Friday 1 November 2013

PRK Dun Sungai Limau: Pas dijangka mempertahankan kemenangan!

Dr Ahmad Sohaimi Lazim
Pilihanraya kecil (PRK) Dun Sungai Limau merupakan pilihanraya kecil kedua yang berlangsung selepas PRU-13. Sebelum itu, PRK Kuala Besut telah diadakan dengan BN mempertahankan kemenangan selesa mengalahkan Pas.
Ustaz Azam Samad

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak, 69 pada 26 September 2013 lalu akibat masalah kesihatan.

SPR telah menetapkan hari penggundian bagi PRK Sungai Limau pada 4 November 2013.

Pas telah meletakkan Ketua Pemuda Pas Jerai, Ustaz Azam Samad, 37 sebagai calon. Manakala BN pula mempertaruhkan bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52 bagi merampas Sungai Limau. 

Peluang
Sebagaimana yang diperkatakan umum, Sungai Limau merupakan kubu kuat Pas yang telah dimenangi sejak PRU 2004 lagi. Sebelum persempadanan semula tahun 2003, Sungai Limau asalnya adalah Dun Sala. PRU 1999 menyaksikan Ustaz Azizan Abdul Razak memenangi dun tersebut dengan majoriti selesa iaitu 2,621 undi. Selepas persempadanan semula, Dun Sala dinamakan sebagai Sungai Limau yang berada dalam Parlimen Jerai. Namun pada PRU 2004, majoriti kemenangan Ustaz Azizan merosot kepada 1,080 undi dan kekal menjadi kawasan kuat Pas di Kedah.

Secara atas kertas dan statistik, agak sukar buat BN untuk merampas Sungai Limau daripada Pas. Dun ini mempunyai 19 daerah mengundi dengan jumlah pemilih seramai 27,222 orang. Pecahan kawasan berdasarkan sokongan undi keputusan PRU-13 lepas adalah;

Kawasan Kuat Pas
  1. Matang Buloh
  2. Sungai Dedap
  3. Gelam Tiga
  4. Bukit Choras
  5. Bukit Besar
  6. Simpang Tiga Luar
  7. Ulu Sedaka
  8. Batu Enam Belas
  9. Kampung Titi Batu
Kawasan Kuat Umno-BN
  1. Sungai Kering
  2. Dulang Kechil
  3. Dulang Besar
Kawasan 50-50 (dimenangi Pas@BN dengan majoriti marginal)
  1. Simpang Tiga (BN)
  2. Selengkoh (BN)
  3. Sungai Daun (BN)
  4. Sungai Limau (Pas)
  5. Kabu Sepuloh (Pas)
  6. Sedaka (Pas)
  7. Padang Lumat (Pas)
Jika analisa seimbang (tidak berpihak), BN berpeluang untuk memenangi Sungai Limau adalah dengan mengekalkan kemenangan besarnya di Sungai Kering, Dulang Kechil dan Dulang Besar disamping meningkatkan majoriti kemenangan di Simpang Tiga, Selengkoh dan Sungai Daun. Tiga daerah mengundi yang menjadi kubu kuat Umno-BN itu adalah dijangka akan memperolehi undi popular melebihi 65 peratus. Ini adalah kawasan maut buat Pas & PR.

Daerah-daerah mengundi yang dimenangi dengan majoriti marginal oleh Pas seperti Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat wajib dimenangi oleh BN dengan majoriti yang lebih baik. Manakala bagi daerah-daerah mengundi yang menjadi kubu kuat Pas, BN boleh menjalankan gerakan mempertingkatkan undi. Kebarangkalian BN untuk memenangi sembilan kawasan kuat Pas itu adalah 30-70.

Andainya itu berlaku, jangkaan kemenangan BN adalah sekitar 200-300 undi majoriti. Wajar difahami bahawa Dun Sungai Limau adalah kubu kuat Pas sebagaimana Kuala Besut di Terengganu. Potensi untuk menang buat BN sukar tetapi tidak mustahil!

Kemenangan dan peningkatan undi juga bergantung kepada pengepungan pemilih masing-masing untuk dipastikan keluar mengundi. Sungai Limau tidak mempunyai undi awal dan itu telah memberi kelebihan kepada Pas manakala BN harus bersaing secara adil di atas padang yang sama. Cuma mereka mempunyai sedikit bantuan daripada undi pos. Keputusan undi pos PRU-13 lalu di sini memperlihatkan BN hanya berkelebihan sebanyak 62 undi majoriti dengan perolehan sebanyak 170 undi berbanding Pas dengan 108 undi. 

Hakikatnya, kedudukan Pas di sembilan daerah mengundi tersebut agak sukar buat BN untuk menembusinya. Perolehan undi di kawasan-kawasan ini cukup besar dan selesa buat Pas. Jangkaan awal Pas akan memenangi kawasan-kawasan ini dengan perolehan undi popular melebihi 60 peratus.

Jumlah undi yang dijangka akan diperolehi oleh calon Pas bakal mencapai perolehan sekitar 13,500 undi dan mendapat majoriti kemenangan antara 2,300-2,400 undi.