PBS keluar parti dan menyertai BN.

Kaedah ini sekali lagi digunapakai oleh Umno-BN untuk merampas kerajaan pilihan rakyat di Perak. Pada 9 Febuari 2009, kerajaan PR Perak tumbang hasil kaedah ‘beli wakil rakyat, melompat’. Tiga Adun PR iaitu Jamaluddin Mohd Razdi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering), Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) dan Nasaruddin Hashim (Bota). Nasaruddin sebelum itu telah ‘berhijrah’ ke PKR pada 29 Januari 2009. Maka berdirilah kerajaan ‘kudeta’ Perak yang diperintah oleh BN.


Percanggahan
Kesan langsung hasil daripada kejadian ‘kudeta’ tersebut, telah berlaku percanggahan luarbiasa undang-undang tubuh negeri. Dalam penentuan kedudukan Menteri Besar Perak dan Speaker DUN, ia telah dibawa ke peringkat mahkamah yang berlarutan menjadi krisis politik yang unik lagi meruncing. Isu penentuan kedudukan Speaker DUN, V. Sivakumar dan A. Ganeson telah memperlihatkan konsep pengasingan kuasa bagaikan telah lupus di bumi Malaysia. Luarbiasanya apabila kedudukan Speaker DUN yang menduduki legistatif iaitu Dewan Undangan Negeri tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah kerana ia adalah badan tertinggi yang menggubal, meminda dan mewujudkan perlembagaan. 


                                                      Kelangsungan politik
Antara alasan utama seseorang wakil rakyat itu melompat adalah keinginan politikalnya menyelamatkan karier dan kelangsungan politik diri. Situasi ‘lompat’ versi ini berlaku kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket Pas lantas mengisythiharkan beliau adalah wakil Bebas. Tanpa perkenan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sudah pasti riwayat politik Ibrahim Ali sudah bernoktah. Apakah dengan mewujudkan pergerakan ultra-nasionalis, Perkasa adalah suatu landasan terakhir Ibrahim mendapatkan simpati Umno untuk memberi nyawa politik kepada beliau?

Nyawa organisasi
Dalam beberapa keadaan politik, ada parti-parti yang hilang kuasa politiknya pada PRU 2008 lalu membuat strategi menarik wakil-wakil rakyat Bebas menyertai parti tersebut. Kemasukan wakil-wakil rakyat tersebut dilihat memberi ‘cerminan maruah’ bahawa pertubuhan tersebut masih relevan dalam kancah politik. Pada 2 Januari 2010, Adun Tanah Rata, Pahang yang merupakan wakil Bebas telah menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia(Gerakan). Sebelum itu pada Mei 2009, Adun Tanjung Papat, Sabah Raymond Tan Shu Kiah dari parti SAPP telah menyertai Gerakan. Situasi ini membayangkan Gerakan masih mampu meneruskan perjalanan politiknya.

Begitu juga yang berlaku pada Adun Bukit Selambau, V. Arumugam yang bertanding atas tiket Bebas kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah sebelum meletak jawatan pada Febuari 2009 lalu kerana diganggu-gugat oleh usaha terancang Umno-BN untuk memaksa beliau menyertai BN bagi menumbangkan kerajaan Kedah.

Lari dari masalah
Beberapa wakil rakyat PR yang melompat parti telah dikenalpasti mempunyai beberapa masalah peribadi yang menyebabkan mereka menerima tawaran melompat dari Umno-BN. Keadaan tersebut berlaku kepada Adun Behrang, Jamaluddin Radhzi dan Adun  Changkat Jering, Osman Jailu setelah didakwa oleh SPRM atas dakwaan penyelewengan. 

Semoga dengan selesainya pemilihan-pemilihan parti PR yang berlangsung pada tahun 2010 lalu akan menampilkan sebuah kepimpinan yang lebih ‘mulia’, bermaruah dan mempunyai kesetiaan dalam perjuangan agar mereka tidak mudah dibeli oleh Umno-BN. PRU-13 dijangka berlaku dalam masa terdekat, namun perkara penting yang harus diambilkira oleh PR adalah menampilkan calon-calon pilihanraya yang berwibawa dan bukan calon bidang terjun yang kemudiannya menang seperti beruk terkena belacan dan terus meloncat-loncat menyertai gerombolan Umno-BN!

No comments:

Post a Comment