Wednesday 7 September 2016

PRU-14: Pertempuran Memenangi Kerusi Marginal



Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam jangkaan setahun lapan bulan lagi bakal menjelma melangsungkan pesta demokrasi di negara ini.

Tempoh yang ada ini bakal digunakan oleh semua parti politik bagi memperkukuhkan kedudukan, jentera dan kewangan sebagai persiapan dan persediaan menghadapi pesta demokrasi tersebut.

PRU-14 ini menjadi medan terbaik bagi menebus semula peluang memenangi majoriti kerusi parlimen oleh pakatan pembangkang yang terlepas semasa PRU-13 lalu. Secara rambang rakyat umum pun boleh menilai betapa dua tahun kebelakangan ini sejak tahun 2015, graf sokongan BN kian merundum.

Imbasan keputusan PRU-13 peringkat parlimen menunjukkan Pakatan Rakyat memperolehi sejumlah 5,623,984 undi (50.87%) walaupun hanya memenangi 89 kerusi parlimen. Manakala BN mendapat 5,237,699 undi (47.38%) daripada 11,054,577 undi keseluruhan 222 kerusi parlimen seluruh negara. Walaubagaimanapun sistem parlimen Malaysia memilih pemerintah berdasarkan jumlah kerusi majoriti yang dimenangi oleh parti. Parlimen Malaysia tidak memilih pemerintah berdasarkan jumlah terbesar undi popular yang diperolehi oleh mana-mana parti.

Ada 30 kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN dengan perolehan undi popular antara 50 peratus hingga 40 peratus. Manakala terdapat sepuluh kerusi parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat dengan undi popular antara 50 peratus ke 47 peratus. Berdasarkan kiraan mudah, jumlah kerusi Pakatan Rakyat sebanyak 89 parlimen jika dicampur dengan 30 parlimen BN tersebut sudah membolehkan Pakatan menjadi parti pemerintah dalam majoriti mudah iaitu 119 kerusi.

Majoriti Marginal
Ada 11 parlimen daripada 30 parlimen BN tersebut yang dimenangi dengan majoriti marginal iaitu bawah daripada seribu undi. Parlimen-parlimen tersebut adalah Baram (majoriti 194 undi), Bentong (majoriti 379), Sungai Besar (majoriti 399), Kuala Selangor (majoriti 460), Cameron Highland (majoriti 462), Beaufort (majoriti 672), Machang (majoriti 805), Kota Marudu (majoriti 842), Titiwangsa (majoriti 866), Pasir Gudang (majoriti 935) dan Ketereh (majoriti 974). 

Sebelas kerusi tersebut sebahagian besarnya adalah kerusi majoriti Melayu. Hanya Cameron Highland, Bentong, Pasir Gudang dan Titiwangsa merupakan kerusi campuran. Kaedah gerak kerja yang betul dan calon berkredibiliti adalah faktor membuka potensi kemenangan di kerusi campuran lebih besar buat parti-parti pembangkang. Namun begitu bagi kerusi-kerusi marginal majoriti Melayu ini harus ada gerakan-gerakan strategik dan calon yang benar-benar sesuai bagi merebut undi Melayu.

Harus diketahui dan difahami bahawa bukan semua kerusi campuran itu mudah untuk dimenangi andainya melihat data atas kertas semata-mata. Beberapa kerusi parlimen BN yang bersifat campuran seperti Bagan Datok (Melayu-55%, Cina-20%, India-24%) masih dimenangi dengan majoriti sederhana. Faktor calon memainkan peranan besar disamping strategi yang dijalankan oleh BN dalam mengekalkan kemenangan. 

Antara contoh lain kerusi campuran yang dimenangi oleh BN iaitu;
1. Tanjung Malim (Melayu-53%, Cina-27%, India-14%),
2. Balik Pulau (Melayu-64%, Cina 32%, India 4%),
3. Tapah (Melayu 46%, Cina 28%, India 13%),
4. Bera (Melayu 59%, Cina 32%, Orang Asli 5%),
5. Hulu Selangor (Melayu 56%, Cina 23%, India 18%),
6. Alor Gajah (Melayu 59%, Cina 28%, India 13%),
7. Segamat (Melayu 44%, Cina 46%, India 10%),
8. Sekijang (Melayu 56%, Cina 39%, India 5%),
9. Labis (Melayu 36%, Cina 47%, India 15%),
10. Ledang (Melayu 53%, Cina 41%, India 5%),
11. Muar (Melayu 62%, Cina 35%, India 1%),
12. Air Hitam (Melayu 56%, Cina 38%, India 4%),
13. Simpang Renggam (Melayu 57%, Cina 33%, India 9%),
14. Tebrau (Melayu 47%, Cina 38%, India 13%),
15. Pasir Gudang (Melayu 48%, Cina 38%, India 13%),
16. Johor Bahru (Melayu 51%, Cina 43% India 5%),
17. Pulai (Melayu 47%, Cina 41%, India 10%),
18. Tanjong Piai (Melayu 51%, Cina 47%, Orang Asli 2%).

Kegagalan strategi, gerak kerja yang silap dan meletakkan calon yang salah akan memudahkan parti-parti lawan BN kehilangan potensi memenangi kerusi terlibat. Namun begitu itu bukan sesuatu yang mustahil dimenangi dengan jangkaan berlakunya gelombang perubahan politik luarbiasa sebagaimana Tsunami Politik 2008.

Ada banyak contoh kerusi-kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh parti-parti lawan BN yang membuktikan faktor kaum bukan sesuatu dominan bagi menentukan kemenangan. Beberapa kerusi majoriti Melayu yang ditandingi KEADILAN seperti Permatang Pauh mempunyai 70 peratus pemilih Melayu kekal dimenangi  oleh KEADILAN sejak PRU-10 pada tahun 1999. Begitu juga dengan Kuala Kedah (Melayu 78%, Cina 28%, India 1%). 

Jika kesepakatan politik antara parti-parti pembangkang ketika ini dapat dicapai antara Pakatan Harapan (dianggotai oleh KEADILAN, DAP & AMANAH), Blok Ketiga (PAS & Ikatan), parti-parti tempatan Sabah-Sarawak dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pertembungan sesama sendiri dapat dielakkan semasa PRU-14 nanti.
Andainya kesepakatan gagal dicapai, situasi tersebut akan memberi kelebihan marginal buat BN memenangi sebahagian besar 89 kerusi parlimen parti-parti pembangkang. Perlu diketahui bahawa 89 kerusi tersebut kebanyakannya berada di Semenanjung Malaysia. Pertembungan banyak penjuru sesuatu yang ‘janggal’ buat orang Semenanjung walaupun ia pernah berlaku semasa PRU-1, PRU2 dan PRU-3 dahulu. 

Pihak strategis BN menyedari akan penurunan graf sokongan rakyat terhadap BN sejak berlakunya siri pilihan raya kecil bermula dari Julai 2008 hinggalah yang terbaru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Hakikatnya BN ‘mempertahankan’ undi-undi asas mereka sebagaimana yang berlaku dalam  PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Tiada berlaku peningkatan undi jika dibandingkan dengan pola undi bagi dua kerusi ini dalam siri pilihanraya terdahulu. Perpecahan ‘kesepakatan’ antara Pakatan Harapan dan Pas memberi ‘rahmat’ buat strategis BN dalam kaedah mempertahankan undi-undi asas mereka. Begitu juga buat Pas yang dapat mempertahankan undi-undi asas mereka. Akibat ‘perpecahan kesepakatan’ itu, undi parti lawan BN berada dalam margin yang lebih kecil sedangkan BN sekadar mempertahankan undi asas untuk ‘menokok’ majoriti kemenangan besar. 

PRN Sarawak ke-11 dan dua PRK ini seharusnya menjadi pedoman terbaik buat KEADILAN, DAP dan AMANAH bagi merangka dan merencana ‘pertimbangan’ politik yang lebih matang. Harus diakui ada segelintir politikus yang ‘berkeras menegakkan benang basah’ untuk menafikan kekurangan. Itulah gaya mainan politikus untuk menolak hakiki fakta. Namun itu bukan sesuatu taboo yang merencatkan gerakan. Sudah pasti para pimpinan Pakatan Harapan akan mencari ilham dan buah fikiran menangani hal-hal ini secara strategik.

Cabaran Politik Buat Pembangkang
KEADILAN, DAP dan PAS merupakan parti pembangkang utama dalam Dewan Rakyat tetapi parti-parti ini juga merupakan parti pemerintah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Kelebihan sebagai pemerintah di negeri-negeri tersebut seharusnya menjadi pemangkin besar untuk mengukuhkan cengkaman pengaruh dan kekuatan bagi melonjakkan potensi menguasai kerusi-kerusi parlimen di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan yang dimenangi oleh BN. Hal ini bukan sesuatu yang mustahil kerana segala dasar dan gerak kerja yang dijalankan oleh kerajan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dapat dirasai sendiri oleh seluruh warganegeri.

Tekanan politik oleh parti pemerintah kerajaan pusat melalui jentera-jentera kerajaan menjadi ‘saingan dan ancaman’ berguna buat kerajaan negeri di ketiga-tiga negeri tersebut mempertingkatkan produktiviti kerja terhadap keadilan sosial rakyat disamping menjadi penanda aras sokongan rakyat kepada kerajaan negeri.  

Peranan jentera penerangan dan komunikasi peringkat kerajaan negeri ini sebenarnya yang akan lebih mendekatkan rakyat kepada maklumat secara terus akan gerak kerja dan dasar-dasar yang dijalankan. Kegagalan ia melaksanakan peranan itu bakal ‘curi peluang’ oleh jentera penerangan dan komunikasi kerajaan pusat menembusi secara maksima.

Kemunculan jenama baru politik iaitu Pakatan Harapan sebagai pengganti Pakatan Rakyat seharusnya memaparkan keutuhan kesepakatan istimewa sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Gagasan politik tersebut masih ‘goyang’ dengan ujian-ujian politik yang berlaku semasa PRN Sarawak 2016 dan dua PRK (Sungai Besar & Kuala Kangsar). Secara jujur KEADILAN wajar mengetuai Pakatan Harapan sebagai pengimbang terbaik untuk berhadapan kepelbagaian ragam politik. 

Peranan KEADILAN sebagai ‘kuasa pendamai politik’ kerap menjadi bahan eksploit oleh para munafik politik atas kepentingan politik-politik individu. Kerajaan Selangor adalah contoh terbaik yang memperlihatkan peranan KEADILAN dalam memastikan ‘kesejahteraan siasah’  demi kelangsungan dan kestabilan. Keadaan itu wajar bagi menjaga hubungan antara parti-parti politik dan istana.

KEADILAN merupakan satu-satunya parti politik pelbagai kaum yang berjaya setakat ini. Setelah 17 tahun berada dalam perjalanan politik tanahair, KEADILAN adalah wadah untuk masa depan. Kepelbagaian bentuk aliran politik, latarbelakang dan fahaman membentuk dinamika politik KEADILAN itu sendiri. 

Rakyat negara ini sedang melihat formula politik PRU-14 yang bakal digarap-hasilkan oleh Pakatan Harapan bersama PAS dan BERSATU bagi menghadapi tentangan BN. Sudah ada siri perbincangan serius yang menuju ke arah kesepakatan bersama. Perbincangan-perbincangan tersebut sudah pasti menyentuh hala tuju strategik, agihan kerusi dan gerakan-gerakan massa.